16 November 2021

JPA perhalusi data penjawat awam tolak vaksin

 BANGI 16 NOVEMBER 2021. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berucap ketika Majlis Pelancaran Buku Koleksi Teks Ucapan & Coffe Table KPPA dan Sesi Town Hall bersama sama Warga Universiti Awam dan Pelajar Pelajar Tajaan JPA di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi. STR/AZHAR RAMLI

BANGI 16 NOVEMBER 2021. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berucap ketika Majlis Pelancaran Buku Koleksi Teks Ucapan & Coffe Table KPPA dan Sesi Town Hall bersama sama Warga Universiti Awam dan Pelajar Pelajar Tajaan JPA di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi. STR/AZHAR RAMLI

BANGI: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperhalusi data penjawat awam yang masih enggan menerima vaksin COVID-19, sebelum membuat keputusan berkenaan tindakan selanjutnya ke atas mereka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pihaknya juga sudah meminta laporan daripada ketua jabatan berkenaan isu itu bagi mendapatkan jumlah sebenar penjawat awam yang menolak vaksin.

Beliau berkata, selain itu pihaknya mahu mengetahui bagaimana ketua-ketua jabatan menangani segelintir penjawat awam kategori tersebut.

"Saya minta tempoh untuk melihat data-data yang ada sekarang, kita sedang memperhalusinya.

"Kita juga minta laporan ketua-ketua jabatan, ada dua perkara pertama bilangan yang belum vaksin dan kedua, bagaimana mereka menangani sebilangan yang belum vaksin.

"Dengan (mengambil kira) keperluan untuk mereka ini berterusan memberi perkhidmatan, mereka tak boleh duduk di rumah," katanya.

Beliau memberitahu demikian dalam sidang media selepas sesi Town Hall KPPA bersama warga Universiti Awam dan pelajar tajaan JPA yang bertemakan 'Bangsa Berilmu, Semarak Aspirasi Negara' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan JPA pada 18 Oktober lalu, menetapkan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan boleh diambil terhadap penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada Ketua Jabatan untuk mendapatkan dos vaksin COVID-19 selepas 1 November.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam juga berdepan hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan) dan di lucut hak emolumen (24 bulan).

Mereka juga boleh ditangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata, JPA akan menggiatkan usaha untuk mendigitalkan perkhidmatan awam selaras dengan keperluan semasa, perkembangan teknologi dan pengharapan rakyat.

Beliau berkata, pendigitalan itu amat penting bagi membolehkan perkhidmatan kerajaan dapat terus diberikan tanpa mengira keadaan sebagaimana perkhidmatan secara dalam talian yang diberikan sewaktu tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Teknologi yang ada membolehkan kita berterusan menyampaikan perkhidmatan dan ada banyak lagi selepas ini yang kita perlu lihat sebagaimana diumum oleh kerajaan melalui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

"Kita (JPA) akan bergerak dengan lebih pantas untuk mendigitalkan perkhidmatan awam kerana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pelaburan paling tinggi ialah dalam teknologi 5G.

"Ini menunjukkan kerajaan serius untuk memastikan teknologi malumat (IT) terus bergerak ke hadapan dan perkhidmatan kita juga akan mengikut teknologi yang ada," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairul Adib menegaskan pendigitalan perkhidmatan awam tidak bermakna jumlah kakitangan kerajaan akan dikurangkan.

"Di belakang pendigitalan, kita masih memerlukan penjawat awam seperti untuk menguruskan sistem IT, menilai dasar dan meneliti maklum balas.

"Dari segi perkhidmatan, ada yang tidak boleh disampaikan secara dalam talian seperti keselamatan dan kesihatan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: