31 Disember 2021

Lebih 400 maut akibat Taufan Rai

 Kanak-kanak membawa barangan peribadi mereka berjalan di hadapan rumah yang musnah dipukul Taufan Rai di bandar General Luna, pulau Siargao. - FOTO AFP

Kanak-kanak membawa barangan peribadi mereka berjalan di hadapan rumah yang musnah dipukul Taufan Rai di bandar General Luna, pulau Siargao. - FOTO AFP

Manila: Jumlah kematian akibat Taufan Rai sudah melepasi 400 orang.

Agensi bencana berkata, beberapa wilayah yang teruk terjejas akibat bencana itu merayu bekalan makanan, air dan tempat perlindungan sekitar dua minggu selepas taufan itu membadai.

Rai adalah taufan ke-15 dan yang paling dahsyat melanda Filipina pada tahun ini.

Ketua agensi bencana negara, Ricardo Jalad berkata, angka kematian yang dilaporkan sudah mencapai 405 orang dengan kebanyakannya maut disebabkan lemas, dihempap pokok dan tanah runtuh.

Katanya, 82 orang masih hilang dan 1,147 lagi cedera.

Lebih 530,000 rumah rosak dan sepertiga daripadanya musnah, manakala kerosakan prasarana dan pertanian dianggarkan berjumlah 23.4 bilion peso (RM191 juta), katanya.

Taufan itu menjejas hampir 4.5 juta orang, termasuk sekitar 500,000 yang terpaksa berteduh di pusat-pusat pemindahan menurut data kerajaan.

Taufan Rai membadai sebagai taufan kategori 5 pada 16 Disember dan memusnahkan wilayah Bohol, Cebu dan Surigao del Norte, termasuk pulau peranginan Siargao, dan Kepulauan Dinagat.

Di wilayah-wilayah tengah Filipina, pegawai bencana dan kerajaan masih bergelut dengan bantuan yang tidak mencukupi bagi ribuan penduduk yang masih lagi terputus bekalan elektrik dan air.

"Masalah kami adalah tempat perlindungan bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal, terutama sekali pada musim tengkujuh di wilayah ini," Gabenor Surigao del Norte, Francisco Matugas, memberitahu saluran berita ANC.

Kemusnahan akibat Taufan Rai mengingatkan kembali peristiwa bencana ketika dibadai Taufan Haiyan, iaitu taufan paling kuat yang pernah dicatat, yang menyebabkan 6,300 orang maut di Filipina pada tahun 2013.

AGENSI.

Tiada ulasan: