31 Disember 2021

Hong Kong haramkan sepenuhnya penjualan gading gajah

 Larangan menjual lebih banyak produk berunsurkan gading gajah di Hong Kong dikuatkuasa sepenuhnya. - Foto AGENSI

Larangan menjual lebih banyak produk berunsurkan gading gajah di Hong Kong dikuatkuasa sepenuhnya. - Foto AGENSI

HONG KONG: Larangan menjual lebih banyak produk berunsurkan gading gajah di Hong Kong berkuat kuasa hari ini, sekali gus menjadi kemuncak proses selama tiga tahun untuk menghapuskan perdagangan eksotik yang berleluasa di bandar itu.

Penggubal undang-undang Hong Kong pada 2018 menyokong rang undang-undang untuk menghentikan perdagangan itu secara beransur-ansur, namun langkah itu dikritik oleh beberapa ahli pemuliharaan pada ketika kerana dilihat sebagai satu kelemahan yang boleh dieksploitasi.

Bandar ini sebelum ini dituduh memainkan peranan yang besar dalam industri, dengan satu laporan oleh kumpulan pemuliharaan tempatan pada 2019 mendakwa ia menyumbang kepada kira-kira satu perlima daripada semua rampasan gading global dalam sedekad yang lalu.

Menurut laporan media tempatan, menjelang larangan itu, pembeli dilihat berbaris di luar beberapa kedai yang menjual produk itu di daerah Sheung Wan, di sini.

Peraturan baharu hari ini mengharamkan 'import, eksport semula dan pemilikan komersil gading gajah', tetapi membuat pengecualian untuk barangan antik yang bertarikh sebelum 1925.

Mereka yang ingkar boleh dikenakan denda maksimum HK$10 juta (AS$1.3 juta, RM5.42 juta) dan penjara 10 tahun.

Hong Kong yang terkenal dengan pelabuhannya yang sibuk dan rangkaian pengangkutan lain, ia turut berkembang maju sebagai pusat transit utama untuk perdagangan haram di bahagian haiwan terancam seperti gajah, badak sumbu dan tenggiling, yang kebanyakannya menuju ke pengguna di tanah besar China.

Pihak berkuasa Hong Kong pada 2017 membuat rampasan gading terbesar mereka dalam tiga dekad, dengan tangkapan 7.2 tan gading bernilai sekitar AS$9 juta (RM37.5 juta) malah pada 2019, merampas 2.1 tan, sebelum proses penghapusan berperingkat dimulakan.

Gading Afrika adalah simbol status yang dicari di China dan pernah mendapatkan permintaan mencecah AS$1,100 sekilogram (RM4,583).

China sendiri sudah membuat larangan terhadap perdagangan gading yang berkuat kuasa sejak 2018.

Jurucakap Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan Hong Kong berkata, kerajaannya komited untuk melindungi spesies terancam, termasuk gajah.

Pada Ogos lalu, Hong Kong juga meluluskan undang-undang yang mengklasifikasikan penyeludupan hidupan liar sebagai isu jenayah terancang. - AFP

Tiada ulasan: