16 Januari 2022

Kamarul Zaman dilantik Ketua Polis Johor yang baharu

 Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin (kiri) kepada Kamarul Zaman (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor di Dewan Auditorium, IPK Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin (kiri) kepada Kamarul Zaman (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor di Dewan Auditorium, IPK Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Johor Bahru: Bekas Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin yang memangku jawatan itu selepas bekas Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pada 3 Januari lalu.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain.

Kamarul Zaman yang dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1988 dan dilantik sebagai Ketua Polis Kedah pada Jun tahun lalu.

Sepanjang 34 tahun beliau berkhidmat dalam PDRM, pelbagai tanggungjawab digalasnya termasuk sebagai Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di IPK Johor.

Sementara itu, Razarudin ketika sidang medianya berkata, kepimpinan cemerlang Kamarul Zaman di IPK Kedah mampu diteruskan beliau di IPK Johor.

"Saya yakin Kamarul Zaman mampu meneruskan legasi kecemerlangan Ketua Polis Johor sebelum ini sekali gus mampu memberi inspirasi kepada rakyat Johor terhadap PDRM," katanya.

Kamarul Zaman pula berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik bagi meneruskan kecemerlangan IPK Johor.

Beliau turut menggesa pegawai dan anggota polis di negeri itu supaya sentiasa menjaga intergriti selain ikhlas dalam menjalankan tugas.

"Saya berharap semua anggota di negeri ini tidak menjadi pembelot kepada PDRM.

"Bagi memastikan kecemerlangan dan kejayaan daripada kepimpinan terdahulu dapat diteruskan, saya memerlukan sokongan yang padu dari ketua-ketua jabatan, ketua polis daerah, pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

"Cemerlang di sini (PDRM), cemerlang di mata masyarakat," katanya.

Tiada ulasan: