08 Oktober 2009

SELAMAT BERJUANG JENTERA PAS PERAK DI BAGAN PINANG: PESURUHJAYA PAS PERAK

Email : mohd hafez sabri

Port Dickson, Pesuruhjaya PAS Perak hari ini memberi kata-kata semangat kepada seluruh jentera PAS Perak yang diamanahkan bertugas di bagan Pinang agar terus berjuang dan beristiqamah dalam memastikan kemenangan calon PAS, Saudara Zulkefly Mohamad Omar bagi memenangi kerusi Dun Bagan Pinang.

Beliau menyatakan bahawa kemenangan PAS di Bagan Pinang ini amat penting bagi membuka lembaran baru kebangkitan PAS di zon selatan tanah air ini.

Memetik ucapan beliau ” Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Selambau, Bukit Gantang di utara telah mencatat sejarah kemenangan dalam pilihanraya kecil (PRK) kepada PR dengan pencapaian yang begitu baik. Manakala di Kuala Terengganu yang terletak di timur pula juga telah mengukir kemenangan apabila kita berjaya mengambil kerusi tersebut dari tangan BN.

“Kini tiba pula giliran Bagan Pinang yang terletak di selatan untuk memberi mesej yang lebih jelas kepada BN, bahawa rakyat pelbagai kaum di negara ini mahukan PR mentadbir Malaysia dan membuka lembaran baru untuk rakyat dalam membangunkan sebuah negara yang adil dan berkebajikan”.

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar jentera PAS Perak sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam setiap ibadah dan gerak kerja yang dilakukan, ini kerana kemenangan sebenar adalah apabila adanya bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita, dan seluruh jentera PAS Perak juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi pembubaran DUN Perak yang akan berlaku tidak lama lagi. "semoga momentum kemenanangan PR dalam PRK yang berlaku sebelum ini, memberi gambaran awal bahawa Perak akan kembali berada dibawah kepimpinan Pakatan Rakyat". jelas beliau

Tiada rakyat Malaysia cedera dalam insiden pengeboman di Islamabad

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad mengesahkan kesemua rakyat Malaysia selamat, selepas berlakunya insiden pengeboman di pejabat Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Islamabad, Pakistan kelmarin.

Kenyataan Kementerian Luar yang dikeluarkan di sini semalam menyebut tiada laporan kecederaan atau kematian membabitkan rakyat Malaysia dalam insiden itu.

Menurut pihak berkuasa Pakistan, satu lagi insiden pengeboman dijangka dilancarkan oleh pengebom berani mati pada skala yang lebih besar.

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihati supaya lebih berwaspada dan mengelak daripada pergi ke kawasan yang berpotensi menjadi sasaran," menurut kenyataan itu, yang menambah bahawa kementerian dan suruhanjaya tinggi akan terus memantau keadaan serta mengeluarkan laporan yang sewajarnya.

Dalam insiden itu, seorang pengebom berani mati memasuki pejabat tempat 80 petugas PBB sedang bekerja sebelum meledakkan letupan yang mengakibatkan tiga orang terbunuh dan enam orang cedera.

Mangsa yang terbunuh terdiri daripada dua wanita Pakistan dan seorang lelaki warga Iraq. BERNAMA

mStarOnline/-

Empat penuntut dan seorang rakyat Malaysia masih di Padang

KUALA LUMPUR: Masih terdapat empat penuntut dan seorang rakyat Malaysia di Padang, Indonesia yang enggan pulang ke tanahair, meskipun telah diminta berbuat demikian ekoran gempa bumi kuat yang melanda Sumatera barat Rabu lepas.

Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay berkata empat penuntut itu masing-masing dua di Padang dan dua di Bukit Tinggi mahu meneruskan latihan praktikal mereka di sana, manakala orang awam itu enggan pulang atas alasan peribadi.

"Kita sudah membawa pulang 333 penuntut yang kita berjaya kesan. Ada empat penuntut yang masih mahu duduk di sana dan nak buat praktikal di sana secara sukarela, kita tidak paksa mereka balik dan mereka disahkan selamat," katanya kepada Bernama di sini semalam. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Acumen Integrated Health Care dan Movement Science Academy Malaysia dengan Manipal Universiti dari India untuk program melanjutkan pelajaran dalam bidang sains kesihatan.

Mengenai usaha mengesan rakyat Malaysia yang menginap di hotelhotel di Padang ketika tragedi gempa bumi yang dikatakan sukar, beliau sendiri mengakuinya kerana pelbagai dokumen dan senarai daftar pengunjung di setiap hotel itu turut musnah dalam tragedi itu.

Kohilan berkata jika pasukan penyelamat terjumpa mayat di bawah runtuhan hotel-hotel berkenaan, sukar untuk mengesahkan sama ada mangsa adalah rakyat Malaysia selagi identitinya tidak disahkan.

Katanya apa yang menjadi kebimbangan pihaknya kini ialah jumlah pelancong-pelancong Malaysia yang berada di Padang semasa bencana itu berlaku kerana mereka sukar dikesan.

Justeru, beliau sekali lagi menyeru ibu bapa atau anggota keluarga di Malaysia yang mengetahui anggota keluarga atau kenalan mereka berada di Padang semasa gempa bumi itu berlaku, memaklumkan segera kepada Wisma Putra.

Setakat ini, katanya seramai 18 pelancong Malaysia telah dibawa balik menerusi penerbangan kedua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2 Okt lepas.

Katanya pasukan penyelamat Malaysia akan meneruskan usaha-usaha mencari dan menyelamat di kawasan tragedi sehingga kerajaan Indonesia sendiri membuat keputusan untuk memberhentikan usaha-usaha itu.

Beliau turut mengingatkan warga Malaysia yang ingin ke Padang pada masa ini supaya menangguhkan perjalanan mereka dan jika keadaan mendesak, meminta mereka memaklumkan pergerakan mereka kepada pejabat Konsul Malaysia di Medan. BERNAMA

mStarOnline/-

Jabatan Meteorologi nafi keluar SMS Taufan Parma

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi semalam menafikan mesej khidmat pesanan ringkas (SMs) yang tersebar luas menyatakan satu ribut kuat akan melanda Malaysia malam semalam, ekoran ramalan cuaca mengenai Taufan Parma akan melanda Filipina lewat malam semalam.

Pegawai bertugas Jabatan Meteorologi ketika dihubungi Bernama berkata SMS itu, yang mendakwa taufan berkelajuan 222km/j akan melanda adalah satu khabar angin dan menasihati orang ramai supaya tidak panik.

SMS itu turut meminta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak berada di jalanan malam ini.

Taufan Parma melanda Luzon pada Sabtu mengakibat tanah runtuh dan banjir serta mengorbankan 16 orang. Taufan, yang kini dikategorikan ribut tropika dengan kelajuan 55 knot, kini bertiup di perairan barat Luzon.

Katanya ribut tropika itu diramalkan bergerak ke arah barat menghala pulau Hainan dalam beberapa hari ini.

"Kelajuan ribut tropika Parma ini akan membentuk gelombang kuat di Laut China Selatan tetapi tiada petunjuk ia akan melanda negara ini," katanya.

Jabatan Meteorologi semalam mengeluarkan amaran kategori pertama mengenai angin kuat dan laut bergelora dengan angin barat daya berkelajuan 40-50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Phuket dan Samui di Thailand, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Reef North, Layang-layang, Labuan dan Sabah akan berterusan sehingga Jumaat. BERNAMA

mStarOnline/-

YDP MAIPP: Shabudin cuba lagakan Pakatan

TASEK GELUGOR, 6 Okt: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya menimbulkan isu Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai satu modal terdesak dalam menghadapi pilihan raya kecil di Bagan Pinang.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Zulkiply Ishak, Shabudin menimbulkan isu untuk melaga-lagakan kepimpinan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya kecil tersebut.

"Apa yang menjadi tanda tanya kenapa Shabudin tidak melepaskan jawatan tersebut setelah ada penggantinya seperti yang didakwa iaitu Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia, Elyas Zakaria sejak Ogos yang lalu.

"Apakah agenda beliau menimbulkan isu ini pada waktu ini sedangkan beliau terlebih maklum mengenainya sekiranya ia benar.

"Secara gentleman beliau harus melepaskan jawatan tersebut sejak Ogos yang lalu. Tapi kenapa sehingga sekarang beliau masih mendakwa sebagai YDP MAIPP sehingga Disember ini. Kita sendiri masih meragui dakwaan beliau tersebut."

Shabudin yang juga Ketua Umno bahagian Tasek Gelugor mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng tidak berterus terang dalam isu ini kepada PAS mengenai perkenan Yang Di-Pertuan Agong berkaitan nama baru YDP MAIPP.

Zulkiply (gambar) juga menyelar kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yang mendakwa supaya YDP MAIPP tidak diwakili oleh mana-mana orang politik untuk menerajuinya.

"Saya ingin bertanya kepada Datuk Zainal apakah selama ini Shabudin yang juga ketua Umno bahagian Tasek Gelugor itu bukan orang politik yang menerajui kerusi YDP MAIPP.

"Apakah apabila Pakatan Rakyat menjadi kerajaan negeri maka baru mahu dibuat saranan supaya ianya tidak diterajui oleh orang politik.

"Kenapa pelantikan ini tidak dibuat dikalangan orang bukan politik semasa Umno dan BN menguasai Pulau Pinang sebelum ini,"katanya lagi.

Isu siapa yang menjadi YDP MAIPP telah ditimbulkan oleh Shabudin semasa sidang media di majlis rumah terbuka Aidilfitri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob yang telah diadakan di Dewan Besar Sungai Dua, Tasek Gelugor baru-baru ini.

SPR diminta turunkan poster fitnah

Sementara itu di BAGAN PINANG, Pengarah Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengambil tindakan tegas terhadap poster-poster gergasi yang diangapnya memfitnah PAS.

Menurut beliau, banyak poster gergasi telah dipasang dengan perkataan 'Jangan Terpengaruh Dengan PAS' dan pelbagai poster yang berbentuk fitnah dan berniat jahat dalam kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang kali ini.

Beliau yang menghubungi Siasah berkata SPR sepatutnya mengambil tindakan tegas dibawah Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap mereka yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh SPR ini.

Firdaus juga mendesak SPR supaya mengambil tindakan terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah membantu Barisan Nasional (BN) untuk memasang poster-poster gergasi dan besar ini.

"Sepatutnya PBT ini tahu apa tugas dan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya yang diadakan. Sebagai sebuah PBT mereka bersama-sama dengan SPR tidak harus berpihak kepada mana-mana parti supaya pilihan raya ini tidak dicemari dengan sikap tidak telus dan adil yang diamalkan oleh mereka dalam menangani masalah ini.

"Jika SPR menetapkan peraturan maka BN juga harus mengikuti peraturan tersebut. Bukan hanya di pihak Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan PBT. Mereka harus bersikap profesional dalam melaksanakan tugas mereka di Bagan Pinang."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, sekiranya tindakan tidak diambil segera oleh SPR dan PBT dalam menurunkan poster-poster gergasi dan besar yang berbentuk fitnah dan jahat ini, Pemuda Pakatan Rakyat akan bertindak dengan menurunkan poster-poster tersebut dengan cara mereka sendiri.

HarakahDaily.Net/-

Berdosa pilih perasuah jadi pemimpin - ulama

KOTA BHARU, 6 Okt: Kitab fiqah menyebut orang yang pernah terbabit dengan rasuah tidak layak untuk dilantik sebagai pemimpin.

Usahkan dipilih sebagai pemimpin menjadi wali bagi perkahwinan anaknya sendiri pun tidak layak.

Ini kerana kesalahan rasuah dikategorikan di bawah dosa-dosa besar.

Sedangkan syarat untuk melayakkan seseorang Islam menjadi saksi atau wali antaranya mesti berkelakuan adil, tidak bercakap bohong, tidak melakukan dosa besar dan tak mengekalkan dosa-dosa kecil.

Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, orang yang terlibat dengan rasuah dikategorikan sebagai fasik (rosak iman).

"Usahkan mahu dilantik sebagai pemimpin, menjadi saksi kepada perkahwinan pun tidak boleh bagi orang macam itu," katanya di sini.

Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad pernah disabitkan dengan kesalahan korupsi pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno.

Pengerusinya panel itu, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian Umno selama enam tahun terhadap Isa.

Sebelum itu pada perhimpunan agung Umno Isa menang jawatan Naib Presiden Umno. Bagaimanapun dia telah disabitkan bersalah atas lima pertuduhan rasuah (politik wang).

Pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini Isa akan ditentang calon PAS, Mohamad Zulkefly Omar.

Ulama muda lulusan sarjana di Jordan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, banyak kitab fiqah menjelaskan orang yang terbabit dengan rasuah tidak layak untuk menjadi saksi bagi sesuatu perkahwinan.

"Kalau hendak menjadi wali bagi perkahwinan anaknya sendiri lagi tidak layak kerana tanggungjawab wali lebih besar," katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berceramah di Taman Guru dekat sini, malam Jumaat lalu menjelaskan orang yang pernah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan rasuah tidak boleh menjadi saksi perkahwinan.

Katanya, kalau menjadi saksi pun tidak boleh macam mana pula hendak dilantik sebagai pemimpin.

HarakahDaily.Net/-

Isa ikon kepalsuan, kata PAS

TELOK KEMANG, 6 Okt: PAS dakwa Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah ikon kepalsuan, berdasarkan beberapa rekod projek terbengkalai di bawah kepemimpinan bekas Menteri Besar itu.

Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bagan Pinang, Dr. Dzulkifly Ahmad berkata, pembangunan palsu Umno itu bermakna tidak mengutamakan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.

"Ini (projek terbengkalai) telah menjadi tema, cara urus tadbir Isa (calon Umno) sejak sekian lamanya, sama ada di (Dun) Linggi dan akan terus berlaku di (Dun) Bagan Pinang ini jika Isa dimenangkan.

"Sebab itu kita angkat Isa sebagai ikon kepalsuan, kerana keutamaannya (pembangunan) bukan untuk rakyat, tetapi kronik-kroninya.

"Berdasarkan beberapa pendedahan yang dibuat sejak tiga hari lalu, pembangunan yang dibawa Umno adalah pembangunan palsu," kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, ikon kepalsuan itu bukan sesuatu yang direka-reka, tetapi sesuatu yang boleh dilihat di sini.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Pengarah pilihan raya ini, Salehuddin Ayub meminta semua wartawan dan blogger membuat perhitungan berdasarkan beberapa gambar projek terbengkalai tersebut.
Sambil menyifatkan projek-projek tersebut sebagai pembangunan hantu, Salehuddin juga meminta Isa menjelaskan agenda politiknya sama seperti Zulkefly.

Semalam, PAS mendedahkan masalah perparitan, penaiktarafan jalan utama Telok Kemang - Port Dickson serta pencemaran pusat perlancongan dan pantai Port Dickson.

Beberapa hari lalu, sebuah perhentian bas di Linggi, Dun yang pernah diwakili Isa sejak 1978 lalu turut didedahkan kepada khalayak.

Isa yang sejak awal tempoh berkempen dilihat tidak bersih, sekali lagi terpaksa menafikan bahawa beliau bukanlah ikon kepalsuan sebagaimana yang didakwa PAS Pakatan Rakyat.

HarakahDaily.Net/-

Dakwaan Kelantan mundur, Idris jawab Muhyiddin

TELOK KEMANG, 6 Okt: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membandingkan jumlah banglo Melayu di Kuala Krai dan di Pagoh terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan kononnya Kelantan adalah negeri yang mundur, kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

"Saya percaya Muhyiddin sebelum ini berulang alik ke Kuala Krai untuk berkempen dalam pilihan raya kecil Manek Urai.

"Saya harap dia ada mata untuk melihat berapakah jumlah banglo Melayu di sekitar pekan Kuala Krai dan sebagai wakil rakyat Pagoh, cuba kira berapa banyak pula banglo Melayu di sekitar pekan Pagoh. Saya tidak mahu sebut Pasir Mas kerana bimbang tidak padan dengan Pagoh."

"Selepas itu, baru bercakap tentang soal pembangunan di Kelantan," kata beliau.

Idris juga menjemput Muhyiddin dan juga calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang turut memperkecilkan pembangunan di Kelantan melawat negeri itu.

"Tak perlu susah-susah buat kajian sana-sini. Muhyiddin dan Isa bawa payung dan kerusi, selepas itu duduk depan Tesco di Kota Bharu untuk melihat sendiri kuasa beli rakyat di negeri itu."

"Setiap hari minggu Tesco Kota Bharu memungut lebih RM1 juta sehari sehingga ia bercadang hendak menambahkan cawangannya di Kelantan sedangkan Tesco di Kuantan, di negeri perdana menteri sendiri, telah ditutup akibat masalah ekonomi setempat.

"Kalau Kelantan mundur seperti yang digambarkan oleh Muhyiddin dan Isa, rakyatnya tidak akan mempunyai kuasa beli sedemikian rupa," kata beliau.

Menurut Idris, beliau sengaja tidak mahu mengemukakan statistik untuk menyedarkan Muhyiddin kerana beliau tidak yakin Timbalan Presiden Umno itu sanggup mendedahkan statistik tentang kadar kemiskinan di negara ini.

"Jawapan perdana menteri di Dewan Rakyat pada 3 September 2007 menunjukkan dengan jelas bahawa bilangan isi rumah dalam kategori miskin tegar di Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak ternyata lebih besar berbanding negeri Kelantan."

"Muhyiddin buat apa ketika statistik itu dinyatakan di Dewan Rakyat? Tidak datang ke dewan? Tidur?" beliau mempersoalkan.

Berdasarkan jawapan perdana menteri di Dewan Rakyat itu, Sabah mempunyai bilangan isu rumah dalam kategori miskin tegar yang tertinggi iaitu 32,297, diikuti Terengganu (8,300), Perak (5,730), Sarawak (5,243) Kedah (4,938) dan Kelantan (3,550).

"Ketika perdana menteri memberikan statistik itu, Terengganu, Perak dan Kedah semuanya berada di bawah pemerintahan BN.

"Lebih buruk lagi, statistik itu juga menunjukkan BN sengaja membiarkan Sabah dan Sarawak mundur sedangkan rakyat Sabah dan Sarawaklah yang paling setia dengan BN," kata Idris.

Beliau walau bagaimanapun yakin rakyat di Bagan Pinang tidak akan terpengaruh dengan sikap bodoh sombong kedua-dua pemimpin itu.

HarakahDaily.Net/-

Calon Pakatan janji tiga perkara

TELOK KEMANG, 6 Okt: Berbekalkan pengalaman bergiat dalam kerja-kerja kemasyarakatan, calon Pakatan Rakyat Zulkefly Mohamad Omar bertekad mahu meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk tempatan seandainya diamanahkan menjadi Adun Bagan Pinang kelak.

Bercakap pada pemberita di sini semalam, Zulkefli menggariskan tiga fokus utama dalam manifestonya 'Bersama Kehendak Rakyat' beliau.

"Daripada 13 permasalahan yang dekat dengan rakyat (Bagan Pinang), umumnya rakyat mahu isu penaiktarafan jalan utama dari Telok Kemang ke Pasir Panjang segera diselesaikan.

"Kedua, rakyat mahu masalah perparitan yang menjadi punca utama banjir kilat, pembiakan lalat serta nyamuk segera diselesaikan.

"Ketiga dan terakhir, rakyat mahu isu alam sekitar yang melibatkan Pantai Port Dickson kerana dengan berbuat demikian, bukan sahaja menggamit semula kehadiran pelancong malah menjana ekonomi setempat," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri turut mengulas dakwaan Umno, kononnya permasalahan malar segar N31 tidak mampu ditanganinya, walaupun Zulkefly ditakdirkan menang kelak.

"Tahun lepas, Datuk Shaziman Abu Mansor kata di Parlimen, tiada peruntukan untuk membaiki jalan di sini. Sedangkan tanggungjawab membina jalan sebenarnya di dalam Senarai Persekutuan (Federal List)," jelasnya.

"Jadi, Umno tidak perlulah memperbodohkan rakyat dengan kempen adakah saya mampu memperbaiki jalan jika saya menang.

"Sedangkan, jika Tan Sri Mohd Isa Samad menang sekalipun, itu bukan tanggungjawabnya untuk membina jalan," tambah beliau.

ImageBeliau turut menasihatkan kepemimpinan Umno agar mengutamakan kepentingan rakyat selagi mempunyai kuasa memerintah kerajaan negeri dan persekutuan.

"Maka, saya akan senantiasa membawa isu penaiktarafan jalan ini di Dun kelak, di samping membantu Ahli Parlimen Telok Kemang (Datuk Kamarul Baharin Abbas) membawa isu ini di Parlimen.

"Sama ada jalan siap dulu, atau Umno tumbang di Negeri Sembilan, biarlah rakyat terus membuat perhitungan," katanya.

Dalam perhitungan khalayak, jika Zulkefly menang, bermakna perbezaan kerusi Pakatan dan Barisan Nasional hanya 2 kerusi sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkefly mahu rakyat tempatan bersama beliau, mendesak pihak berwajib menyelesaikan isu perparitan � yang dianggapnya sebagai 'akar masalah' pada banjir kilat, pembiakan lalat-nyamuk, sampah-sarap serta bau busuk, di sini.

Tiga inti manifesto Zulkefli itu meletakkan calon Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terus dalam sindrom penafian; kerana kebanyakan projek terbengkalai yang menjadi rahsia umum rakyat tempatan sebelum itu melibatkan peribadinya; sewaktu menjadi Menteri Besar 22 tahun yang lalu.

HarakahDaily.Net/-


Ganjaran RM1,000 jika ada foto Azeez ditumbuk

Sebuah NGO menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang boleh menunjukkan bukti bergambar ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk penyokong PAS.

Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA) akan membayar sejumlah wang itu serta-merta kepada sesiapa yang menyerahkan gambar tersebut, lapor akhbar web rasmi PAS Harakahdaily.net hari ini.

Timbalan Presiden NGO itu Mohd Dzohir Hamid dilaporkan berkata mesyuarat ahli majlis eksekutif PEMBELA semalam mengambil keputusan menawarkan wang kepada pihak yang memiliki atau mahu menjual gambar insiden tersebut - kini menjadi isu menyerang PAS.

Bekas exco Pemuda Umno itu mendakwa ditumbuk oleh penyokong pembangkang pada hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Sabtu lalu, sehingga terpaksa dirawat di hospital.

Mohd Dzohir juga dipetik berkata PEMBELA membuat tawaran itu untuk mendapatkan kepastian berhubung dakwaan Abdul Azeez itu.

"PEMBELA harap ada pihak yang merakam gambar tersebut sudi menjual kepada pihaknya dengan tawaran harga yang diberikan, sekali gus membolehkan pihaknya membuat tindakan lanjut di atas dakwaan Datuk Azeez berkenaan," katanya.

Pihak yang berminat dengan tawaran itu boleh menghubungi pemimpin PEMBELA itu di talian 019-49 80 230 pada bila-bila masa.

Abdul Azeez dilaporkan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak kelmarin setelah cedera teruk di muka, leher dan tengkuk.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, Harakahdaily.net semalam pula memuatkan tiga keping foto yang tidak menunjukkan Abdul Azeez dipukul sewaktu berjalan kaki dekat kumpulan penyokong pembangkang.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan ketua penerangannya Idris Ahmad dipetik berkata dakwaan Abdul Azeez itu sebagai "pembohongan" berdasarkan tiada kesan lebam atau calar di bahagian badannya dan juga rakaman tiga foto berkenaan.

MalaysiaKini/-

Larangan lapor isu Isa digantung

Akhbar-akhbar harian berbahasa Cina telah diarahkan supaya jangan melaporkan mengenai penggantungan keahlian Tan Sri Isa Samad dalam Umno, menjelang pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Sekurang-kurangnya dua akhbar harian berbahasa Cina telah diarahkan supaya jangan melaporkan penggantungan keahlian Isa, selepas beliau didapati bersalah terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan Umno pada 2004.

Isa adalah calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Beliau menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Dalam pemilihan Umno pada 2004, Isa memenangi jawatan naib presiden Umno dengan undi terbanyak, tetapi dibatalkan kemudiannya selepas didapati terbabit dalam politik wang.

Berikutan itu, Isa digantung keahlian selama enam tahun, atau dua penggal, tetapi dikurang kepada tiga tahun selepas beliau membuat rayuan. Tempoh penggantungannya tamat tahun lepas.

Malaysiakini difahamkan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan arahan lisan mengenai larangan tersebut, tetapi tidak dapat disahkan.

Bagaimanapun, sumber dalam sebuah akhbar harian berbahasa Cina berkata, arahan itu melarang sebarang sebutan mengenai penggantungan Isa, sama ada dalam laporan berita atau pun ulasan.

"Alasan yang diberikan ialah penggantungan Isa adalah perkara lama dan Isa juga telah menjalani hukumannya. Oleh itu, adalah lebih baik untuk menyerahkan kepada penggundi sendiri untuk memutuskannya," kata sumber itu.

"BN juga bimbang isu tersebut akan menjejaskan kempennya, memandangkan wujudnya masalah dalaman antara Isa dan Menteri Besar, Datuk Mohammad Hassan,".

MalaysiaKini/-

Kempen dengan Ust. Ahmad Awang di Bagan Pinang.

Berbual dengan tetamu kecil kaum Tionghua yang hadir bersama keluarganya dalam jamuan Hari Raya di UPU Taman Eastern yang menempatkan undi pos tentera dan DUN Bagan Pinang. UPU tersebut di bawah seliaan PAS Wilayah Persekutuan dan PAS Kawasan Jelebu. Berbagai juadah disediakan memeriahkan lagi jamuan tersebut termasuk menu istemewanya ialah lemang bersama rendang daging dan ayam. Disamping itu ramai juga kaum India yang hadir dalam majlis tersebut. Selain itu majlis diserikan juga dengan persembahan nasyid oleh juara akademi nasyid, Azhan Atan.
Bergambar bersama Ust. Ahmad Awang yang hadir bersama saya. Kami diberikan kesempatan untuk memberikan ucapan kepada semua yang hadir disamping diberi penghormatan untuk mengagih-agihkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir.

Papan tanda provokasi: PAS buat laporan polis

PAS telah membuat laporan polis dan menggesa supaya diturunkan beberapa papan tanda yang didakwa "menimbulkan prasangka jahat" terhadap calon parti itu dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Beberapa papan tanda kempen BN yang dibantah oleh PAS membawa mesej "Tolak PAS serta "Usah biarkan dipesongkan" - telah dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Bagaimanapun, PAS mahu kesemua papan tanda berkenaan yang diletakkan di lokasi-lokasi strategik di kawasan Bagan Pinang supaya diturunkan.

Firdaus Jaafar yang juga mengetuai jentera pilihan raya PAS di Telok Kemang berkata BN perlu bertanggungjawab atas kesalahan tersebut yang disifatkan "menimbulkan provokasi" dan prasangka jahat."

Jelasnya lagi, papan tanda berkenaan telah dinaikkan sejak dua hari lalu dan pihaknya telah membuat laporan polis hari ini.

"Kita dapati BN telah menyalahi seksyen 4 A (1) Akta Pilihanraya, jadi kita Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat telah buat laporan polis di Balai Polis Teluk Kemang hari ini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Saya serta wakil calon telah bertemu pengerusi SPR negeri memaklumkan isu kita tidak berpuashati berkenaan billboard 'Tolak PAS,' 'Usah biarkan dipesongkan' kemudian ada lambang parti BN, jadi saya rasa BN perlu bertanggungjawab kerana menimbulkan provokasi, prasangka jahat yang menyalahi akta berkenaan," katanya lagi ketika ditemui di sebuah program PAS di Taman Desa Rusa, Port Dickson.

'Mahu diturunkan semua'

"Ada juga gambar Ahli Parlimen Wahid Endut diletakkan gambar budak, Ini semua kita minta turunkan.

"Apa dimaklumkan oleh pegawai saya, ia telahpun diturunkan, tapi kami bukan mahu dua tiga keping saja diturunkan tapi seluruh billboard besar yang menyebut PAS, logo-logo PAS, yang berkaitan pakatan rakyat mesti diturunkan," katanya.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Abdul Latiff Baba ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya berkata papan-papan tanda yang diturunkan itu didapati "ada ayat atau perkataan yang dikategorikan sebagai boleh membawa perkara yang tak elok, yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai."

Ditanya sekiranya ini berpunca daripada laporan yang dibuat oleh PAS hari ini, beliau tidak menjawab, sebaliknya berkata kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat telah bersetuju supaya bahan-bahan kempen tidak mengandungi perkara-perkara yang boleh menyentuh perasaan satu sama lain.

"Lebih elok kalau parti cuma memaparkan manifesto dan mesej mereka tanpa provokasi," katanya.

Firdaus, bagaimanapun berkata pihaknya mendapati MPPD masih belum menurunkan kesemua papan tanda terbabit.

"Kita dapati bukan semua yang diturunkan. Di tepi jalan masuk ke (Taman Desa Rusa) pun masih belum diturunkan. Kita nak ia diturunkan segera.

'Pandangan politik'

Sementara itu, anggota penguatkuasa MPPD berusaha menurunkan papan tanda 'BN Zalim' yang dinaikkan oleh DAP di Batu 9, Telok Kemang, berkaitan isu yang melibatkan kematian Teoh Beng Hock dan A. Kugan.

Pemimpin DAP, Ronnie Liu yang ditemui di situ berkata, beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga berada di tempat itu cuba menasihatinya supaya menurunkan kerana mesej yang dipaparkan didakwa bersifat provokatif.

"Mereka cuba katakan, mesej pada papan tanda ini provokatif dan menyinggung perasaan, tapi bagi kita ia cuma pandangan politik. 'BN Zalim' atau 'BN tidak zalim' itu boleh diperdebatkan," katanya kepada wartawan..

"Kalau pengundi setuju, dia akan setuju. Kalau dia tidak setuju, dia takkan undi kita," katanya lagi.

MalaysiaKini/-

400 nama berganda dikesan di Bgn Pinang

kemaskini 6.54pm PAS mendakwa mengesan nama kira-kira 200 pemilih yang dimasukkan dua kali dalam daftar pemilih, termasuk melalui kad pengenalan tentera, yang akan digunakan pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

"Daftar pemilih ini berpotensi tidak bersih. Kita berjaya mengesan kira-kira 200 (kemungkinan) undian dua kali.

"Terdapat (kemungkinan) undi di dua tempat. Mereka ini ada kad pengenalan tentera (sebagai pemilih pos) dan ada kad pengenalan awam (sebagai pemilih biasa)," kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Suhaizan, yang bertindak sebagai ketua jawatankuasa undi pos Pemuda PAS, berkata pendaftaran berganda berlaku apabila terdapat anggota tentera yang mendaftar dua kali sebagai pemilih – ketika masih bertugas dan juga di luar perkhidmatan dengan pasukan keselamatan.

Ditanya bagaimana PAS dapat mengesan perkara itu, Suhaizan hanya berkata: “Kita ada sistem untuk mengesannya”.

Sehubungan itu, tambahnya, rombongan PAS yang diketuai oleh naib presidennya Salahuddin Ayub dan setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali akan membangkitkan isu itu dalam pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya esok.

Difahamkan, maklumat terperinci mengenai dakwaan mereka akan didedahkan kepada media kira-kira 3 petang selepas pertemuan tersebut.

Suhaizan juga mempersoalkan tindakan SPR yang hanya membenarkan seorang ejen calon bagi memantau perjalanan pengundian pos kira-kira 4,500 tentera sedangkan ia melibatkan lapan saluran di satu tempat pembuangan undi.

“Kalau hanya satu orang ejen sahaja dibenarkan, dengan kapasiti lebih 4,000 pemilih, ini bukan ejen, Lebih baik dipanggil 'patung' pilihan raya,” katanya.

Beliau mencadangkan 16 ejen dibenarkan bagi mewakil setiap calon pada hari mengundi pilihan raya kecil tersebut, 11 Oktober ini.

Pada Khamis dan Jumaat ini, anggota-anggota tentera di lapan kem akan memilih sama ada calon BN Tan Sri Isa Samad atau calon PAS Zulkefly Mohamad Omar di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson.

Sementara itu, dalam sidang media harian PAS di Bagan Pinang pagi tadi, Salahuddin mempersoalkan pemendekan tempoh bagi membuang undi pos daripada lima hari – seperti diamalkan sebelum ini – kepada dua hari.

Ahli parlimen itu berkata, pengurangan itu telah menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat umum.

“Kita bukan hendak menuduh sesuatu, tetapi kita mempunyai hak untuk merasa ragu-ragu,” tambahnya.

Dalam setiap pilihan raya, undi pos sentiasa menjadi isu pembangkang kerana dicurigai wujudnya penyelewengan yang memihak kepada calon BN.

Di Bagan Pinang, jumlah pemilih pos sangat besar - 4,620 daripada 13,664 orang yang layak membuang undi.

MalaysiaKini/-

PELANCARAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT NEGERI PERAK

Kelihatan dari kiri Exco Pemuda DAP Perak (DAPSY) Ng Yun Long, Ketua Angkatan Muda Keadilan Perak YB Yunus Jamsari, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Us Zawawi Hassan, Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak Us Mohd Akmal Kamaruddin, Timb AMK Perak YB Chan Ming Kai serta Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan YB Ong Boon Piow selepas sidang media pemuda Pakatan Rakyat Perak di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak .

Ipoh, 5 Okt - Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Perak telah mengadakan sidang media untuk mengumumkan tarikh pelancaran sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Perak secara rasmi pada 24 Oktober 2009 bertempat di Lumut. Majlis pelancaran sekretariat ini bertujuan untuk menghimpunkan penyokong serta aktivis pemuda PR Perak di semua peringkat bagi menunjukkan kesepaduan yang jitu dan komitmen yang tinggi dalam perjuangan bagi menghadapi keangkuhan UMNO/BN.

Berbual sambil bertukar-tukar pandangan tentang isu semasa

Sidang media ini juga diadakan bagi menjawab segala isu yang timbul khususnya di Negeri Perak seperti isu rampasan kuasa di Negeri Perak, kemerosotan ekonomi yang makin meruncing, tuntutan pembubaran DUN Perak sebagai langkah yang paling berkesan untuk menyelesaikan masalah di Negeri Perak, penindasan kerajaan kudeta terhadap rakyat yang semakin ketara serta lain-lain.

Harapan sekretariat pemuda PR agar seluruh pemuda yang cintakan demokrasi agar dapat turun ke Lumut pada tarikh tersebut dan kepimpinan utama Pemuda PAS, AMK dan DAPSY Kebangsaan akan turut hadir bagi menjayakan program tersebut.

Segala urusan berkaitan sekretariat pemuda PR Perak boleh menghubungi Setiausaha sekretariat Pemuda PR Perak, Sdr Safarizal Saleh 013 3266194

sekian,

MOHD AKMAL KAMARUDIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Perak