24 Mac 2010

ADUN BN Titi Tinggi letak jawatan

7 Rabiulakhir 1431H.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi dari MCA, Yip Sun Onn telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat semalam.

Speaker DUN Perlis telah dengesahkan berita tersebut seperti yang disiarkan dalam media elektronik termasuk Malaysiakini.

Dalam suratnya itu, kata beliau, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu, dilapor juga telah mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, Md Isa berkata pihaknya sedang merayu Yip untuk menarik balik hasratnya itu dan yakin pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.

"Dalam suratnya, Yip berkata beliau bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat," kata Speaker DUN Perlis.

Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan yang Yip tidak berpuas hati apabila beliau digugur daripada menjadi exco negeri baru-baru ini.

Yip merupakan exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri - memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan - dan satu-satunya exco yang digugur pada 19 Mac lalu.

Temp atnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho. Beliau juga merupakan setiausaha MCA Perlis.

Mengulas lanjut, Yazid berkata kedudukan Yip belum diputuskan lagi "dan masih dalam pertimbangan saya".

"Kita minta beliau bertenang dan memikirnya semula (keputusannya itu)," tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya kecil di DUN Titi Tinggi, Yazid berkata: "Saya tak mahu kata apa, terserahlah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). SPR yang akan tentukan," katanya

Semangat keusahawanan di Kelantan tinggi

7 Rabiulakhir 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 23 Mac: Kelantan sedang melangkah maju dalam bidang berasaskan ICT dan multimedia memandangkan semangat keusahawanan rakyatnya tinggi.

Oleh itu, pengerusi Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mempertingkatkan kemudahan infrastruktur ICT negeri.

“Di samping itu menyediakan insentif yang bersesuaian sebagai pemangkin kepada usahawan-usahawan tempatan.

”Usahawan-usahawan di sini hendaklah mengambil peluang untuk terus maju dan berdaya saing secara sihat dalam era teknologi maklumat,” katanya pada majlis penyerahan sijil status MCS Malaysia Inkubator kepda ICT Incubator Centre Sdn Bhd di Kelantan Trade Centre hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota Exco, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Mohd Sabri Abdullah.

Abdul Halim yang juga bekas Ketua Setiuasaha Negara berkata, MDeC mencetus dan merangka pelbagai program bagi memberi kesedaran untuk menarik lebih ramai penyertaan rakyat Malaysia menceburi bidang ICT dan multimedia.

Katanya, sejak 2008 program-program bagi melahirkan lebih ramai usahawan ICT dijalankan di Kelantan antaranya ‘Technopreneur Academy Program’ dan ‘Idea Refinement Program’

“Hari ini hasil daripada program yang dilaksanakan telah lahir beberapa usahawan baru dalam bidang ICT dan Multimedia.

”Terdapat juga beberapa usahawan berjaya mendapat dana MSC Malaysia bagi membangunkan idea perniagaan ICT dan multimedia mereka.

“Di mana tahun lepas dua usahawan ICT dari negeri ini berjaya memperolehi dana bernilai RM150,000 setiap projek untuk membangunkan idea perniagaan ICT dan multimedia,” katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri melalui PKINK dalam usaha menjenamakan semula bangunan KB Bazar bagi menjadikan sebagai sebuah pusat ICT yang terkenal di negara ini.

Katanya, pada masa ini beberapa syarikat IT sudah beroperasi di KB Bazar termasuk syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan iaitu Darul Digital.

”Saya menaruh harapan tinggi dengan adanya syarikat-syarikat IT milik swasta dan kerajaan, ia akan menjadi pelengkap kepada Pusat Inkubator ICT yang baru ditubuhkan ini.

”Saya berkeyakinan usaha PKINK akan berjaya dengan sokongan dan bantuan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, penjenamaan tersebut bakal merubah wajah dan nama KB Bazar kepada Kota Bharu Siber Plaza apabila segala prasarana Pusat Inkubator ICT siap dan beroperasi sepenuhnya.

Di samping itu, penglibatan beberapa syarikat industri komputer yang akan membuka operasi di Kota Bharu Siber Plaza dalam jangka masa terdekat.

Beliau juga berkata, menjadi dasar kerajaan negeri untuk menyokong dan menggalakkan pertumbuhan industri ICT dan multimedia kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan minda, akhlak, ekonomi dan sakhsiah demi pembangunan ummah.

Harakahdaily.net/-

Tersenyumlah!

7 Rabiulakhir 1431H
By: agussyafii

Sepasang pengantin baru merasa senang bercampur aneh ketika menerima kado yang berisikan dua lembar karcis bioskop yang bertuliskan :

"Coba tebak siapa saya?"

Mengira mereka sedang dikerjai oleh teman-temannya yang memang jail, akhirnya mereka memutuskan untuk nonton menggunakan karcis itu.

Sepulang nonton, betapa terkejutnya mereka mendapati rumah barunya kosong melompong kecuali sebuah kado yang belum dibuka.

Setelah dibuka, mereka hanya mendapati secarik kertas bertuliskan:

"Sekarang kalian tahu siapa saya."

Tersenyumlah! Kisah diatas adalah pengantar pagi hari ini agar teman-teman bisa tersenyum. Kita bisa menjadi lebih bahagia di tempat bekerja bila kita lebih banyak tersenyum. Dalam sebuah penelitian Harvard University, menampilkan wajah ceria akan memberikan dampak positif, baik bagi dirinya maupun orang-orang disekitarnya. Tersenyum sangat bermanfaat baik dalam hubungan pribadi maupun hubungan kerja. Tersenyum membuat setiap orang merasa nyaman.

- Tersenyumlah pada pasangan hidup anda, anak, orang tua, kerabat, sahabat, atasan atau teman kantor.

- Tersenyumlah di saat anda melintasi pintu dan memberi salam kepada orang yang anda jumpai.

- Tersenyumlah ketika anda berbicara melalui telepon dengan siapapun yang anda hubungi.

- Cobalah sekarang juga! Tersenyumlah dan perhatikan bagaimana tersenyum menjadikan anda lebih santai dan gembira.

Senyuman bermanfaat bagi kesehatan tubuh, sosial dan jiwa. Secara kejiwaan senyuman mengubah perasaan memberi anda semangat positif dan menghilangkan tekanan psikologis. Secara sosial, senyuman membuat anda lebih menarik dimata orang lain, senyuman juga menular sehingga menebarkan semangat positif kepada lingkungan disekitar kita. . Secara tubuh, senyuman menurunkan tekanan darah. Dan satu lagi yang paling penting senyuman bisa meningkatkan produktifitas kerja kita sehingga bisa menyelesaikan banyak pekerjaan kita dengan baik.

Ada satu hadist yang diriwayatkan al-Thabrani dalam kitab Mu'jam al-Awsath bahwasanya Nabi Muhammad Shalallahu 'Alaihi wa Salam bersabda, ' Allah senang jika kalian bisa menyelesaikan pekerjaan dengan baik.'

Jadi, sudah tersenyumkah anda dipagi hari yang indah ini?

Wassalam,
agussyafii

Museum Pelik......!!

7 Rabiulakhir 1431H
Email : Abang Mat






















Kalau DAP anti Islam, adakah Umno dua kali ganda anti Islam

7 Rabiulakhir 1431H
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 23 Mac: “Kalau DAP (dan) Pakatan Rakyat dianggap ‘anti Islam’, adakah Umno dua kali ganda ‘anti Islam’ kerana memberikan peruntukan yang jauh lebih sedikit waktu memerintah kerajaan negeri dulu,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Justeru, beliau menempelak dakwaan Umno bahawa DAP melaksanakan dasar ‘anti-Islam’ di Pulau Pinang apabila membacakan jumlah peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan negeri era Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional untuk perkembangan Islam.

“Waktu kita ambil alih kerajaan (2008), kerajaan Umno beri peruntukan (sebanyak) RM12.5 juta untuk perkembangan Islam di Pulau Pinang, selepas kita memerintah (2009), kita naikkan pada RM20.5 juta,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan kewangan untuk aktiviti perkembangan Islam sehingga RM24.3 juta pada tahun ini.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi soal jawab, mendakwa Guan Eng dan DAP mengamalkan sikap anti-Islam ketika mentadbir kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Utusan Malaysia turut didakwa cuba menutup pencapaian sebenar kerajaan negeri dalam memelihara kepentingan Islam dan umat Melayu di Pulau Pinang.

Tidak cukup dengan mendakwa Utusan Malaysia sebagai ‘utusan fitnah’, beliau turut mendakwa akhbar tersebut juga mengamalkan sikap anti Islam demi merealisasikan cita-cita Umno untuk menguasai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kelak.

Pun begitu, beliau melahirkan rasa yakin bahawa rakyat Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan dakyah ‘anti Islam’ yang dipropagandakan oleh akhbar Utusan Malaysia kerana rakyat sekarang bermaklumat dan bijak menilai berita dari akhbar tersebut.

Harakahdaily.net/-

PAS ucap takziah kepada keluarga Sulaiman Daud

7 Rabiulakhir 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Mac: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sulaiman Daud (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 8.10 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, allahyarham ketika hayatnya mempunyai hubungan yang baik dengan PAS sewaktu berada dalam kabinet.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kami mengucapkan takziah kepada kelurga almarhum.

"Beliau sangat sedih bila PAS dikeluarkan dari Barisan Nasional pada tahun 1978 menunjukkan betapa eratnya hubungan almarhum dengan PAS," katanya ketika ditemui di Parlimen pagi ini.

Ujarnya lagi, almarhum juga seorang pemimpin yang tidak pernah menunjukkan sikap kedaerahan dan kepartian khususnya kepada PAS sewaktu PAS memerintah Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan Dewan Rakyat bertafakur seketika bagi memberi penghormatan kepada allahyarham.

Allahyarham meninggalkan empat anak, Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.

Isteri allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.

Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat Persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.

Selain itu, allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di klinik Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an.

Harakahdaily.net/-

Polis rampas lagi buku kartun Zunar

7 Rabiulakhir 1431H

JASIN, 23 Mac: Polis bertindak merampas lagi buku-buku kartun yang diterbitkan oleh Gedung Kartun yang dimiliki oleh Kartunis Zunar atau nama sebenarnya, Zulkifli Anwar Ulhaque dan rakan-rakannya.Kali ini, Polis Jasin merampas buku dan majalah kartun itu di Asahan, Melaka.

Menurut Zunar dalam kenyataannya, pada 20 Mac lepas, ASP Woon Chai Choi serta tiga anggota dari IPD Jasin Melaka bertindak merampas majalah-majalah kartun keluaran beliau dari seorang pengedar di Asahan.

Mereka pada mulanya merampas berpuluh-puluh majalah Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun dan 1Funny Malaysia, tetapi selepas bantahan dari beliau melalui telefon, barulah jumlahnya dikurangkan kepada satu naskah setiap judul.

Dalam perbualan melalui telefon dengan beliau, ASP Woon menyatakan sebab rampasan ialah untuk menyiasat. Tetapi melalui surat rampasan yang diberi (dilampirkan) tidak dinyatakan sebab-sebab rampasan dan di bawah akta apakah rampasan dibuat.

Februari lepas, sepasukan polis yang diketuai Chief Inspektor Mohd Noor Azlan Bin Mansor telah membuat serbuan di sebuah kedai di Carrefour Seberang Jaya, Pulau Pinang dan merampas empat naskah majalah Isu Dalam Kartun.

Serbuan yang sama juga dibuat di Butterworth dengan 15 naskah rampasan, Taman Bertam, pekan Kepala Batas, Kampung Belah Dua, Permatang Pauh serta beberapa kawasan lagi.

Ogos tahun lepas, pegawai-pegawai KDN merampas 408 naskah sulung majalah Gedung Kartun di pejabat saya di Brickfields, Kuala Lumpur Pegawai-pegawai KDN juga merampas plat percetakan dari kilang percetakan majalah tersebut.

Dalam kenyataan medianya, Zunar menyifatkan tindakan pihak berkuasa ini sebagai 'rampasan sesuka hati' dan membelakangkan kedaulatan undang-undang.

"Saya mengulangi bahawa tindakan pihak berkuasa bermotif politik untuk menyekat pandangan alternatif dan suara-suara yang mengkritik. Ia juga adalah satu bentuk ancaman kepada saya dan kartunis-kartunis saya," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan ini menjadikan kebebasan akhbar di bawah pemerintahan Najib Tun Razak mengundur beratus tapak ke belakang dan sekarang tidak lebih dari 'satu cerita kartun' dan bahan ketawa masyarakat dunia.

"Saya menggesa agar semua buku saya yang dirampas dipulangkan. Saya juga sedang berbincang dengan peguam untuk mengkaji apakah tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak berkuasa berhubung tindakan ini," katanya lagi.

Harakahdaily.net/-

PAS mahu Rukun Negara dipinda

7 Rabiulakhir 1431H

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (berserban) berkata pemimpin Islam gagal menangani isu penggunaan kalimah Allah sehingga menyebabkan berlakunya serangan ke atas rumah-rumah ibadat.

Beliau yang juga wakil PAS berkata dari segi hukum, Islam tidak melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah berkenaan.

"Apa yang penting ialah penjelasan, dialog di antara pemimpin-pemimpin agama, bukan diserahkan kepada mereka yang bebal dan menggunakan hukum akal, tidak menggunakan nas.

"Malangnya perkara ini dibawa ke mahkamah, berlakunya pembakaran gereja, berlaku pembakaran masjid, berlaku perkara negatif.

"(Ini) menunjukkan kita tidak menangani perkara ini dengan baik," katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, peluang itu juga seharusnya digunakan untuk berdakwah dan memberi penerangan mengenai Islam kepada golongan bukan Islam.

"Mereka guna perkataan Allah, dan sepatutnya peluang ini digunakan untuk masuk ke gelanggang mereka untuk menjelaskan.

"Saya minta supaya kerajaan meminda Rukun Negara yang pertama, kepada kepercayaan kepada Allah," tegas Hadi.

Katanya lagi, al-Quran tidak pernah menghalang penganut agama lain daripada menggunakan kalimah Allah semasa hayat Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, pendirian seperti itu boleh dilihat dalam surat yang dikirim oleh Nabi Muhammad kepada Raja Mesir yang menganut Kristian.

"Tanpa memaksa mereka menerima agama kita, kita berhujah sekiranya berlaku kekeliruan," katanya lagi.

Jelasnya, dalam warkah berkenaan, Nabi Muhammad memberitahu Raja Mesir bahawa umat manusia tidak boleh menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada di kalangan pemimpin mahupun di kalangan paderi.

Katanya, Nabi Muhammad juga tidak menghalang penganut Kristian itu menggunakan kalimah Allah.

"Di sinilah mengapa Islam membenarkan penganutnya makan sembelihan daripada penganut agama lain (ahli kitab).

"Sembelihan mereka halal kerana mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah.

"Ini menunjukkan keizinan itu berlaku," kata Abdul Hadi lagi.
Ketika ditemui media selepas itu, Abdul Hadi berkata beliau turut mencadangkan supaya perkara 'kepercayaan kepada tuhan' dalam Rukunegara diubah dengan 'kepercayaan kepada Allah.'

Jelasnya perkara tersebut boleh dilakukan memandangkan masyarakat bukan Islam sudah boleh menerima Islam sebagai sebahagian daripada agama mereka.

"Kerajaan perlu terima positif dalam tangani isu ini, bukan negatif. Penganut agama Kristian dan agama lain sudah sedar Allah diberi nama unggul, perkataan lain yang mereka guna sebelum ini, God, Lord dan lain-lain tidak tepat," katanya.

"Ini menunjukkan mereka sudah terima Allah sebagaimana mereka terima Islam sebagai agama. (Jadi perlu) ubah Rukun Negara kepada lebih pro-aktif dalam masa sama tuju ke arah perpaduan rakyat," katanya lagi dan menambah kekeliruan yang berlaku adalah akibat kejahilan orang Islam sendiri dalam membuat penafsiran.

Malaysiakini/-

Selepas diserang Utusan: Adun Selangor pertahan Sultan

7 Rabiulakhir 1431H

SHAH ALAM, 22 Mac: Sekurang-kurangnya lima Adun Selangor akan mengadakan sidang media esok bagi mempertahankan Sultan mereka selepas diserang oleh Utusan Malaysia melalui ruangan Awang Selamat, iaitu ruangan yang ditulis oleh pemimpin editorial akhbar Umno itu.

Kelima-lima mereka memanggil satu sidang akhbar khas atas nama "ADUN-ADUN SELANGOR PERTAHANKAN SULTAN SELANGOR."

Mereka yang akan mengadakan sidang akhbar itu adalah Amirudin Shari (Batu Caves), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Dr. Abdul Rani Osman (Meru) dan Dr. Ahmad Yunus (Sijangkang).

Ia akan diadakan jam 12.30 tengahari esok di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Annexe Bangunan SUK, Shah Alam.

Utusan Malaysia hari ini, melalui tulisan Awang Selamat, menyiarkan satu tulisan yang disifatkan sebagai mempertikaikan tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah yang membatalkan rancangannya untuk merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini.

Ulasan yang dibuat oleh pimpinan editorial Utusan itu dianggap mencabar keputusan Sultan Selangor itu dan mengungkit siapakah yang membela raja-raja Melayu selama ini.

Antaranya, Utusan melaporkan:

"Awang ingin bertanya kepada semua, siapakah paling lantang dan ke hadapan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu ketika dihina, jika bukan Perkasa. Di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya raya ketika Raja-Raja Melayu dicabar?"

Ekoran keputusan Sultan Selangor tidak mahu merasmikan mesyuarat itu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir akan menggantikannya.

Harakahdaily.net/-

Mampukah Najib mengurangkan pelepasan 40% karbon?

7 Rabiulakhir 1431H
http://drdzul.wordpress.com

Soalan YB Rembau kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini menarik saya untuk membuat komentar ini. Rembau bertanya tentang strategi dan langkah-langkah yang sedang dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Najib di Conference ‘Climate Change’ Copenhagen, Denmark bulan Disember 2009.

Najib berjanji untuk mengurangkan pelepasan 40% karbon ‘in term of emissions intensity of GDP’ pada tahun 2020 berbanding 2005 (sebagai baseline). Terkini mengikut United Nations, Malaysia melepaskan 187 juta tan setiap tahun atau bersamaan 7.2 juta tan setiap warga negara ini.Meskipun Menteri telah menyebutkan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam pelbagai kegiatan ekonomi seperti aktiviti penjana kuasa, kenderaan automotif, pengilangan dll yang seluruhnya berakhir dengan pelepasan karbon, tegasnya adalah pelepasan karbon adalah berkadar langsung dengan kegiatan ekonomi sekaligus GDP atau KDNK.

Dengan kata lain, untuk Najib berjanji mengurangkan 40% pelepasan karbon intensiti nisbah KNDK/GDP, sedarkah Najib bahawa kurang lebih, negara hanya boleh melakukan pertumbuhan sebanyak 2.5% setiap tahun sahaja. Apakah ini satu yang realistik dan menasabah. Bukankah mengikut Najib sendiri bahawa negara perlu tumbuh sebanyak 6.5%, paling tidaknya, untuk selama 10 tahun supaya negara mencapai negara maju atau sebagai NIC (New Industrilaised Country) pada 2020.

Disamping segala kegiatan ekonomi yang bersifat ‘carbon-emitting’ yang membakar bahan fosil, penggunaan tanah gambut pula dalam perladangan kelapa sawit menghapuskan mekanisme ‘carbon-trapping’ secara tabii.

Nyata bahawa Perdana Menteri secara mudah-mudah membuat janji nampaknya, sehingga Ahli Parlimen Rembau tidak dapat mengelakkan dari menyebut bahawa beliau juga sangsi akan matlamat pengurangan itu sebgai satu yang realistik dalam soalan tambahan beliau. Ini meletakkan janji-janji yang dibuat oleh Najib semacam tidak difikirkan secara tuntas atau ‘thought through’.

Saya tidak berpeluang bertanya Menteri, dalam soalan tambahan, apakah kerajaan BN ini, pertama-tama telah komited dan punya satu tekad untuk menghayati ‘budaya pemikiran lestari’ yang perlu wujud pertama-tama di kalangan pimpinan negara dahulu dan warga pendidik, sebelum negara ini mampu memacu satu konsep pembangunan yang mapan, lestari dan mesra-alam.

Hanya dengan kesediaan ‘minda lestari’ ini serta pelaburan dalam R&D maka pembangunan dan inovasi teknologi hijau sebagai wasilah untuk mencapai pelestarian secara lebih terencana, holistik dan bersepadu mampu dijana. Berdasarkan kayu ukor ini dan kedudukan prestasi semasa serta ‘ekosistem minda’ yang masih di takok lama, saya cenderung untuk bersetuju dengan YB Rembau bahawa komitmen Najib untuk mengurangkan 40% pelepasan karbon adalah tidak realistik.

Najib perlu merujuk kepada khidmat pakar-pakar tempatan dan juga pengalaman negara lain sebelum beliau membuat janji yang sebesar ini. Kalau tidak ia menjadi omongan kosong yang kemudian akan dimungkiri dan dipersalahkan pelbagai pihak lain.

Dr Dzulkefly Ahmad,
Ahli Parlimen Kuala Selangor.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily.net/-

Episod kemusnahan sedang deras melanda negara

7 Rabiulakhir 1431H
http://episodeperjuangan.blogspot.com

1. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [JPN] Datuk Alwi Ibrahim telah mendedahkan peningkatan Anak Luar Nikah [ALN] yang didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Negara: [ Berita Minggu : 21 Mac ]

a] 2007 : 16,100 anak Luar nikah
b] 2008 : 16,541 anak luar nikah
c] 2009 : 17,303 anak luar nikah

2. Datuk Alwi juga menyebut bahawa dalam tempoh 5 tahun terakhir Jabatan Pendaftaran Negara telah mencatatkan 74,723 anak luar nikah yang membabitkan orang melayu Islam .

[ Fakta ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ]

3. Sepanjang tempoh yang sama [ 5 tahun ] , seramai 214,033 bayi luar nikah didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf termasuk kes anak yang tidak berbapa dari pelbagai bangsa dalam negara kita .

4. Fakta yang saya paparkan ini satu lagi episod kebinasaan dan kemusnahan yang sedang deras melanda negara . Membunuh sistem nilai dan memasung maruah ummah . Segalanya angkara nafsu yang tidak dipandu oleh wahyu . Hidup dalam satu sistem politik dan sosial yang terhindar dari petunjuk Allah swt dan pedoman sunnah Rasulullah saw.

5. Sistem pendidikan , perumahan , pembangunan , IT , media dan lainnya yang sangat jelas serta ketara tidak menepati syarat dan sistem Islam adalah antara penyumbang utama kepada keruntuhan moral dan akhlak . [ sebagai contoh ....]

Pendidikan : Tidak menitik beratkan pentarbiyyah untuk melahirkan insan yang soleh dan bermoral . Nilai agama dan moral tidak menjadi asas utama dalam memburu kecemerlangan akdemik .

Perumahan : Rumah murah 2 bilik tidak sesuai untuk rakyat kerana menyumbang kepada gejala sumbang mahram serta susun atur kawasan perumahan yang tidak islamik sebagai contoh kawasan perumahan yang tidak disediakan surau oleh pemajunya dan pusat pengajian agama tambahan serta kawalan akhlak dan moral selain warden yang menjaga keselamatan tetangga .

Pembangunan : Hanya memburu keuntungan sehingga dalam satu daerah biarpun majoriti muslim masih dibenarkan kedai - kedai jualan arak dan kondom secara terbuka seperti seven eleven dan pertumbuhan kelab malam , karaoke , rumah urut yang tidak terkawal tumbuh bagai cendawan selepas hujan .

6. Seperkara lagi yang saya lihat tidak kurang juga pentingnya ialah kegagalan pihak berwajib menjalankan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran [ an Nahyu a'nil mungkar ] . Seketika , nasib pelacur , mak nyah lebih baik dari penceramah agama dan pendakwah yang sering diburu kerana tiada tauliah . Demikian juga nasib kelab malam dan pusat hiburan yang mendapat cop "halal" oleh pihak berkuasa tempatan nyata lebih baik dari masjid dan surau yang tidak dibenarkan menganjur majlis - majlis ilmu .

7. Apa yang berlaku ialah al amrul bil mungkar wa nahyu a'nil makruf ! Khatib yang membaca khutbah tanpa tauliah dari jabatan agama meskipun mendapat ijazah dari universiti Islam senantiasa dalam resah dan gusar diburu oleh penguatkuasa agama berbanding rasa selamat dan selesanya mereka yang langsung tidak hadhir solat jumaat .

8. Setiap kali dipersoal , pihak penguatkuasa ini sering menggunakan hujjah arahan orang atas !
Tentunya orang atasan ialah orang yang berkuasa iaitu kerajaan yang memerintah . Malang bagi sebuah kerajaan yang memiliki kuasa dan mandat rakyat tidak menggunakannya untuk membasmi maksiat dan mungkar tetapi sebaliknya menunjukkan sikap anti agama atau anti Islam . Islam yang mereka mahu ialah Islam yang boleh kompromi dengan maksiat dan mungkar .

[ contoh : Masjid dibina tetapi Kelab Malam juga dibina . Musabaqah Al Quran dianjur tetapi Akademi Fantasia juga dianjur . Peluang pekerjaan disedia tetapi pusat - pusat judi juga disediakan dan banyak lagi contoh contoh lain .]

9. Bukan tidak tegur dan bukan juga tidak dinasihati , tetapi mereka sukar memahami . Kita telah menghantar memorundum , kita telah menegur dalam kunjungan hormat kita , kita juga sudah sebut dalam dialog , wacana ilmiah , debat , khutbah , kuliah , ceramah bahkan demonstrasi . Kita juga menegur mereka secara rasmi di dalam Parlimen , Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri tetapi semuanya tidak membuahkan hasil . Mereka hanya memekakkan telinga dan menggulung lidah .

10. Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk bangkit berjuang bagi menyelamatkan negara dari kebinasaan dan kemusnahan ini dengan membuat desakan agar syariat Islam dilaksana dan didaulatkan . Ianya adalah satu desakan berasas setelah semua pihak menyaksikan kegagalan total sistem peraturan dan undang - undang ciptaan manusia .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily.net/-

Minta fatwa hukum bayar RM60 juta pada syarikat Yahudi

7 Rabiulakhir 1431H
Angkasanuri

Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat akan menentukan tindakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kenyataan di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa 1Malaysia sama dengan 1Israel yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Israel, Ehud Barak pada tahun 1999.

Dakwaan ini kerana kerajaan 1Malaysia dikatakan membayar kira-kira RM 60 juta untuk menjual jenama 1Malaysia kepada APCO Worlwide konsultan milik Yahudi yang sama digunakan oleh Ehud Barak.

Sehingga hari pemimpin Umno-BN hanya melenting dan marah-marah apabila 1Malaysia disamakan dengan 1Israel.

Tetapi sehingga hari ini belum ada satupun kenyataan penafian bahawa kerajaan 1Malaysia ada membayar kepada APCO Worldwide.

Dr. Yusof Al Qardhawi pernah mengeluarkan fatwa adalah haram melawat negara haram yahudi itu kerana akan membantu ekonomi mereka.

Justeru itu saya teringin mendengar fatwa terutama dari Menteri di JPM Datuk Jamil Khir dan Mufti Perak Tan Sri Harussani apa hukumnya membayar Rm 60 juta kepada syarikat milik yahudi. Maklumlah saya ni belajar agama tak tinggi.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily.net/-

1Malaysia Najib lompang, tiada pengisian – Presiden PAS

7 Rabiulakhir 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lompang dan tiada pengisian yang jelas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang semalam berkata, 1Malaysia belum bebas daripada masalah moral di kalangan pemimpin Umno/BN.

"Bukan saya marah 1Malaysia, tapi jangan tulis 1Malaysia besar-besar tapi pengisian tidak tepat. Di negeri saya (Terengganu) contohnya, banyak sekolah didirikan di pedalaman tapi tiada pelajar. Ada kelas yang langsung tidak ada pelajar disebabkan kroni-kroni Umno/BN berebut untuk mendapatkan projek sehingga berlakunya lebihan sekolah.

"Tetapi ada pula di kawasan yang padat penduduk tapi sekolah tidak mencukupi. Bilik darjahnya tak cukup, makmal komputer runtuh kerana masih ada salah urus, rasuah yang perlu disiasat," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan terdahulu bertanggungjawab terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan yang berleluasa hari ini kerana ianya diwarisi oleh mereka.

"Perkara ini berlaku dalam era pemerintahan yang lalu. Jadi kerajaan hari ini harus berani menyatakan kesalahan pemimpin yang lalu," katanya.

Beliau menambah, slogan 1Malaysia akan juga menjadi seperti slogan yang terdahuliu jika kerajaan hanya memikirkan slogan pada zahirnya, tanpa berusaha meningkatkan mutunya.

"Media yang hanya mengiklankan 1Malaysia, sehingga salam pun 1Malaysia, bukan mengisi modal insan akan menyebabkan slogan 1Malaysia menerima nasib yang sama dengan slogan yang terdahulu," katanya.

Ustaz Abdul Hadi turut menyentuh mengenai media yang semakin tidak bermutu kerana lambakan rancangan hiburan yang melampau, mendahului fungsinya sebagai penyebar ilmu dan maklumat kepada rakyat.

"Media ialah alat mengilmukan rakyat tapi sekarang ini media dipenuhi oleh hiburan yang melampau. Media bukan lagi menjadi alat untuk kita mendapatkan ilmu yang berfaedah sebaliknya hanya menjadi penting ketika adanya pilihan raya kerana media digunakan Umno/BN untuk memenangkan mereka.

“Rakyat sedang diperbodohkan kerajaan melalui media dengan menyiarkan iklan-iklan yang melampau menjadikan rakyat lebih berkhayal di alam impian daripada berilmu dan beramal di alam nyata," katanya.

Menyentuh mengenai sistem kehakiman pula, Beliau berkata, sehingga kini sistem itu di Malaysia belum mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada rakyat.

"Betapa besarnya bidang kehakiman, sehingga Islam meletakkannya dalam perkara fardu kifayah dan menjadi perkara fardu ain pula kepada pengamalnya. Oleh sebab itu, Islam meletakkan sistem ini terpisah dengan sistem lain," katanya.

Harakahdaily.net/-

23 Mac 2010

PEMIMPIN UMNO MENGAPA TERUS MENGETEPIKAN ISLAM?

mohd hafez sabri

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak menyatakan bahawa Umno merupakan
satu-satunya parti Melayu yang majoritinya penganut agama Islam yang
diberi mandat sementara bagi menerajui negara sejak sebelum merdeka
lagi.

Umno adalah sebuah parti yang memperjuangkan nasionalisme Melayu,
sememangnya matlamat perjuangan umno bukannya untuk Islam, tetapi
mengambil kesempatan terhadap agama Islam bagi mengekalkan kuasa
mereka di Malaysia jelas beliau.

Menurut beliau, lebih separuh kurun rakyat memberikan kepercayaan
terhadap Umno bagi menerajui negara. Sememangnya dalam tempoh itu
ianya telah membentuk minda diktator di kalangan pemimpin Umno-BN.

Menurut beliau lagi, pemimpin Umno sering merasakan mereka terlalu
kuat dan gagah dan tidak mampu ditumbangkan oleh sesiapa pun. Mereka
turut menganggap bahawa mereka adalah tuan kepada sistem politik,
ekonomi, pembangunan, pendidikan dan segala-galanya dalam negara ini.
Selain itu beliau menjelaskan apa yang menyedihkan bagi kita umat
Islam, pemimpin Umno lupa dan lalai untuk menunaikan tanggungjawab
mereka sebagai sebuah parti yang mewakili orang melayu.

Malah kekuatan orang Melayu yang majoritinya beragama Islam juga,
tidak dapat mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan kerana Umno
mengambil dan melaksanakan agama secara berpilih-pilih, tegas beliau.

Dalam ertikata lain, Islam pada Umno, hanya akan dilaksanakan, pada
aspek-aspek yang menepati kepentingan politik, untuk mengekalkan kuasa
politik mereka, bukan untuk melaksanakan Islam yang syumul sebagaimana
tuntuan syarak.

Kini umno semakin celaru apabila orang bukan Melayu beralih arah
kepada Pakatan Rakyat, Umno semakin gusar.
Kini Umno cuba menggunakan perang psikologi dengan mendakwa kuasa
politik Melayu sudah semakin terhakis.

Memetik ucapan beliau Umno sebenarnya hanya mahu memadamkan hakikat
bahawa, terhakisnya kuasa politik Melayu adalah kerana kesilapan dan
ketamakan mereka untuk mengekalkan kuasa dan mereka telah mengenepikan
Islam sebagai dasar perjuangan

Kini, Permainan politik Umno-BN ini sudah tidak boleh diterima rakyat.
Pemimpin-pemimpin mereka sedang dilanca kecelaruan yang tidak
berkesudahan akibat kekalahan besar dalam PRU ke 12 yang lalu.

Menurut beliau lagi, pada saat ini bukan sahaja Umno yang sedang
celaru. Seluruh parti komponen BN juga turut dilanda kecelaruan.
Mereka tidak sedar bahawa Umno, MCA, Gerakan, MIC dan seluruh anggota
komponen BN sedang menerima hukuman yang berat iaitu penolakan yang
berterusan daripada rakyat

PERANGKAP SYAITAN

Perangkap Pertama: Kufur Kepada Allah Subhanahu wa Taala, Agama-Nya, Pertemuan Dengan-Nya, Kesempurnaan Sifat-Sifat-Nya, Dan Ingkar Terhadap Berita-Berita Yang Disampaikan Oleh Para Rasul-Nya

Apabila syaitan berhasil dengan perangkap ini, maka padamlah api permusuhannya, dan dia akan beristirehat. Tetapi jika seorang hamba berhasil mengatasi perangkap ini dan selamat daripadanya dengan hidayah dan cahaya iman, maka syaitan akan beralih kepada tingkatan kedua.

Perangkap Kedua: Bid'ah.

Bid'ah ini mungkin berupa keyakinan yang menyalahi kebenaran yang dibawa oleh para rasul Allah Subhanahu wa Taala. Ia juga mungkin berlaku dalam bentuk ibadah dengan cara yang tidak diizinkan Allah Subhanahu wa Taala, seperti syiar-syiar dan upacara-upacara yang diada-adakan di dalam agama. Kedua jenis bid'ah ini (aqidah dan ibadah) pada umumnya berkaitan antara satu dengan yang lain, jarang sekali yang satu terlepas dari yang yang satu lagi.

Perangkap ini dapat diatasi dengan cahaya sunnah, atau iltizam (berterusan) mengikuti sunnah dan perilaku para salaf yang soleh dari kalangan sahabat dan tabi'in. Tetapi pada zaman kebelakangan ini, sangat sulit ditemukan manusia jenis ini. Jika ada orang yang bersikap sedemikian, maka para ahli bid'ah akan memasang jerat, berusaha membinasakannya dan mengolok-oloknya sebagai "ahli bid'ah, tukang mengada-ada."

Perangkap dengan jalan bid’ah ini disukai oleh syaitan, kerana bid'ah bererti melawan agama dan menolak ajaran yang dibawa oleh rasul. Pelakunya tidak akan bertaubat dan tidak akan surut ke belakang, bahkan selalu mengajak orang lain untuk turut berbuat bid'ah. Juga kerana bid'ah mengandung perkataan atas nama Allah tanpa berdasarkan ilmu maka dengan bid'ah orang akan memusuhi sunnah dan juga orang yang melakukan sunnah. Dengan bid'ah, orang akan berusaha keras untuk memadamkan cahaya sunnah. Disebabkan bid'ah, orang akan mempergunakan sesuatu yang ditolak Allah dan rasul-Nya, dan menolak apa yang disuruh oleh Allah. Disebabkan bid'ah, orang akan bersikap setia kepada orang yang memusuhi Allah, dan memusuhi orang yang setia kepada Allah, menetapkan apa yang ditiadakan Allah dan meniadakan apa yang ditetapkan Allah, membernarkan yang dusta dan mendustakan yang benar, menentang kebenaran dan keadilan dan memutarbelitkan hakikat dengan menjadikan yang benar sebagai batil dan yang batil sebagai kebenaran, menyelewengkan agama Allah, membuat hati buta akan kebenaran, membengkokkan jalan Allah yang lurus, dan membuka pintu untuk mengganti agama Allah secara keseluruhan.

Kerana bid'ah-bid'ah itu akan terus meningkat sedikit demi sedikit, dari yang kecil hingga menjadi besar, hingga melepaskan pelakunya dari agama. Tidak ada yang selamat daripada kemudaratan bid'ah ini kecuali orang-orang yang mempunyai bashirah iaitu pandangan batin yang terang.

“Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.” (An-Nur:40)

Jika Allah Subhanahu wa Taala memberinya pertolongan untuk mengatasi perangkap ini, maka syaitan akan beralih kepada perangkap ketiga.

Perangkap Ketiga: Dosa-Dosa Besar.

Pada peringkat ini, syaitan akan berusaha untuk mengindahkan dosa-dosa pada pandangan mata seorang hamba. Ditimbulkannya sikap menunda-nunda, dibuka kepadanya pintu pengharapan, dan dikatakan kepadanya, 'Iman hanyalah keyakinan semata-mata, sehingga tidak ada perbuatan maksiat yang dicela di dalam iman (asalkan masih beriman)."

Apabila dia dapat melintasi perangkap ini dengan perlindungan Allah atau dengan taubat yang tulus yang menyelamatkannya dari bid’ah, maka syaitan akan mengekorinya dengan perangkap yang seterusnya.

Perangkap Keempat: Dosa-Dosa Kecil.

syaitan menimbang dosa-dosa ini untuknya dengan timbangan seraya mengatakan, “Tidak mengapa kamu melakukan dosa-dosa kecil asalkan kamu jauhi dosa-dosa besar. Apakah kamu tidak tahu bahawa dosa-dosa kecil dapat dihapus dengan menjauhi dosa-dosa besar dan dengan melakukan kebaikan-kebaikan?” Akibatnya, seorang hamba menganggap ringan terhadap dosa-dosa kecil sehingga dia senantiasa melakukannya. Kerana itu, orang yang melakukan dosa besar kemudian merasa takut dan menyesal adalah lebih baik daripada golongan ini. Sedangkan tidak lagi dinamakan dosa kecil apabila ianya dilakukan secara terus-menerus. Nabi s.a.w. bersabda:

“Jauhkan dirimu dari dosa-dosa kecil!" Kemudian beliau membuat perumpamaan untuknya dengan suatu kaum yang singgah di suatu tanah lapang. Lalu mereka memerlukan kayu bakar, maka si anu mengambil satu ranting dan si anu satu ranting, sedikit demi sedikit, akhirnya terkumpullah kayu bakar yang banyak. Kemudian mereka menyalakan api, hingga mereka boleh memasak roti mereka. Demikianlah diumpamakan dosa-dosa kecil itu bertumpuk pada seseorang, sedang dia meremehkannya, hingga dosa-dosa itu membinasakannya.

PERANGKAP KELIMA: Hal-Hal Harus (Mubah) Yang Tidak Terlarang Untuk Dilakukan.

Lalu dia sibuk dengan hal-hal mubah itu sehingga tidak memperbanyakkan ketaatan, dan tidak bersungguh-sungguh di dalam mencari bekalan untuk kembali ke akhirat nanti, kemudian meningkat lagi keinginannya untuk meninggalkan hal-hal yang sunat, dan daripada meninggalkan hal-hal yang sunat kemudian berlanjutan meninggalkan sebahagian amalan yang wajib. Kesan paling minima ialah seseorang itu tidak akan memperolehi keuntungan di dunia dan akhirat, penghasilan-penghasilan yang besar, dan kedudukan yang mulia.
Jika seorang hamba terselamat dari perangkap ini dengan pandangan hati (bashirah) yang sempurna dan cahaya petunjuk, mengetahui nilai ketaatan dan memperbanyakkan ketaatan, maka syaitan akan beralih kepada perangkap yang seterusnya.

PERANGKAP KEENAM: Amalan-Amalan Ketaatan Yang Lemah Dan Kurang Utama.

Syaitan akan menyuruh melakukannya, menampakkannya baik dalam pandangannya, menghiasinya, dan memperlihatkan adanya keutamaan dan keuntungan di dalamnya, agar dia sibuk dengannya daripada sesuatu yang lebih utama dan besar keuntungannya. Apabila tidak berhasil menjadikan manusia langsung tidak mendapat pahala sama sekali, maka syaitan akan cuba pula untuk menghalang hamba tersebut supaya tidak mendapatkan kesempurnaan dan keutamaan, atau darjat yang tinggi. Maka syaitan akan menyibukkan hamba tersebut dengan sesuatu yang tidak utama daripada yang utama, yang lemah daripada yang kuat, yang dicintai Allah daripada yang lebih dicintai-Nya, yang diredhai daripada yang lebih diredhai-Nya.

Namun, tidak banyak jumlah orang yang dapat melepasi perangkap ini, kerana kebanyakan mereka telah berhasil dikalahkan syaitan pada perangkap-perangkap sebelumnya.

Untuk menyelamatkan diri daripada perangkap ini, seseorang hamba itu perlu mengetahui dan memahami martabat-martabat amalan-amalan di sisi Allah, dan keutamaan kedudukannya, mengerti nilainya, dapat membedakan antara yang tinggi dan yang rendah, antara yang tidak utama dan utama, antara kepala dan ekornya kerana setiap amalan-amalan itu ada mempunyai kedudukan dan keutamaannya di sisi Allah Subhanahu wa Taala, sebagaimana dikatakan dalam hadis sahih:
“Penghulu istighfar ialah seorang hamba mengucapkan, Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tidak ada Tuhan yang berhak diibadati kecuali Engkau….”

Tidak ada yang dapat melintasi dan selamat dari perangkap ini kecuali orang-orang yang memiliki bashirah dan kesungguhan dari kalangan ahli ilmu, yang selalu berjalan menyusuri taufiq, menempatkan amalan-amalan pada tempatnya, dan memberikan hak kepada masing-masing yang berhak.

Apabila seorang hamba selamat dari perangkap ini, maka tinggal satu tingkatan lagi yang akan digunakan oleh musuh (syaitan) terhadap hamba (manusia). Kalau ada orang-orang yang dapat selamat darinya, maka mereka itu adalah para rasul, nabi-nabi Allah, dan manusia-manusia yang mulia. Rintangan itu adalah:

PERANGKAP KETUJUH: Menugaskan Tenteranya Untuk Mengganggu Seorang Hamba Dengan Bermacam-Macam Gangguan, Dengan Tangan, Lisan, Dan Hati, Menurut Martabat Hamba Tersebut Di Dalam Melaksanakan Ketaatan.

Kalau martabat orang itu tinggi, maka syaitan akan menugaskan pasukan berkuda dan pejalan kakinya, bahkan dibantu pula dengan tenteranya yang lain dan dikerahkan pula anggota-anggotanya dengan bermacam-macam tindakan.

Rintangan pada peringkat ini akan sentiasa wujud dan tidak dapat dihindari, kerana semakin bersungguh-sungguh seseorang dalam istiqamah dan dakwah kepada jalan dan agama Allah dan dalam melaksanakan perintah-perintah-Nya, maka musuh akan semakin meningkatkan usahanya di dalam menghasut orang-orang yang yang bodoh. Pada peringkat ini syaitan telah bersedia dengan baju perang. Kerana itu Mukmin sentiasa berada di dalam suasana perang terhadap musuh.

Maka ubudiyah (pengabdian) seorang hamba pada peringkat ini adalah ubudiyah orang-orang khusus dari kalangan arifin, dan inilah yang dinamakan dengan ubudiyah muraghamah (ubudiyah kepada Allah yang menjadikan syaitan marah), dan tidak ada yang menyedari hal ini kecuali orang-orang yang memiliki bashirah (mata batin) yang sempurna. Tidak ada sesuatu yang lebih dicintai oleh Allah daripada tindakan kekasih-Nya yang membangkitkan kemarahan musuh-Nya (kerana tidak mengikuti ajakannya), sebagaimana firmanNya

“Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan di jalan Allah, dan tidak pula menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan suatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskan bagi mereka dengan yang demikian itu dengan amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.” (at-Taubah:120)

Dan Allah memberikan perumpamaan bagi Rasulullah SAW dan pengikut-pengikutnya:
“Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunas, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat, lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan ketaatan orang-orang mukmin)” (al-Fath:29)

Maka menjengkelkan orang-orang kafir (dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah) merupakan sesuatu yang dicintai Allah dan dituntut-Nya. Rasulullah SAW mensyariatkan kepada orang yang lupa melakukan sesuatu di dalam solahnya, agar melakukan sujud sahwi, dengan sabda beliau;
“Jika solahnya sudah sempurna, maka kedua sujud itu menghinakan syaitan.” Dan dalam satu riwayat yang lain “Menjengkelkan syaitan.”

Sejauh mana kecintaan hamba kepada Tuhannya, kesetiaannya kepada-Nya, dan permusuhannya terhadap musuh-Nya, maka sejauh itu pulalah bahagiannya dari muraghamah (menjengkelkan musuh Allah).

Ini termasuk masalah ubudiyah yang tidak banyak difahami orang. Barangsiapa yang merasakan kenikmatan dan kelazatannya, maka dia akan menangisi masa-masa lalunya (sebelum dia mengalami hal ini).

Allahlah tempat memohon pertolongan, hanya kepada Nya kita bertawakkal, dan tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolonganNya.

Orang yang telah mencapai maqam (kedudukan spiritual) ini apabila memandang syaitan dan memperhatikan dosanya, maka dia akan membuat syaitan jengkel dengan melakukan taubat yang tulus, dan muraghamah (menjadikan syaitan jengkel) ini merupakan ubudiyah juga.

Rujukan: Madarij Saalikin, Ibnu Qayyim
DI SEDIAKAN OLEH USTAZ IBRAHIM BIN ZAKARIA 019-2627636
PENGETUA MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN DAR AL ABRAR
NO. 19 Atas Persiaran PM 3/2, Pusat Bandar Seri Manjung Seksyen 3,
32040 Seri Manjung Perak.
E Mail ibrahim_mtd07@yahoo.com
Segala sumbangan derma boleh lah di salurkan ke dalam akaun bank muamalat no 08030002138714