29 Oktober 2010

Ubah Seri Perdana: RM65j besar bagi rakyat Galas

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 27 Okt: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya berfikir dengan bijaksana terhadap tindakan kerajaan seterusnya menilai sendiri sejauh mana ketelusan kerajaan BN yang sebelum ini mengatakan membela rakyat.

Katanya, pengubahsuaian Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri yang dianggar menelan belanja puluhan juta ringgit membuktikan pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) tidak berhemah dalam menangani sistem pengaliran ekonomi negara.

“Kita bayangkan alangkah besar nilai RM65 juta itu jika digunakan untuk bantu rakyat. Kalau di Galas ini sudah berapa ramai rakyat akan dapat faedah dari jumlah yang sebesar itu.

“Tapi malangnya keutamaan pemimpin BN yang lebih berkepentingan sendiri hanya suka ikut citarasa masing-masing sehingga sanggup melihat rakyat jelata dibelenggu kesusahan,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Kampung Kerinting, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, bertindak tatkala fenomena kewangan tidak menunjukkan perkembangan positif kepada negara adalah satu langkah tidak bertanggungjawab.

“Inilah dasar kerajaan yang lebih pentingkan satu pihak. Mereka seolah-olah tidak fikir tentang ekonomi rakyat.

“Sedangkan kepada rakyat mereka nasihatkan supaya berbelanja secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata, pengubahsuaian Seri Perdana dengan peruntukan yang begitu tinggi dianggap satu pembaziran dana rakyat.

Seri Perdana dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya.

Bangunan itudiubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Harakahdaily/-

Candu hiburan agar rakyat lalai petaka rasuah

20 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 27 Okt: PAS kesal terhadap cadangan kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini adalah petanda pemimpin negara sudah bankrap idea dan muflis akhlak sehingga sanggup memperjudikan moral rakyat di negara ini.

“Kenapa pemimpin BN sanggup untuk mencadangkan idea yang melawan arus dan berpaling ke belakang seolah-olah tidak ada jalan lain untuk menjana kewangan di negara ini?” soalnya.

Katanya, ketika semua pihak memikirkan mengenai keruntuhan akhlak seperti buang bayi, perzinaan, gadis hilang, gadis lari rumah, pembunuhan, lumba haram dan sebagainya, tiba-tiba kerajaan boleh mencadangkan program yang boleh diibaratkan seperti meletak baja di sebelah tangan kanan dan mencurah racun di sebelah kiri.

“Apakah ini sabahagian daripada cadangan APCO Yahudi yang memang hendak menawan dunia melalui penaklukan moden tanpa pertumpahan darah sebaliknya dengan membunuh benih iman dan akhlak di negara ini,” soalnya lagi.

Mereka, ujarnya mencari jalan pintas dengan mencadangkan perkara tersebut untuk meningkatkan pendapatan negara sebagai sebuah negara maju 2020.

Tambahnya, lebih mengejutkan lagi Projek Penggerak Ekonomi (EPP) juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

“Walaupun projek ini untuk menarik pelancong luar negara berhibur dan berbelanja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh rakyat di negara ini.

“Sebenarnya rancangan ini untuk menjadikan rakyat lalai dengan hidangan ‘candu hiburan’ dan melupakan malapetaka rasuah yang terus mencengkam negara di tangga ke 56,” ujarnya.

Buktinya, kata beliau Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4. Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Laporan Ketua Audit Negara 2009, ujarnya menggambarkan kegagalan kerajaan umno BN berterusan tidak menunjukkan kebolehan mengurus sehingga banyak berlaku ketirisan di banyak kementerian.

Menurutnya, walaupun dengan berbagai slogan yang dikemukakan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), namun hasilnya adalah sama sahaja.

Beliau berkata, semuanya akibat kejahilan dan rosaknya integriti di kalangan pemimpin negara menyebabkan pelabur luar meluat untuk datang ke negara ini.

Buktinya, kata beliau laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara Asean, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD1,381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD7,318 juta pada 2008.

Katanya, kejatuhan nilai pelaburan itu adalah yang tertinggi berbanding negara Asean lain.

Harakahdaily/-

ETP bakal hancurkan generasi muda

20 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan agar mengambil kira faktor perkembangan generasi muda dalam memacu negara.

“Jangan hanya melihat kepada keuntungan semata-mata, aspek pendidikan generasi muda dikorbankan,” kata Ketua Penerangan DPPWP, Fadhil Osman.

Sehubungan itu, tegasnya DPPWP membantah sekeras-kerasnya tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan.

Tindakan itu menurut Najib adalah untuk memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, DPPWP terkejut kerana kerajaan sanggup mengenepikan sentimen rakyat khususnya umat Islam dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan ‘mempakejkan’ semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

EPP seperti yang dilaporkan akan menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu, ujarnya.

Beliau menambah, langkah kerajaan itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012.

Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. Dikatakan menjelang tahun 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan.

“Dalam hal ini, DPPWP mempersoalkan apakah Perdana Menteri mahu rakyat Malaysia hidup dengan bercandukan hiburan, hidup dan mati di dalam kelab malam yang bakal bercambah di mana-mana.

“Apakah Perdana Menteri dan kerajaan tidak sedar bahawa pengaruh kelab malam dalam merancakkan industri maksiat yang mendorong perlakuan zina, sumbang mahram, rogol, minum arak, dadah, pelacuran, rogol dan lain-lain lagi?” soalnya.

Beliau mempersoalkan, dalam keadaan isu pembuangan bayi, remaja mengandung tanpa nikah, seks bebas masih belum selesai, adakah Perdana Menteri mahu menambah koleksi dosa terhadap rakyat Malaysia.

Kerajaan juga, katanya seakan tidak sensitif tentang isu halal dan haram dengan menggunakan hasil pendapatan dari kelab malam yang dikatakan akan meraih sebanyak RM0.7 bilion pada tahun 2020 dan menggajikan 5,614 pekerja.

Tambahnya, kerajaan seakan sudah buntu bagaimana untuk meraih pendapatan negara serta menarik pelancong ke Malaysia, justeru terpaksa merancakkan penubuhan kelab-kelab malam.

Selain itu, ujarnya DPPWP merasa skeptikel dengan langkah kerajaan yang mahu melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa.

Menurutnya, dengan beberapa syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) seperti penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta billboard sejak lima tahun yang lalu, menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsan, ia menambah keraguan siapakah artis yang akan dibawa masuk ke Malaysia.

Jelasnya, rakyat sudah serik dengan penampilan artis simbol seks seperti Avril Lavigne, Rihanna serta Adam Lambert ikon gay yang membuat persembahan baru-baru ini.

“Ingatlah bahawa populariti artis tidak menjamin kebaikan untuk rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda,” ujarnya lagi.

Harakahdaily/-

Wartawan antara 15 korban Gunung Merapi

20 Zulkaedah 1431 H

Seorang wartawan portal berita vivanews.com adalah antara 15 yang ditemui mati di dalam dan sekitar halaman rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan di kaki gunung itu yang meletus petang semalam.

Mayat wartawan itu ditemui dalam rumah Mbah Maridjan bersama tiga yang lain manakala mayat selebihnya ditemui bergelimpangan di halaman rumah jurukunci Merapi itu di daerah Sleman apabila pasukan penyelamat sampai ke situ pukul 10 malam tadi.

Semua mereka ditemui dalam keadaan sukar dikenali kerana melecur seluruh tubuh akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu apabila gunung berapi teraktif di dunia itu meletus semalam.

Sebagai jurukunci gunung itu, Mbah Maridjan, ialah seorang warga emas yang kontroversial kerana enggan meninggalkan rumahnya, yang merupakan rumah terakhir sebelum ke puncak gunung berapi itu semasa letusan Merapi pada 2006 tetapi terselamat dalam bencana itu.

Bagaimanapun, nasib Mbah Maridjan belum diketahui, sama ada terselamat atau terkorban dalam insiden berkenaan.

Semalam seorang bayi turut mati akibat letusan gunung berapi itu kerana kesan lecur.

Sementara itu sekumpulan 34 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah pesantren (institusi agama) di Magelang, 15 km dari gunung berapi itu beserta 10 yang lain telah dipindahkan oleh para pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ke Solo tengah malam tadi.

Kesemua mereka dibawa dengan dua buah bas dan sebuah kenderaan APV termasuklah dua warganegara Singapura, 3 wanita isteri kepada pelajar dan
dua bayi perempuan.

Misi pemindahan itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dengan dibantu pegawai-pegawai kedutaan serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia.

Sementara itu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah membuka Bilik Operasi 24 jam mulai malam tadi bagi menyalurkan maklumat terkini dan melayan pertanyaan rakyat Malaysia di Malaysia mengenai letusan Gunung Merapi.

Ketua Canseri Raja Reza Raja Zaib Shah berkata bilik gerakan itu memantau perkembangan terkini kejadian bencana itu.

Malaysiakini/-

Umno BN tidak yakin media arus perdana

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 27 Okt: Keresahan Umno BN untuk mendapat sokongan pengundi di Dun Galas semakin terserlah apabila mereka terpaksa mengeluarkan sendiri bahan cetak SUARA GALAS pada hari penamaan calon untuk dijadikan bahan kempen.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sedangkan dalam masa yang sama, mereka telahpun mempunyai pelbagai saluran media cetak dan elektronik.

Ketika ditemui mengulas perkara tersebut, katanya penyebaran risalah empat muka yang diterbitkan oleh Badan Perhubungan Umno negeri itu jelas menggambarkan mereka tidak lagi menaruh keyakinan akhbar arus perdana milik mereka untuk menawan hati pengundi di Dun Galas.

Beliau berkata, perbuatan tersebut seolah-olah meniru langkah PAS yang telah mengeluarkan GALAS KITO pada edaran pertama sehari sebelum penamaan calon.

“PAS telah mengambil langkah proaktif dalam penyebaran maklumat kepada pengundi kerana kita sedar sebaran media terhadap pelbagai aktiviti kita amat terhad, kita hanya ada Harakah, dikeluarkan dua kali seminggu sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, Yamin Hamid, 35, dari Kampung Lembaga, Sungai Terah berkata, Umno BN yang menyebarkan risalah tersebut kerana mereka sedar akhbar arus perdana tidak mendapat sambutan di Gua Musang.

"Kalau dah orang umno-BN sendiri pun tak yakin dengan akhbar harian mereka, tak kanlah kita di Gua Musang ini pula nak percaya berita yang disebarkan oleh akhbar tersebut.

Bagi Nurul Hidayah Ahmad, 27, Batu Papan pula berkata, semasa berada di tempat pernamaan calon turut mendapat senaskah akhbar harian secara percuma.

“Nampak sangat pihak Umno BN ini terdesak untuk menyebarkan maklumat palsu mereka, sehinggakan sanggup mengedar akhbar secara percuma pada hari tersebut,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Kain rentang 'DAP harbi' - Pakatan berang

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Lee Way Loon

Sehelai kain rentang dijumpai pagi ini tergantung di kawasan pekan Gua Musang dengan ayat berbunyi: “Kenapa PAS masih menyokong DAP (harbi)?”Harbi merujuk kepada penduduk bukan Islam dan kafir yang berperang menentang Islam.

Ia juga menghuraikan tindakan pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh sebagai pemimpin yang didakwa 'hina perjuangan Islam'.

Meskipun semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein memberikan amaran supaya semua pihak tidak menggunakan isu agama dan kaum dalam kempen mereka, namun PAS mendakwa lawannya telah memulakan serangan dengan isu agama.

Kain rentang ini merujuk kepada laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal lebih 10 tahun lalu yang bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu - Karpal Singh".

Ia juga mempertikaikan mengapa PAS masih menyokong DAP yang disifatkan mereka sebagai harbi.Kain rentang itu kemudiannya diturunkan oleh pekerja pilihan raya PAS dan DAP.

Bercakap pada sidang media selepas menurunkan kain rentang itu, penasihat jentera pilihan raya Galas, PAS, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan setiausaha publisiti DAP, Tony Pua membidas tindakan itu yang dianggap rasis dan tidak demokratik.

Menurut Rahim, mesej kain rentang itu juga bertentangan dengan Islam.

“Adalah perkauman bagi menuduh seseorang itu sebagai 'harbi', kerana 'harbi' melambangkan perang terbuka dengan Islam,” katanya yang juga ahli parlimen Kota Baru. Menurutnya tindakan itu cuba membuat orang Islam marah.

"Sebagai penasihat jentera pilihan raya PAS, saya ingin jelaskan di sini: ini adal;ah PAS lawan Umno. Bukan DAP yang bertanding di Galas.

Kain rentang ini yang mengecam PAS itu juga didapati tidak mempunyai sebarang nama penerbitnya sepeerti yang disyaratkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga mempertikaikan kain rentang itu dan mempersoalkan kempen sopan-santun yang dijanjikan oleh pengarah pilihan raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagi beliau, kempen yang dijalankan Umno di Galas ini tiada etika dan tiada kelas langsung.

"Umno tidak pernah berubah," kata Tony Pua.

Malaysiakini/-

Audit: K'jaan persekutuan terlebih belanja RM4.83b

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Wong Teck Chi

Kerajaan persekutuan telah terlebih belanja RM4.83 bilion tahun lalu. Ini merupakan defisit kedua tertinggi selepas tersasar bajet operasi RM5.7 bilion pada tahun sebelum itu.

“Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dan perancangan kewangan dan pengurusan,” petik Laporan Ketua Audit Negara 2009 sambil menekankan bahawa perbelanjaan sepatutnya hanya dilakukan selepas mendapat kelulusan.

Laporan itu juga mendedahkan 11 agensi - termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan 10 kementerian telah berbelanja melebihi bajet operasi mereka sehingga sebanyak RM3.61 bilion.

Ketua Audit Negara juga mendapati 15 kementerian dan agensi terlebih berbelanja RM3.74 bilion bagi 42 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Senarai teratas adalah Kementerian Pertahanan yang terlebih belanja RM2.03 bilion untuk tiga projek, diikuti oleh Kementerian Pelajaran ((RM927 juta untuk empat projek) dan Jabatan Perbendaharaan (RM547 juta untuk dua projek).

Sementara itu, hutang tertunggak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan pula terkumpul sebanyak RM4.6 bilion atau 13.3 peratus melebihi jumlah RM4.08 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Selangor adalah pemiutang terbesar (RM829.86 juta), diikuti Johor (RM809.89 juta), Kedah (RM706.68 juta), Pahang (RM565.08 juta) dan Negri Sembilan (RM504.50 juta).

Jumlah hutang tertunggak itu terus meningkat meskipun RM204.27 juta dalam pembekalan perjanjian air kepada lapan negeri telah diserap oleh kerajaan persekutuan.

Menurut laporan itu 607 (50.5 peratus) daripada 1,203 pinjaman yang disalurkan kepada kerajaan negeri adalah hutang yang diberikan antara satu hingga 13 tahun lalu.

Bagi badan berkanun, Perbadanan Aset Keretapi (RM1.02 bilion) adalah pemiutang terbesar manakala Perwaja Terengganu Sdn Bhd menduduki senarai syarikat dengan hutang terbesar (RM1.8 bilion).

Malaysiakini/-

10 PERINGATAN BUMI

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : nina mazrina

berkata Anas Bin Malik r.a;

Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

6 WASIAT SAIDINA UMAR AL-KHATTAB

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : nina mazrina

Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. bertutur kepada sebahagian sahabatnya;Aku berwasiat kepadamu enam perkara :

Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.

Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.”

28 Oktober 2010

Rakyat jangan terpedaya projek mi segera

19 Zulkaidah 1431H.
Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 27 Okt: Drs Khalil Idham Lim menyifatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Gua Musang sebagai projek mi segera sebagaimana lazim diamalkan BN setiap kali menjelang pilihan raya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Perak itu menggesa supaya rakyat di Galas khususnya tidak terpengaruh dengan tipu daya Umno BN kerana apa yang berlaku di Galas adalah perkara serupa yang diulang-ulang setiap kali pilihan raya.

Khalil yang juga Adun Titi Serong menambah janji-janji itu hanya retorik, gimik politik Umno BN bagi mengumpan rakyat.

“Pilihan raya kecil yang telah diadakan sebelum ini banyak projek yang dijanji Umno tapi masih belum dilaksanakan contohnya janji jambatan di Manek Urai dulu tapi sampai sekarang pun tidak ada.

“Sekarang di Galas janji projek perumahan rakyat pula. Tadi Rais pula umum hendak pasang sistem internet wi-fi di Gua Musang. Persoalannya kenapa projek-projek ini timbul ketika menjelang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada ceramah umum di Kampung Kerinting, malam tadi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan Pusat memperuntukkan RM180 juta untuk membina 1,500 unit rumah di bawah PPR Gua Musang yang kononnya dapat memberi manfaat kepada 10,000 rakyat miskin di kawasan itu.

Pakatan Rakyat Pilihan Terbaik Untuk Rakyat di Galas dan Batu Sapi?

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafizi pauzi

PARIT BUNTAR, 27 Oktober :-Dalam situasi Malaysia sekarang yang menuju ke arah Negara hutang, rakyat sepatutnya sudah mula memikirkan masa depan Negara yang kukuh dan stabil, soal memilih pemerintahan ini suatu yang cukup perlu kepada informasi benar tentang situasi Negara terkini.

Tan Sri Joseph Kurup dipetik berkata kerajaan BN juga telah melaksanakan kerja dengan baik sehingga berjaya merubah lanskap pembangunan negara.

“Saya ingin bertanya kepada beliau, dalam situasi Negara yang berhutang dengan jumlah RM362.39 bilion, adakah kerajaan BN yang menerajui pemerintahan Negara cukup bukti untuk mengakui bahawa kerajaan kini dalam landasan cemerlang?,” soal Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong yang juga merupakan Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak terhadap kenyataan Tan Sri Joseph Kurup baru-baru ini.

Hutang Negara sehingga kini bukannya makin menurun, malah semakin meningkat, saya amat khuatir sekiranya kerajaan terus diterajui oleh BN dan seluruh parti komponennya, Kerana itu rakyat perlu berubah, dan beri peluang kepada Pakatan Rakyat menerajui Malaysia.“Marilah kita selamatkan Malaysia yang kita sayangi itu” Tegasnya.

Buktinya dapat kita lihat dengan mata kita sendiri di 5 negeri di semenanjung, bermula dari Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan juga Selangor, Pakatan Rakyat tetap stabil memerintah, bahkan ia mampu bertahan dengan baik sekali walaupun menerima tekanan dari Kerajaan Pusat, ditambah pula dengan sekatan media oleh BN.

Rakyat perlu bangkit, nafikan kuasa BN bermula Di Batu Sapi dan Galas bagi meneruskan momentum PRU 13 nanti, rakyat tidak boleh hanya membiarkan BN melakukan dengan sewanang-wenangnya terhadap aset Negara,

bazirkan, belanjakannya dengan membelakangkan suara rakyat, kemudian menghebahkan bahawa hanya UMNO sahajalah yang memperjuangkan slogan rakyat didahulukan. Slogan hanya tinggal slogan nampaknya., tegasnya semasa dihubungi hari ini.

RASUAH, JIKA BN TERUS MEMERINTAH

19 Zulkaedah 1431 H
OOleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 27 Oktober : -Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan mengatakan bahawa negara kerugian akibat rasuah setiap tahun sebanyak RM10 bilion”.

Negara kian menuju ke arah Negara rasuah, memetik ulasan dari (KSN), ketua setiausaha Negara itu menyatakan demikian kepada media baru-baru ini.

Persoalannya, mengapakah Perdana Menteri beria-ia bersorak, menjerit mengatakan bahawa UMNO sahaja tempat rakyat bergantung harap? Label ini seolah-olah datang dari pihak yang benar, bukti demi bukti menunjukkan kepimpinan Negara amat bernafsu ingin menipu rakyat, demiian ujar Drs Khalil Idham Lim yang perupakan Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak ketika ditemui disini.

Slogan demi slogan muncul sebaik sahaja selesai perhimpunan UMNO, natijahnya, kosong, yang kaya hanyalah beberapa kerat pemimpin BN.

Memetik kata-kata DS Najib Tun Razak ketika berucap di Perhimpunan UMNO baru-baru ini, beliau menyatakan, “Saya hendak kita bekerja kuat sebab orang Melayu dan negara tidak boleh berharap kepada orang lain melainkan UMNO saja.”

Tambahnya Pakatan Rakyat menyambut baik sekiranya mereka benar-benar berhasrat menjaga rakyat, namun perlu diingatkan membantu rakyat mestilah melangau batas-batas agama dan bangsa. Sikap pilih bulu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab yang sering diamalkan oleh pemimpin BN.

Perkara sebenar yang sedang melanda hanyalah keruntuhan nilai moral kewangan, dengan rasuah yang saban hari meningkat, menyebabkan runtuhnya sesebuah institusi Negara yang bermoral.

Kesanya Negara berhutang dalam jumlah yang sangat besar dan rakyat terpaksa menanggunya sebanyak RM 14,000 setiap orang.

Kenyataan Ketua Setiausaha Negara cukup menggambarkan bukti yang kukuh bahawa pemimpin UMNO hanya memberi dakyah jahat serta cakap kosong terhadap seluruh ahli dan perwakilan setiap kali perhimpunan umno dan seterusnya rakyat tidak didahulukan, yang didahulukan ialah rakyat membayar pelbagai cukai .

Husam pertikai kos tinggi bina PPR di Gua Musang

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

Exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mempersoalkan kos pembinaan yang tinggi bagi setiap unit rumah dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang dilancarkan timbalan perdana menteri Sabtu lalu.

"Harga (peruntukan kos untuk membina) terlalu tinggi, RM120,000 bagi (unit seluas) 700 kaki persegi di Gua Musang untuk flat 5 tingkat 18 blok.

"Jadi kos di Kelantan ini saya rasa paling tinggi RM50,000 atau RM60,000 setiap unit. Kalau kita pergi Damansara Damai (Petaling Jaya) itu, (rumah seluas) 300 kaki baru dijual dengan harga RM95,000," katanya lagi.

Menurutnya, beliau membuat perkiraan itu berdasarkan peruntukan sebanyak RM180 juta yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membina 1,500 unit rumah berkenaan.

Laporan sebelum ini menyebut, subsidi yang diberikan kerajaan bagi setiap unit rumah tersebut adalah antara RM45,000 hingga RM85,000.

Ia juga boleh disewakan pada kadar serendah RM124 sebulan manakala harga jualannya pula ditetapkan supaya tidak melebih RM35,000.

"(Dengan subsidi sebanyak itu) baik kita bagi rumah itu free saja," kata Husam lagi ketika ditemui di pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas, di Gua Musang pagi ini.

Dengan sinis, beliau turut mencadangkan supaya jumlah unit rumah tersebut ditambah kepada 2,000 unit. Melalui langkah itu, kesemua pengundi Cina yang berdaftar bagi pilihan raya kecil itu akan berjaya menduduki rumah berkenaan, katanya lagi.

Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan perkiraan mudah sekiranya setiap keluarga berkenaan terdiri daripada sepasang ibu bapa dan seorang anak.

Husam juga membangkitkan sedemikian dengan mengaitkan janji yang diberikan BN untuk membahagikan rumah berkenaan secara sama rata, selari dengan pendekatan inklusif mereka.

"Barulah semua orang Cina akan dapat rumah dan rumah mereka sekarang akan kosong dan mereka boleh sewa kepada orang lain. Jadi saya rasa tak berapa masuk akal (cadangan bina PPR) itu," katanya lagi.

Malaysiakini/-

DEBAT DAP - MCA: RAKYAT PERLU MENILAI

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengalu-alukan dan menyokong satu pentas debat yang akan diadakan pada 1 November ini di antara Ketua Pergerakan Pemuda MCA Negeri Perak Datuk Dr Mah Hang Soon yang juga Exco Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) Negeri Perak bersama Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak yang bakal diadakan di Taiping.

Pertamanya, DPPN Pk ingin menegaskan bahawa Datuk Ngeh adalah wakil pimpinan PR Perak di dalam perdebatan tersebut dan sudah tentunya Datuk Mah juga sepatutnya mewakili BN Perak di dalam perdebatan yang sama.

Tindakan BN untuk tidak mengiktiraf Datuk Mah sebagai mewakili BN Perak adalah pelik, menunjukkan ketidakpercayaan dan memalukan beliau sebagai pimpinan komponen BN mewakili masyarakat Cina dan sebagai Exco Kerajaan Negeri BN Perak yang terlibat secara langsung dalam menentukan semua polisi dan keputusan kerajaan negeri BN Perak.

Yang keduanya, difahamkan bahawa perdebatan tersebut akan diadakan dalam bahasa Cina atas permintaan Datuk Mah dan bukannya dalam bahasa kebangsaan kita atau bahawa Melayu. Perkara ini amat menyedihkan kerana ianya datang dari pemimpin yang memperjuangkan slogan satu Malaysia yang sepatutnya menerima bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu menjadi bahasa utama.

Penggunaan bahasa Melayu adalah penting kerana kedua-dua pimpinan tersebut adalah pemimpin di peringkat pemerintahan negeri dan isu yang ingin dibincangkan juga ialah isu yang melibatkan kepentingan semua rakyat negeri Perak dan bukannya isu berkaitan kaum cina semata-mata. Oleh yang demikian, DPPN Pk merasakan rakyat Perak seluruhnya, tanpa mengira kaum, perlu mengetahui kandungan perdebatan tersebut dan seterusnya menilai setiap apa yang akan diperkatakan.

DPPN Pk merasakan rakyat akan membuat pernilaian disetiap persoalan yang telah diperkatakan selama ini. Sudah tentu bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti, akan menjadikan perdebatan sihat ini sebagai kayu ukur bagi menentukan pemerintahan yang akan datang. DPPN Pk juga mengalu-alukan usaha semua pihak menganjurkan perdebatan seumpama ini bagi merungkai setiap permasalahan rakyat selama ini.

Hab hiburan: NGO Islam tunggu pilihan raya

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri

Seperti dijangkakan, tindakan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam mula mendapat tentangan kumpulan NGO Islam.

Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu 'disambut' mereka secara amat sinis.

"Tahniah kerana (kerajaan) berjaya menghancurkan rakyatnya," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman (kiri) sambil menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada pentadbiran perdana menteri sebelum ini, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan kelmarin, pentadbiran Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Dr Ma'amor - pemimpin NGO Islam yang dilihat agak 'rapat' dengan kerajaan - berkata, rancangan ETP itu menyalahi pelbagai perkara, termasuk gagasan Wawasan 2020 yang mahu negara ini maju dengan acuan sendiri.

"Budaya kelab malam ini bukan budaya Timur. Ia budaya Barat, budaya berfoya-foya.

"Saya ucap tahniahlah kerana berjaya mengkhianati negarawan negara (Dr Mahathir)," katanya.

Ditanya berhubung tindakan susulan PPIM bagi menyatakan menangani rancangan itu, Ma'mor berkata:

"Kita tak pergilah (ke kelab malam). Boikot pun tak guna. Tak ada ahli kita yang pergi ke kelab malam. Tunggu pilihan rayalah nanti."

PPIM antara NGO pengguna Islam yang diingati kerana kempen boikot produk barangan tertentu seperti barangan keluaraan Yahudi dan Amerika Syarikat sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Karim pula menggesa kerajaan memikirkan semula kewajaran tindakan itu kerana ia "punca kepada masalah sosial".

"Kita risau (jika) spa dan disko diperbanyakkan, keupayaan kita untuk membendung masalah sosial bertambah buruk," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, rancangan itu "tidak sesuai" sebaliknya kerajaan perlu memikirkan kelainan untuk ditunjukkan kepada pelancong seperti melalui pusat makanan tradisional, muzium budaya atau program homestay.

"Saya berpendapat pelancong luar datang bukan nak untuk melihat kelab malam sebab di negara mereka kelab malam lebih canggih dan menarik," katanya.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pula mahukan perdana menteri menarik balik rancangan dalam program ETP itu bagi menghormati kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan.

"PPMM juga merafak sembah kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong agar mempertahankan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Islam dalam setiap tindakan kerajaan," kata presidennya Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu kenyataan.

Zainul Rijal berkata rancangan itu juga tidak selari dengan satu prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan," katanya.

Malaysiakini/-