13 September 2011

Trafik ibu kota perlahan, jalan utama ditutup

15 Syawal 1432H. [MOD] -

Keadaan trafik di sekitar ibu kota bergerak perlahan berikutan beberapa jalan utama ditutup secara berperingkat mulai hari ini hingga Jumaat sempena sambutan kemerdekaan negara dan Hari
Malaysia.

Jurucakap Trafik Jalan Bandar berkata trafik perlahan sehingga pukul 10 pagi juga disebabkan terdapat pelajar sekolah rendah bercuti kerana peperiksaan bertulis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini.

"Sekiranya pelajar sekolah tidak bercuti hari ini, kemungkinan berlaku kesesakan teruk di sekitar ibu kota kerana ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah dan orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata jalan utama yang ditutup bermula pukul 8.15 pagi melibatkan Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan Damansara (Carcosa Seri Negara), Jalan Lembah, Jalan Perdana (Masjid Negara), Bulatan Hishamuddin, Jalan Tembusu, Jalan Cenderasari, Jalan Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja.

Turut ditutup ialah Jalan Leboh Pasar Besar, Jalan Lebuh Ampang dan Jalan Tun Perak, Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Dang Wangi dan Jalan Mahkamah Persekutuan.

- Bernama

Penduduk Muslim-Kristian bergaduh di Ambon

15 Syawal 1432H. [MOD] -

SEKUMPULAN penduduk Muslim dan Kristian bergaduh dengan bersenjatakan parang dan batu di Ambon kelmarin.

AMBON – Pasukan keselamatan dikerah ke wilayah timur Indonesia selepas kumpulan penduduk Muslim dan Kristian bergaduh dengan bersenjatakan batu dan parang, kata beberapa pegawai semalam.

Dalam kejadian itu, seramai tiga orang maut dan 80 lagi cedera.

Menurut seorang ketua polis trafik, Kapten Marinus Djati, keganasan tersebut berlaku di bandar Ambon kelmarin selepas khabar angin tersebar bahawa seorang penunggang teksi motosikal yang mati dalam kemalangan jalan raya telah diseksa dan dibunuh oleh penduduk Kristian.

Kumpulan penduduk Muslim dan Kristian bergaduh selepas lelaki itu dikebumikan.
Kedua-dua kumpulan itu saling membaling batu dan mengayun parang selepas berbalas cacian.

Para perusuh itu juga membakar rumah, kereta dan motosikal walaupun polis cuba untuk menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan amaran.

Dua daripada mereka yang terbunuh itu merupakan pelajar sekolah.

Menurut jurucakap polis, Mejar Jeneral Anton Bachrul Alam, kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan daripada unit khas ditempatkan di Ambon untuk mengawal ketenteraman. – AP

Harakahdaily disoal polis isu Mat Indera

15 Syawal 1432H. [MOD] -

Polis menyoal siasat tiga wartawan akhbar web PAS Harakahdaily berhubung penyiaran sebuah artikel berhubung laporannya mengenai tokoh kontroversi Mat Indera.

Ketua pengarangnya Zulkifli Sulong (kiri) berkata, sehingga 11.55 pagi, Pengarang Azmi Yusof dan Pengarang Berita Mohd Nazri Abdullah masih disoal siasat dua pegawai polis daripada ibu pejabat daerah (IPD) Sentul.

"Saya sendiri akan disiasat selepas ini. Sekarang masih menunggu giliran," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Menurutnya, artikel yang disiasat disiarkan dalam web itu pada 5 Ogos. Beliau bagaimanapun tidak ingat judulnya.

Artikel itu antaranya mengulas buku keluaran Yayasan Warisan Johor (YWJ) Pengukir Nama Johor yang dipetik Timbalan Presidenn PAS Mohamad Sabu bagi mempertahankan dakwaan bahawa Mat Indera wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong.

Polis tiba di ibu pejabat Harakahdaily di Jalan Pahang di ibu negara kira-kira jam 11 pagi tadi, kata Zulkifli.

malaysiakini/-

Paip minyak meletup, 100 penduduk mati

15 Syawal 1432H. [MOD] -



NAIROBI: Kira-kira 100 orang maut apabila paip minyak meletup dan terbakar di kawasan miskin di ibu kota Kenya, semalam.

Kata komander polis kawasan, Thomas Atuti, “Kami sedang menunggu beg mayat.” 


Letupan berlaku di kawasan perindustrian Lunga Lunga yang dikelilingi oleh kawasan setinggan Sinai yang padat. 

Seorang penduduk, Joseph Mwego berkata, “Ada kebocoran di paip itu dan penduduk menadah minyak yang keluar.



“Kemudian terdengar satu letupan yang kuat, diikuti api besar dan asap tebal,” katanya. - AFP

Dinding, lantai mereput

15 Syawal 1432H. [MOD] -

TANJUNG PIANDANG – Keadaan rumah yang semakin uzur, di Parit Tanjung Piandang Darat, di sini, membimbangkan keluarga Jamil Azomi Hassan, 50, apabila kawasan dapur dan bilik air kini membahayakan keluarga itu.

Jamil Azomi berkata, dapur rumahnya semakin usang kerana dinding dan lantai mengalami kerosakan dan mereput.

Menurutnya, bilik air juga sudah begitu daif dan hanya berpintukan sehelai kain.

“Saya tidak mempunyai peruntukan untuk tujuan baik pulih ini kerana sudah tidak bekerja akibat faktor usia.

“Kini hanya bergantung harap dengan pendapatan anak untuk urusan perbelanjaan harian,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamil berkata, jika dilihat dari luar rumahnya, pasti tidak akan percaya dengan keadaan rumah yang daif itu.

Menurutnya, pemimpin kampung tidak pernah datang menjenguk, mungkin tidak menyangka rumahnya itu mengalami banyak kerosakan.

Katanya, diharap pihak berkenaan dapat melihat sendiri keadaan rumahnya seterusnya memberi bantuan baik pulih rumah.

“Saya amat berharap bahagian dapur dan bilik air di baik pulih oleh pihak bertanggungjawab.

“Jika saya punya kemampuan saya sendiri akan usahakan untuk memiliki sebuah rumah yang sempurna, malangnya saya tidak ada peruntukan ini,” katanya.

sinar harian/-

15 tahun jadi hamba abdi

15 Syawal 1432H. [MOD] -



LONDON: Polis Britain menyerbu sebuah tapak karavan dan menyelamatkan 24 lelaki yang ditahan dan dipaksa hidup dalam keadaan yang kotor seperti hamba, semalam.

Kira-kira 200 anggota polis menyerbu tapak karavan Grenn Acres di Leighton Byuzzard dan menahan empat lelaki dan seorang wanita kerana disyaki melakukan jenayah perhambaan.


Menurut polis, lelaki yang dibebaskan kebanyakannya rakyat Britain dan beberapa lelaki dari Timur Eropah. Pegawai detektif berkata, kesemua mangsa adalah orang tidak berumah atau kaki botol.


Pasukan polis Bedfordshire telah melakukan siasatan berterusan mengenai kes yang mengatakan mangsa telah ditahan tanpa rela dalam keadaan yang teruk dan dipaksa bekerja tanpa diberi gaji.


Kata Detektif Ketua Inspektor Sean O’Niel dari Unit Jenayah Utama Bedfordshire dan Hertfordhire, “Kesihatan mereka tidak memuaskan dan tempat tinggal mereka tinggal juga sangat kotor dan sempit.”



Katanya, “Kami percaya, sebahagian mereka telah tinggal dan bekerja seperti hamba abdi selama beberapa minggu, tapi ada yang sudah 15 tahun.”


Katanya lagi, “Mereka direkrut dan disuruh datang ke sini dengan janji diberi 80 pound (RM385) sehari. Makan dan minum ditanggung.


“Tapi apabila mereka tiba di sini, rambut mereka dipotong dan mereka tinggal di dalam kandang kuda, anjing dan karavan buruk.” -AFP

Ibadat solat didik budaya hidup berdisiplin, hargai masa

15 Syawal 1432H. [MOD] -

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu ialah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Semua amal ibadat manusia disukai dan diterima oleh Allah. Ibadat adalah jambatan menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Hasil pelaksanaan ibadat dapat meningkatkan darjat ketakwaan ke hadrat Allah di samping menggilap kualiti jiwa kemanusiaannya.

Semakin baik dan ikhlas ibadat seseorang Muslim, maka semakin dekat hatinya kepada Allah dan semakin baik hubungannya sesama manusia.

Petikan al-Quran: Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. – Surah al-Ankabut, Ayat 45

Untuk berhubung secara terus dengan Allah tidak memerlukan sebarang alat komunikasi canggih, memadailah seorang Muslim bermunajat pada bila-bila masa dan di mana juga melalui ibadat solat. Solat itu tiang agama dan kemuncak nilai atau etika kehidupan Muslim.

Rasulullah menganjurkan umatnya melaksanakan ibadat solat tepat pada waktunya. Baginda SAW pernah ditanya oleh Ibnu Mas’ud: “Apakah amalan yang paling afdal? Jawab Baginda: Menunaikan solat tepat ada waktunya. Kemudian Ibnu Mas’ud bertanya lagi:

Selepas itu, apa pula? Jawab Baginda: Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Akhirnya Rasulullah ditanya lagi: Kemudian, apa lagi? Ujar Baginda: Berjihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Antara hikmah solat ialah mendidik umat hidup dengan budaya ‘tepat pada waktunya’ sekali gus menggambarkan pentingnya masa dalam kehidupan seorang Muslim. Di samping itu, ibadat solat juga melatih umat hidup secara tertib dan berperaturan.
Fungsi solat juga sebagai penawar ketenangan hati di samping membersihkan jiwa dan raga daripada sebarang kekotoran.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat adalah penyejuk mata hati Baginda.
Kesan yang paling besar terhasil daripada pelaksanaan ibadat solat dengan penuh khusyuk dan ikhlas, ia berupaya menghalang seseorang Muslim daripada keinginan melakukan kemungkaran, baik tindakan mahupun perkataan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Firman ini secara jelas menegaskan solat penawar atau jalan penyelesaian ampuh untuk mencegah amalan tidak bermoral dan jenayah yang membarah dalam kehidupan manusia sejagat. Dalam erti kata lain, ibadat solat tonggak mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam.

Sesaat seorang hamba Allah berdiri tegak menunaikan ibadat solat, dia tidak boleh menoleh ke kanan mahupun kiri melainkan meluruskan pandangan wajahnya ke arah tempat sujud.

Mereka juga terikat dengan ikrar dibaca dalam solat, inilah solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu ya Allah Tuhan sekalian alam.

Ibadat solat jika dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas akan memantulkan ketenangan hati, keimanan mapan dan ketrampilan akhlak yang terpuji.

HARIAN METRO/-

Kereta rempuh rumah

15 Syawal 1432H. [MOD] -



BUCKIMHAMSHIRE: Bukan selalu kita bangun pagi dan lihat sebuah kereta tersepit di pintu masuk rumah.

Tapi, itulah yang berlaku kepada seorang pemilik rumah apabila sebuah kereta Vauxhall Astra merempuh rumahnya di Oliffe Way, Aylesbury, Buckinghamshire, akibat terlalu laju. 

Pemandu kereta itu dikatakan telah memandu antara 80-100 batu sejam dan hilang kawalan ketika melalui sebuah bulatan dan merempuh hadapan rumah milik Miriam dan Ormund Robin. 

Rempuhan kuat itu menyebabkan bilik air di bahagian bawah rumah itu pecah. Dinding rumah yang pecah bertaburan di laman hadapan.

“Tiba-tiba saja saya mendengar satu bunyi yang kuat,” kata Miriam.

“Apabila saya keluar untuk menyiasat, saya amat terperanjat melihat kereta itu. 

“Tubuh saya menggeletar dan waktu itu saya takut kalau rumah ini akan terbakar. 

“Kalaulah waktu itu saya ada di bilik air bawah, tentu saya akan mati,” katanya. 

Jurucakap polis Thames Valley berkata, dua orang di dalam kereta itu telah ditahan. -DM

Keadaan Jerebu Di Singapura Bertambah Buruk

15 Syawal 1432H. [MOD] -

SINGAPURA: Keadaan jerebu di Singapura bertambah buruk, menurut Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA).

Bacaan PSI 24-jam ialah 69 pada pukul 7 malam Isnin, yang tertinggi setakat tahun ini dan bagaimanapun ini masih lagi dalam tahap sederhana.

Kawasan paling teruk ialah bahagian utara dan barat Singapura sementara timur republik ini kekal pada tahap baik dengan bacaan 48.

Oleh kerana jerebu berterusan, jumlah kes berkaitan bernafasan di sini dijangka meningkat. -BERNAMA

Hanya Umno yang kenali komunis baik atau bahaya

15 Syawal 1432H. [MOD] -

ULASAN Apabila terbongkarnya fakta bahawa Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (CPC) dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”

Kata perdana menteri: “Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat. Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka.”

Jika kita mengikut logik Najib, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.

Sekiranya rakyat mengikut logik presiden Umno yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara.

Mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.

Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bila mana dalam ambang perhimpunan BERSIH 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis?

Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri?

Sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Akta Ordinan Darurat?

Seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain “asalkan bukan Umno”, maka komunis itu komunis jahat.
Kena tanya Umno, MPN

Maka, sesiapa yang nak mengadakan MoU dengan mana- mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya.

Dan kalau nak tahu sesuatu negara itu dijajah atau tidak kena tanya pula Majlis Profesor Negara (setahu kita, negara lain tak ada majlis begini) atau mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rasanya Majlis Profesor Negara dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja.

Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian sejarah patut diberi markah kosong.

Bila mana Majlis Profesor Negara membuat kesimpulan bahawa negara tidak pernah dijajah, ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu.

Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu.

Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak.

Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno. Kalau Melayu itu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi - segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram.

Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah ketua penerangan PAS Pusat.
Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mesir kembali darurat

15 Syawal 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Pemerintah tentera Mesir me-ngumumkan akan menggunakan undang-undang darurat di negara itu, kelmarin, menandakan kekacauan kembali tercetus, dipercayai akibat ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbiran Majlis Tertinggi Tentera.

Menteri Dalam Negeri, Mansour El-Essawy berkata, undang-undang tersebut akan digunakan bagi menghentikan aktiviti seperti sekatan jalan raya oleh orang awam, penerbitan maklumat salah dan pemilikan senjata.

Mansour turut memberi amaran keras bahawa polis akan menembak sesiapa yang menyerang pejabat kementeriannya atau balai polis, tindakan serupa seperti yang didakwa dilakukan bekas presiden, Hosni Mubarak semasa berhadapan kebangkitan rakyat, awal tahun ini.

Keputusan menggunakan undang-undang kecemasan itu dibuat selepas ribuan penunjuk perasaan menyerang bangunan kedutaan Israel dan balai polis, kelmarin, menyebabkan tiga orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera.

Kebanyakan rakyat Mesir dilaporkan tidak senang dengan pentadbiran tentera yang dilihat gagal memenuhi permintaan penunjuk perasaan.

sinar harian/-

'Serang' saya untuk tutup kepincangan p'raya

15 Syawal 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 13 Sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yakin ‘serangan’ terhadapnya yang dimainkan media arus perdana berhubung pejuang kemerdekaan dan Mat Indera ditimbulkan bagi menutup isu kepincangan demokrasi dan sistem pilihan raya di Malaysia.

“Isu ‘serangan’ terhadap saya kerana mereka nak lari daripada isu-isu pilihan raya terutama tentang (lapan perkara) Tuntutan Bersih 2.0 dan Daftar Pemilih yang begitu kotor.

“Oleh kerana nak lari daripada isu-isu itu dan gagal memulihkan demokrasi serta mengatasi kepincangan yang berlaku dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka timbulkan isu ini (serangan terhadap kenyataan saya).

“Ini yang mereka nak ‘lari’, sedangkan perkara ini sedang diperhatikan dunia kini,” dakwa Mohamad Sabu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyertai Forum Rakyat di Dataran Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini semalam.

Forum anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan itu turut disertai ahli akademik dan pakar sejarah dari Universiti Malaya, Prof Dato’ Dr Mohamad Abu Bakar.

Turut hadir Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu Dato Wan Abdul Rahim Abdullah, anggota Exco, Abdul Fattah Mahmod dan Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim.

Forum yang dibanjiri ribuan penonton itu dipengerusikan mantan Ketua Pemuda Umno Ketereh Haji Soberi Shafei.

Golongan pembodek

Sementara itu, mengulas kenyataan pihak tertentu bahawa Malaysia tidak pernah dijajah, Mat Sabu mendakwa golongan itu merupakan golongan terlalu hendak membodek pemimpin mereka.

“Bodek punya bodek, mereka itu sampai terbabas, sampai menjadi bahan ketawa sekarang,” katanya.

Dalam hubungan ini, Mat Sabu mendakwa sekiranya rakyat di negara ini menerima pandangan golongan itu, maka ertinya rakyat tidak perlu menyambut kemerdekaan 31 Ogos dan tidak perlu pula menyambutnya pada 16 September.

Dalam pada itu Prof Dr Mohamad ketika dirujuk pandangannya berkata seharusnya orang akademik yang semakin berkedudukan jauh lebih baik sekarang dalam hubungan dengan orang politik mempengaruhi orang politik tertentu supaya isu mengenai penulisan semula sejarah Malaysia ‘yang dipercayai diselewengkan fakta’ itu dilaksanakan.

Menurutnya, sebelum pilihan raya keua belas yang lalu orang akademik banyak tunduk kepada orang politik, tetapi kini ternyata orang akademik dan dari pusat pengajian tinggi semakin menjadi rujukan.

“Inilah peluang dan masanya untuk mereka pula mempengaruhi keadaan menerusi perhubungan mereka dengan orang politik (golongan pemimpin).

“Dulu menteri-menteri tak jumpa kita orang semua ini. Tetapi sekarang semakin ramai, ada pula diskusi, ada Majlis Profesor dan sebagainya.

“Ini menunjukkan mereka ini sama ada merasai kebimbangan terhadap kedudukan diri mereka dan kedudukan politik mereka, semakin didampingi orang politik dan itu bagus.

“Jadi, di sinilah kita dapat salurkan kebenaran,” katanya.

HARAKAHDAILY/-

Gempa bumi kuat landa pantai utara New Guinea

15 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.1 pada skala Richter melanda pantai utara New Guinea di Papua New Guinea pada 6.44 pagi ini.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini menyebut pusat gempa itu berada di kedudukan 735km barat laut Port Moresby di Papua New Guinea dan 3,022km di tenggara Kunak, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. -BERNAMA

Tangguh cukai prabayar sehingga PRU 13?

15 Syawal 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 13 Sept: “Walaupun saya berasa lega dengan pengumuman syarikat telekomunikasi bahawa kenaikan harga prabayar akibat cukai 6% akan ditangguhkan, kita juga perlu berhati-hati dengan pengumuman ini.
“Adakah ini bermakna penangguhan ini hanyalah sehingga Pilihanraya Umum ke-13 dipanggil untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri?” tanya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan.
Beliau juga tetap berpendapat bahawa cara Datuk Seri Najib Tun Razak menangani kemarahan rakyat akibat kenaikan harga tersebut memberi isyarat yang salah kepada golongan niagawan.
Ketika ini, beliau pasti banyak syarikat lain yang turut menjalankan amanah mengenakan cukai perkhidmatan mengikut undang-undang akan mula merasa bimbang kalau-kalau mereka mendapat panggilan daripada Pejabat Perdana Menteri meminta mereka menanggung cukai tersebut.
Katanya, Najib mempunyai peluang untuk memperbaiki imejnya sekiranya ada keberanian untuk mengumumkan pengecualian khidmat telekomunikasi prabayar yang digunakan oleh majoriti golongan berpendapatan rendah dan orang muda dari dikenakan cukai perkhidmatan 6%.
Ini, tambahnya akan membawa kepada penurunan kos telekomunikasi yang lebih kekal dan menyumbang mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, dengan pengecualian cukai perkhidmatan 6% itu, syarikat telekomunikasi tidak ada pilihan lain kecuali menurunkan tarif panggilan bagi pengguna prabayar, kerana struktur kos panggilan prabayar selama ini sudah mengambil kira cukai perkhidmatan yang perlu ditanggung rakyat.

Perdana Menteri, ujarnya tidak perlu menunggu keputusan dari satu lagi makmal yang dikelolakan oleh Pemandu yang menelan belanja besar, untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Beliau hanya perlu menggunakan sedikit kebijaksanaan orang kebanyakan dan ini boleh dilakukan dengan mengecualikan khidmat telekomunikasi prabayar dari cukai perkhidmatan,” katanya.
Beliau menambah, penangguhan kenaikan kos prabayar adalah satu lagi bukti kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh rakyat kebanyakan apabila ada proses timbang tara di dalam negara.
Katanya, kehadiran Pakatan Rakyat yang berpengaruh di dalam Dewan Rakyat telah menguatkan suara rakyat menekan kerajaan dan merubah banyak dasar dan tindakan kerajaan yang salah sejak tahun 2008.

Tanya Umno, mana komunis baik mana bahaya

15 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 12 Sept: Sesiapa yang nak mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan mana-mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya.
Itu adalah sindiran Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang menyebut “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”
“Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat. Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka,” Najib dipetik sebagai berkata.
Ironinya, kenyataan Najib datang pada masa terbongkarnya fakta bahawa Umno baru-baru ini telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2011 dan pada masa yang sama, melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas PAS dan Timbalan Presidennya Mohamad Sabu atas dakwaan menyokong komunis.
Jika mengikut logik Najib, sindir Tuan Ibrahim, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.
“Sekiranya rakyat mengikut logik PM yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara,” kata beliau secara sinis, sambil menambah mungkin itulah sebab utama mengapa Najib sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.
Dalam kenyataannya juga, Tuan Ibrahim juga berkata tindakan Umno dalam permainan politik komunis telah melondehkan hipokrisi parti Melayu tersebut untuk dilihat rakyat jelata.
“Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bilamana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM (Parti Sosialis Malaysia) dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis.
Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri? Sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Akta Ordinan Darurat,” soal beliau.
6 tahanan PSM - ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, lima yang lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25 telah ditahan selama 28 hari di bawah Akta Ordinan Darurat atas alasan kononnya cuba menghidupkan semula fahaman komunis. sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai 9.
Kesemua mereka dibebaskan pada 30 Julai yang lalu.
Segala tindak-tanduk ini, kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menggambarkan seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain “asalkan bukan Umno”, maka komunis itu komunis jahat.
Dalam isu kenyataan status negara sama ada pernah dijajah ataupun tidak, Tuan Ibrahim secara sinis berkata persoalan ini rasanya hanya boleh dijawab secara tepat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kemelut samada negara pernah dijajah ataupun tidak, ditimbulkan oleh sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling kelmarin yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
Setelah menerima sindiran dan kritikan pelbagai pihak, Zainal akhirnya mendapat satu sokongan yang amat kuat daripada Mahathir hari ini, yang mengatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.
Bekas perdana menteri berkata British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”
“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini. Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.
“Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong,” bidas Tuan Ibrahim secara sinis.
Jika mengikut logik MPN, kata beliau, maka ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu.
“Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak.
Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi - segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram.
Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai,” sindir beliau lagi.