15 November 2011

Facebook: Kementerian Pelancongan bazir RM1.8 juta

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Perbelanjaan RM1.8 juta yang digunakan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dalam kempen 'sosial media branding' yang hanya menggunakan laman sosial 'facebook (FB)' dilihat sebagai satu tindakan yang membazir.

Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook dari DAP menjelaskan ramai rakyat negara ini mempunyai laman sosial tersebut dan memiliki ramai peminat tetapi beza rakyat Malaysia dengan Kementerian Pelancongan adalah mereka melakukan aktiviti kegemaran itu tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

"Ini menunjukkan perbelanjaan yang digunakan oleh Kementerian Pelancongan adalah satu pembaziran yang besar, laman sosial FB adalah percuma tanpa memerlukan kita membayar apa-apa kos untuk memilik akaun tersebut.

"Dalam pada itu jika hanya untuk memuat naik aktiviti atau kempen pelancongan kita hanya memerlukan seorang pegawai sahaja, tetapi kos yang besar itu adakah kementerian menggunakan pegawai yang ramai hanya untuk melakukan kerja yang mudah," jelasnya yang juga Ketua DAPSY.

Beliau juga memberitahu pihak Kementerian Pelancongan perlu menjelaskan apa yang telah mereka belanjakan dengan peruntukan yang besar itu kerana ia adalah satu yang mustahil kerana untuk satu laman sosial FB kos sedemikian diperlukan.

Tambahnya lagi, melalui jawapan bertulis yang beliau terima dari Kementerian Pelancongan berhubung dengan perbelanjaan RM1.8 juta itu, kementerian memberitahu bahawa Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi laman sosial tersebut yang dilancarkan pada Mei 2011 mencapai 120,000 orang peminat pada Disember 2011.

"Saya melihat rakyat Malaysia yang mempunyai akaun laman sosial FB juga mempunyai peminat melebihi apa yang di sasarkan oleh KPI Kementerian Pelancongan, itu tanpa menggunakan apa-apa kos yang besar hanya sekadar mengisi masa lapang.

"Jadi apa yang ingin saya perkatakan Menteri Pelancongan perlu bertanggungjawab atas perbelanjaan yang besar ini dan beliau perlu memberi penjelasan kepada rakyat negara ini di manakah wang tersebut dibelanjakan," sambungnya lagi.

harakahdaily/-

Perintis: Mengapa Melaka dipilih?

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MELAKA, 15 Nov: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata cadangan agar guru bekerja 9 jam wajar ditolak.

Adly berkata, beban tugas yang ada pada guru hari ini sudah banyak kerana bukan sekadar bekerja di sekolah tetapi dibawa hingga ke rumah.

Justeru, katanya kerajaan harus memberikan fokus kepada meningkatkan insentif kepada golongan guru.

"Bekerja 9 jam akan memberi tekanan kepada guru, sekaligus akan memberi kesan langsung kepada mutu pendidikan negara," ujar Adly.

Menurut Adly fokus yang harus diberi kepada guru adalah penyelarasan tugas, mencukupkan bilangan di samping meningkatkan kualiti, maka perhatian serius perlu diberikan kepada peningkatan gaji dan insentif.

"Amat malang, dan kenapa Melaka dipilih?" tanya beliau mengenai Melaka salah satu negeri yang akan dipilih selaku projek perintis bagi cadangan bekerja 9 jam.

"Mendengar 9 jam bekerja sudah meresahkan guru, mereka sudah cukup terbeban dengan tugas sedia ada."

Beliau juga menyokong langkah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan itu.

"Tekanan beban 9 jam ini pasti memberi kesan langsung kepada mutu generasi akan datang. Cadangan kerja 9 jam wajar ditolak dan tak perlu dijadikan ujikaji," katanya lagi.

Sebaliknya, menurut Adly cadangan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga bagi memberikan insentif RM500 sebulan kepada semua warga pendidik adalah lebih praktikal bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

harakahdaily/-

Isu Feedlot: Shahrizat Perlu Letak Jawatan Dari Jadi Liabiliti Kepada UMNO & BN

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Bung Moktar mahu Shahrizat letak jawatan

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) patut meletakkan jawatan.

Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.

Bung Moktar membuat saranan itu ketika ahli parlimen BN membahaskan isu rundingan pertukaran saham antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dengan Malaysia Airlines.

"Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

"Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti kepada Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," katanya.

Ahli parlimen Kinabatangan yang lantang itu, bagaimanapun tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.

Namun, ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang tadi, Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Dia patut bertanggungjawab dan menghadapi akibatnya," kata Bung Moktar. -malaysiakini

Australia tahan budak Jakarta di lokap dewasa

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SYDNEY: Agensi hak asasi Australia semalam mendakwa warga Indonesia yang masih di bawah umur berisiko tinggi untuk ditahan di penjara orang dewasa di negara itu, selain mempersoalkan ketepatan penggunaan x-ray pergelangan tangan untuk menentukan usia sebenar.

Peguam bagi Indonesia yang diupah kumpulan pendatang bot untuk mendapatkan perlindungan suaka berkata, bahawa kesilapan mengenai usia anak guam mereka, digabungkan dengan ketegasan kerajaan terhadap penyeludupan manusia menyebabkan kanak-kanak diletakkan di penjara dewasa.

“Penggunaan x-ray pergelangan tangan bagi menentukan usia menyebabkan kesilapan dalam menentukan umur sehingga menyebabkan kanak-kanak terbabit ditahan di penjara dewasa,” kata Presiden Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Australia, Catherine Branson.

“Saya bersama dengan Peguam Negara Komanwel mengenai penggunaan x-ray pergelangan tangan untuk menentukan usia dan keperluan untuk menyatakan risiko tinggi bahawa Australia menahan kanak-kanak di penjara dewasa sejak Februari tahun ini.”

Branson berkata, ia amat penting menentukan usia sebenar suspek kerana golongan di bawah umur biasanya dihantar pulang berbanding didakwa dengan kesalahan penyeludupan manusia, manakala kelompok dewasa berhadapan dengan hukuman penjara minimum lima tahun jika didapati bersalah.

“Menahan seorang kanak-kanak dalam penjara dewasa adalah melanggar Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak,” katanya. – AFP

Mossad didakwa letup depoh tentera Iran

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PASUKAN beruniform Iran menghadiri upacara pengebumian mangsa letupan depoh peluru dekat Tehran.

Tindakan dianggap sabotaj, jejas Tehran hasilkan senjata nuklear

TEHRAN: Agensi perisikan Israel, Mossad, didakwa mendalangi letupan di pangkalan tentera berhampiran ibu kota Iran Sabtu lalu, yang menyebabkan 17 orang terkorban, kata sumber perisikan Barat yang dipetik majalah Time semalam.

“Ia bukan satu kemalangan seperti yang dinyatakan kerajaan Iran, sebaliknya ia didalangi Israel,” kata seorang pegawai perisikan kepada majalah itu sambil menambah, ia satu lagi sabotaj yang dirancang untuk menjejaskan kemampuan Iran membina dan menghasilkan senjata nuklear.

Sabtu lalu, dua letupan berlaku di depoh peluru berhampiran bandar Shahriyar, kira-kira 30 kilometer ke barat Tehran.

Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), melaporkan, kejadian berlaku apabila tentera memunggah roket dari depoh berkenaan.

Agensi berita FARS melaporkan bilangan yang maut dalam kemalangan itu mencecah 17 orang manakala 15 lagi cedera. Antara yang terbunuh ialah pegawai kanan Pengawal Revolusi, yang juga ketua unit penyelidikan logistik, Jeneral Hasan Tehrani Moqaddam.

Beliau yang dipuji kerana usahanya mengendalikan unit peluru berpandu dan artileri terbunuh dalam letupan di depoh peluru di barat Tehran itu adalah tokoh utama dalam program peluru berpandu, kata pasukan tentera elit itu dalam satu kenyataan kelmarin.

Hasan terbunuh bersama-sama dengan 16 anggota lain Sabtu di kawasan tentera di luar kampung Bidganeh, 40 kilometer di barat daya Tehran.

Pegawai Iran tidak menjelaskan mengapa Moqaddam berada di situ ketika kejadian.
Pasukan berkenaan berkata, tentera tidak akan melupakan peranan utama Hasan dalam pembangunan sistem pertahanan negara itu.

Pengawal Revolusi ialah pasukan tentera utara Iran yang berkait rapat dengan ulama berpengaruh negara itu.

Seorang komander unit elit itu, Saeed Qasemi, berkata Iran terhutang budi dengan Moqaddam berhubung program peluru berpandu.

“Sebahagian besar kejayaan kami dalam bidang peluru berpandu dan kereta kebal adala atas usaha berterusan Moqaddam,” kata Qasemi kepada laman web rajanews.com.

Katanya, Moqaddam adalah salah seorang komander Pengawal Revolusi kesayangan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Seorang lagi pegawai, Jeneral Mostafa Izadi, menyifatkan Moqaddam sebagai pengasas sistem peluru berpandu unit berkenaan.

Sementara itu, kumpulan buangan Iran, Mujahedin-e Khalq (MEK), mendakwa letupan sebenarnya berlaku di pangkalan peluru berpandu yang dikendalikan Pengawal Revolusi, bukannya depo peluru.

Ahli perundangan, Parviz Soroori, pula yakin letupan itu satu kemalangan.

“Tiada sabotaj terbabit dalam kejadian ini. Ia tiada kena mengena dengan politik,” katanya yang dipetik laman web Parlimen, icana.ir.

Peluru berpandu Iran boleh mencecah jarak 2,000 kilometer yang direka untuk sampai ke sasaran Israel dan Amerika Syarikat. Kemampuan peluru berpandu, selain program nuklear Iran, adalah antara punca mengapa Israel menganggap Iran sebagai musuhnya paling bahaya.

Pengawal Revolusi bertanggungjawab mengendalikan program peluru berpandu Iran itu. – Agensi

Gempa gegar utara Maluku

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

JAKARTA: Satu gegaran gempa berukuran 6.4 magnitud melanda timur Indonesia di utara wilayah Maluku, semalam, kata ahli meteorologi tetapi tiada kerosakan, kemalangan jiwa dan ancaman tusnami dilaporkan berlaku.

Menurut Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, gempa itu berlaku kira-kira jam 11:05 pagi waktu tempatan (0405 GMT) dengan pusat gempa 69 kilometer di barat daya bandar Labuha dan berkedalaman 10 kilometer. Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat pula merekodkan gempa itu pada ukuran 6.6 magnitud dengan kedalaman 19 kilometer.

“Kami belum menerima sebarang laporan kerosakan. Gegaran gempa turut dirasai di bandar Ternate,” kata pegawai agensi terbabit, Ajat Sudrajat. - AFP

Banjir di Thailand surut, 562 maut

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PERDANA Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk sekitar Bangkok, semalam.

BANGKOK: Ibu negara Thailand, Bangkok kelihatan sudah mulai surut daripada banjir yang melanda beberapa wilayah dan sekitarnya di utara, tetapi arahan berpindah masih dikeluarkan setiap hari di daerah luar manakala penduduk masih lagi berhadapan dengan minggu-minggu yang sukar.

Jabatan Saliran dan Pencegahan Bencana semalam berkata, seramai 562 penduduk maut dalam banjir yang melanda sejak Julai lalu dan sejumlah 22 daripada 77 wilayah di Thailand masih lagi terjejas.

Banjir mulai surut di beberapa bahagian di Bangkok, tetapi disifatkan masih lagi tinggi di tebing barat sungai Chao Phraya, yang mengalami air pasang besar di Teluk Thailand serta di timur ibu negara itu di mana pihak berkuasa mengalihkan aliran banjir dari utara untuk melindungi kawasan tengah Bangkok daripada tenggelam. – Reuters/AP/Agensi

Ekonomi: Selangor perlu dicontohi

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyarankan Kerajaan Pusat mencontohi pengurusan ekonomi negeri Selangor yang berjaya meningkatkan hasil negeri dan simpanan tunainya.

Menurutnya, pengurusan wang yang beramanah sebagaimana dilakukan Kerajaan Negeri Selangor adalah bukti komitmen Pakatan Rakyat (PR) terhadap pemerintahan yang tidak berbelah bahagi.

“Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya meningkatkan hasil cukai anggaran 8.23 peratus dan hasil bukan cukai iaitu 40.12 peratus untuk tahun 2012.

“Ini menampakkan pengurusan ekonomi negeri yang menjanakan pembangunan yang cukup pesat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam bagi mengulas Belanjawan Selangor 2012.

Beliau berkata, selain itu, Simpanan tunai kerajaan Selangor kini telah mencecah RM 1.2 bilion di mana jumlah tertinggi sejak 28 tahun.

“Jumlah simpanan wang ini harus dibandingkan dengan hutang kerajaan persekutuan yang telah mencecah RM400 bilion.

“Jumlah hutang ini amat membimbangkan di mana tanpa reformasi yang mendalam, Malaysia mungkin akan menghadapi masalah yang sama dengan negara Eropah yang berdepan dengan krisis ekonomi yang cukup parah,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, apabila PR mengambil alih pada Mac 2008, tiada sebarang rekod berkenaan hutang RM391 juta Syarikat Talam kepada kerajaan Selangor.

“Bagaimanapun, pimpinan baru kerajaan negeri yang meneliti setiap aspek pengurusan wang rakyat berjaya mengenalpasti serta mengutip balik wang yang dihutang oleh pihak swasta kepada rakyat.

“Hasil pembasmian ketirisan dan rasuah ini, ratusan juta ringgit telah berjaya dijimatkan dan dibelanjakan balik demi kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya, bagi 2012, kerajaan Selangor akan menyambungkan segala inisiatif kebajikan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor, serta menambah sebanyak RM300 juta lagi iaitu hampir 15 peratus belanjawan sepenuhnya di bawah Geran Selangorku untuk meningkatkan lagi dana dan meringankan beban ekonomi rakyat.

“Program kebajikan kerajaan Selangor bersifat menghakupayakan rakyat supaya mampu berdikari, bukannya bersifat pertolongan ‘one-off’ sepertimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pendekatan ini menunjukkan komitmen PR untuk memastikan setiap rakyat berpeluang mencari pekerjaan bermaruah dan pendapatan yang mencukupi serta setara dengan kos sara hidup,” katanya.

sinar harian/-

Istana Negara lama ditutup secara rasmi hari ini

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Istana Negara lama yang telah menjangkau usia 83 tahun akan ditutup secara rasmi setelah selesai Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana itu di sini hari ini.

Istana Negara baharu bernilai RM800 juta yang terletak di Jalan Duta pula akan menjadi kediaman rasmi baharu bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya setelah tamat tempoh jawatan yang kini dipegang oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tersergam indah di tepi Bukit Petaling, pelbagai peristiwa telah berlaku di istana lama itu yang pada asalnya sebuah banglo yang dibina pada 1928 oleh pemilik asalnya iaitu seorang jutawan dari China, Chan Wing.

Bagaimanapun, sejak tercetusnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan negara ini ditawan Jepun, banglo yang telah ditinggalkan jutawan berkenaan digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun bermula 1942 sehinggalah 1945.

Sejurus tamatnya perang itu, banglo tersebut telah bertukar tangan kepada British Military Administration (Malaya) yang menjadikannya sebagai mes pegawai kanan British pada 1946.

Kemudian ia bertukar milik kepada Kerajaan Negeri Selangor apabila dibeli dan diubahsuai sebagai sebuah istana untuk Sultan Selangor ketika itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Istana itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila kerajaan Persekutuan membelinya pada harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

sinar harian/-

Lelaki maut ditembak di meja sarapan

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas mati ditembak sebaik dia selesai bersarapan pagi di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.10 pagi itu, Lee Shoo Toong, 60, yang ditemani isterinya ketika bersarapan di restoran terbabit mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan di bahagian kiri dada.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang tinggal di sebuah pangsapuri Taman Skudai Baru dekat sini baru selesai makan sebelum seorang lelaki menaiki motosikal tiba-tiba berhenti di depan restoran tersebut.

Suspek kemudian dengan pantas melepaskan satu das tembakan dari arah belakang dan tembakan itu mengenai tepat pada bahagian dada kiri mangsa.

Lelaki itu bertindak melarikan diri dengan motosikal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, isteri mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian, mangsa yang duduk di meja paling hadapan iaitu di kaki lima restoran baru selesai makan dan sedang membaca akhbar.

“Kejadian berlaku terlalu pantas sehingga isteri mangsa juga tidak sempat mengecam suspek,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kosmo

Kucing tersangkut 3 hari, 20 kaki di puncak pokok kaktus

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEBERAPA orang penduduk bimbang dengan nasib seekor kucing yang tersangkut di puncak sebatang pokok kaktus setinggi 20 kaki sejak lebih tiga hari.

Kejadian yang berlaku di Salt River, Arizona itu menyaksikan penduduk beberapa hari mencari jalan untuk menurunkan kucing tersebut.

Menurut salah seorang penduduk, JD Robbins "kucing itu barangkali telah dikejar oleh anjing hutan. Walaupun tersangkut begitu lama, ia tetap kelihatan tenang"

Dilaporkan bahawa kucing malang tersebut sudah tersangkut di puncak pohon kaktus tersebut sejak tiga hari tanpa makan dan minum di bawah panas terik matahari di kawasan gurun tersebut.

Segelintir pakar menyatakan bahawa adalah lebih berbahaya untuk menyelamatkan kucing tersebut - manakala pihak bomba pula menasihatkan tidak perlu, kerana ia akhirnya pasti akan turun sendiri.

Dakwaan tersebut tenyata benar apabila kucing tersebut akhirnya memberanikan diri untuk turun sendiri tanpa sebarang bantuan manusia sambil gelagatnya dirakamkan oleh jurugambar Fox9 TV.

Oleh FreeMalays/-

Menghadapi Ujian

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

"Seluruh kehidupan adalah ujian Allah. Jika apa yang kita lakukan - rasmi atu tidak rasmi - mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembah dan beramal ibadat kepadaNya, insyaAllah kita akan lulus ujian tersebut.

Saya terkenang seorang berkuasa menyatakan kepada saya, "Prof nanti ada seseorang yang akan berjumpa dengan prof, tolong bantu beliau untuk mendapatkan kontrak XYZ.

Nanti saya usahakan prof disambung kontrak pengarah kampus". Dengan lemah lembut dan tersenyum saya nyatakan,

"Tuan Haji, saya minta pertolongan jangan sambung kontrak saya. Saya merayu supaya tidak ditolong. Saya tidak minat jadi pengarah kampus. Saya tidak sanggup berdosa. Cukup Tuan Haji, sejak balik dari menunaikan fardhu haji, saya tidak fikir saya mahu balik semula pada zaman lampau saya".

Beliau beredar dan sehingga ke hari ini beliau tidak lagi saya temui. Saya tahu dengan jelas bukan beliau yang memberikan rezeki kepada saya dan keluarga.

Begitulah, saya didatangani oleh seorang ustaz yang mengharapkan pertolongan agar anaknya diterima masuk sebagai staf UiTM. Jawatan kerani. Pagi-pagi lagi beliau sudah muncul di rumah. Lalu saya dengar dengan teliti tujuan kedatangan beliau dan dengan nada perlahan saya berkata,

"Ustaz, boleh saya bertanya satu soalan? Jika ada 4 calun yang ditemuduga, katalah anak ustaz yang paling teruk sekali, tidak berkelayakan, maka jika saya memberi markah yang tertinggi kepadanya, adakah saya berdosa? (Nota: beliau memberi jawapan, "berdosa"). Sanggupkan ustaz menyuruh saya melakukan dosa?"

Saya sebak di hadapan beliau. Dalam sebak inilah saya nyatakan kepada beliau, "ustaz, saya mungkin mempunyai sedikit kuasa tetapi kuasa Allah lagi luas dan tidak terperi hebatnya. Saya tidak mahu berdosa. Tolonglah saya ustaz untuk tidak melakukan dosa. Ustaz orang beragama. Ustaz orang pandai. Saya orang bodoh, jahil dan tidak berilmu".

Beliau meninggalkan rumah saya tanpa berkata apa-apa.

KRTS

Jambatan PP, beberapa laluan ditutup Ahad

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN – Jambatan Pulau Pinang dan beberapa laluan menghala ke arahnya akan ditutup mulai pukul 12 tengah malam hingga 10 pagi pada Ahad ini sempena acara Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang.

Pegawai Penguat Kuasa dan Operasi Trafik Kontinjen Polis Pulau Pinang, ASP Ahmad Ezzely Razali berkata, jalan-jalan yang ditutup itu ialah Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Lebuh Raya Tunku Kudin dan Lebuh Raya Sungai Nibong.

"Keseluruhannya sebanyak 30 laluan dan jalan ditutup serta dilencongkan bagi memastikan Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang diadakan dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, antara jalan yang dilencongkan ialah susur keluar Jalan Pantai Jerejak, Jalan Sultan Ahmad Shah, simpang Jalan Sungai Pinang, simpang Hajjah Rehmah dan Gat Lebuh Cecil.

Beliau berkata, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif antaranya Jalan Jelutong, Jalan Bukit Gambir, Jalan Masjid Negeri, Bulatan Gelugor, Jalan Yap Chor Ee dan Jalan Tun Dr Awang.

"Orang ramai yang menghadapi kecemasan atau sebarang masalah berhubung lalu lintas pada hari berkenaan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang 04-2221722,” katanya. – Bernama

Masalah Masjid Di Miri, Kemana Pergi Menteri Agama Hal Ehwal Islam Sarawak?

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Masjid Al Taqwa terletak di tengah bandaraya Miri dan sering menghadapi masalah kebocoran apabila musim hujan lebat. Baru-baru ini Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui melawat masjid besar Miri yang sedang dalam proses pembaik-pulih. PAS Miri pernah menyuarakan masalah masjid di Miri dan jawaban yang di terima agak mengecewakan dimana menteri yang menjaga hal ehwal Islam berkata “.. tiada kebocoran atap berlaku di Masjid Miri dan ianya masih dalam keadaan baik..”.

Kalau alasan masjid Miri masih lagi dalam keadaan baik bukan bererti tiada masalah lain yang perlu di ambil perhatian seperti kebocoran atap yang sering berlaku apabila musim hujan lebat dan ini akan merosak imej masjid Bandar Miri apabila mereka yang datang dari luar datang solat dan melawat masjid tersebut.

Kita bangkitkan isu masjid ini bukan untuk tujuan politik tetapi lebih kepada keselesaan dan keselamatan mereka yang menggunakan masjid tersebut. Dari dulu lagi kita minta menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam Sarawak agar datang sendiri melawat masjid di Miri yang menghadapi kerosakan tetapi yang peliknya sekarang adalah menteri yang bukan menjaga hal ehwal agama Islam pula sering datang melawat masjid di Miri.

Kunjungan Datuk Peter Chin Fah Kui Ke masjid Miri sekurang-kurangnya melihat sendiri kerosakan dan proses memperbaik-pulih masjid tersebut serta ingin tahu berapa kos kerosakan masjid tersebut sekiranya tidak muncukupi. Walaupun disebalik kedatangan beliau mungkin ada agenda tertentu kerana Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) sudah hampir tapi yang sepatutnya datang dan memeriksa keadaan masjid di seluruh Sarawak adalah menteri yang menjaga hal ehwal Islam bukannya mereka yang tidak berkenaan.

Begitu juga dengan masalah pembinaan masjid baru di Senadin yang sampai sekarang pun belum ada perkembangan setelah hampir setahun berlalu. Sepatutnya mereka yang bertanggungjawab menjaga hal Ehwal Islam dan kebajikan umat Islam di Sarawak kena perihatin masalah umat Islam di Sarawak bukannya hanya sibuk apabila tiba musim pilihanraya saja.

Kita mendesak agar Menteri Muda (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman dapat menjalankan tugas dengan amanah dan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira golongan dan fahaman politik. PAS sentiasa ingin bekerjasama dengan semua pihak demi kebajikan untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

PAS Miri

Jofri Jaraiee

Bapa saran Bob tukar nama

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Bapa kepada pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman, Lokman Ahmad, 73, sehingga kini belum mengetahui perkembangan terbaru anaknya itu.

Beliau berkata, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47, pernah dihubunginya ketika berita penahanan anaknya itu dihebahkan menerusi media, namun belum sempat berbual dengannya.

“Mengikut media, Bob ditahan tetapi sudah dibebaskan. Saya kira, Mohd Hakim tidak patut ditahan kerana dia bersyarah mengenai agama dan jika difikirkan, ia sama seperti orang tabligh menyebarkan agama, tetapi tabligh tidak pula ditahan.

“Mungkin nama Bob itu perlu ditukar kepada Ustaz Mohd Hakim kerana saya rasa, itulah nama serasi memandangkan dia mempu­nyai latar belakang pengajian agama,” katanya, semalam.

Beliau berkata, nama ‘Ustaz Mohd Hakim’ dicadang­kan berdasarkan Bob ketika bersekolah di Maahad Hami­diah Kajang pernah menjadi juara syarahan dan merupakan cicit kepada ulama terkenal di Kelantan, Tok Kenali.

Menurutnya, penahanan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dirasakan tidak adil kerana anak lelakinya memberi syarahan agama dalam masjid, bukan berbuat perkara tidak sopan.

“Sepatutnya, jabatan agama tangkap mereka yang melakukan perkara tidak sopan seperti mengadakan majlis tarian, seks serta menyanyi, bukan orang beri ceramah agama,” katanya.

Oktober lalu, Jais menahan Bob Lokman, setelah didapati memberi ceramah tanpa tauliah di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

sinar harian/-