15 November 2011

Lelaki maut ditembak di meja sarapan

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas mati ditembak sebaik dia selesai bersarapan pagi di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.10 pagi itu, Lee Shoo Toong, 60, yang ditemani isterinya ketika bersarapan di restoran terbabit mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan di bahagian kiri dada.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang tinggal di sebuah pangsapuri Taman Skudai Baru dekat sini baru selesai makan sebelum seorang lelaki menaiki motosikal tiba-tiba berhenti di depan restoran tersebut.

Suspek kemudian dengan pantas melepaskan satu das tembakan dari arah belakang dan tembakan itu mengenai tepat pada bahagian dada kiri mangsa.

Lelaki itu bertindak melarikan diri dengan motosikal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, isteri mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian, mangsa yang duduk di meja paling hadapan iaitu di kaki lima restoran baru selesai makan dan sedang membaca akhbar.

“Kejadian berlaku terlalu pantas sehingga isteri mangsa juga tidak sempat mengecam suspek,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kosmo

Tiada ulasan: