15 November 2011

'Gantung Shahrizat hingga siasatan selesai'

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Perdana menteri tidak mempunyai pilihan selain melucutkan jawatan atau menggantung tugas menteri wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sehingga siasatan kes Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diterajui keluarganya selesai, kata Pemuda PAS.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu perlu diambil "demi memastikan negara tidak dipimpin oleh golongan yang melakukan penyelewengan".

"Pemuda PAS benar-benar berharap Datuk Seri Najib (Razak) menyucikan kabinetnya sebagaimana usaha beliau untuk menyucikan diri setelah selesai menunaikan ibadah haji," katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam NFC patut meletakkan jawatan.

azlanDihubungi Malaysiakini selepas itu, Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Shahrizat sebagai menteri pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat.

Dalam kenyataannya hari ini, Riduan berkata, pelucutan jawatan atau penggantungan juga perlu diambil dengan mengambil kira kes yang "amat berat" itu sudah menjadi perbualan umum dan ekoran kedudukan Shahrizat sebagai ketua Wanita Umno.

Sementara itu, dewan itu juga menggesa pihak polis mengambil tindakan segera dengan menyiasat kes pembelian kondominium menggunakan dana projek NFC yang dirujuk pada mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sharizat pada 9 November percaya isu NFC telah digunakan untuk menyerang beliau selaku ketua wanita Umno dan pengerusi Wanita BN.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: