22 Mac 2009

Ku Li: BN bakal diuji 6 juta pengundi baru...

Barisan Nasional (BN) akan berdepan dengan situasi yang sukar dalam pilihanraya umum akan datang, yang dijangka diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi, kata pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Jangan lupa, akan ada enam juta pengundi baru... dua juta yang tidak sempat mengundi dalam pilihanraya lalu dan empat juga lagi dalam tahun-tahun akan datang. Jadi, ada enam juga lebih (pengundi) yang akan menguji kita," katanya.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan, hampir menjadi perdana menteri pada 1987 tetapi beliau kalah tipis di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad - hanya dengan 43 undi - dalam merebut jawatan presiden Umno yang dilanda krisis ketika itu.

Sejak itu, beliau sudah dua lagi mencuba untuk bertanding jawatan presiden Umno - pada 2004 (untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan dalam pemilihan parti kali ini.

Bagaimanapun, dalam kedua-dua percubaan tersebut, Tengku Razaleigh gagal mendapatkan cukup pencalonan untuk dari bahagian Umno bagi layak bertanding jawatan tersebut.

Dalam wawancara tersebut juga, Tengku Razaleigh berkata beliau "tidak nampak" Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil tindakan yang keras terhadap para kritiknya apabila menjadi perdana menteri.

"Jika beliau mahu memperbaiki imejnya di mata rakyat, maka beliau perlu melakukan perkara-perkara yang akan diterima oleh rakyat - bukan menggunakan paksaan atau kuasa kerana itu akan memburukkan lagi kedudukannya yang dialaminya sekarang," katanya.Malaysiakini.

Tiada ulasan: