22 Mac 2009

PAS Perak terima siapa sahaja calon Bukit Gantang


TAIPING: PAS Perak akan menerima siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 7 April ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Asmuni Awi berkata, sentimen anak tempatan tidak menjadi isu kerana PAS percaya pengundi kini telah matang untuk memilih calon anggota Parlimen berdasarkan kepada kemampuan dan kebolehan bekerja.

Kita telah menyenaraikan lima nama... PAS Perak berfikiran terbuka dan para penyokong PAS juga boleh menerima siapa sahaja calon.

Anak tempatan bukan menjadi faktor kerana para pengundi kini sudah matang," katanya ketika ditanya sama ada PAS akan mengutamakan anak tempatan sebagai calon.

Barisan Nasional (BN) telah menamakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ismail Saffian sebagai calon anak tempatan selepas mendapati faktor calon luar pada pilihan raya umum lepas menjadi antara punca kekalahan.

Asmuni yang juga Pengarah Jentera PAS bagi pilihan raya kecil Bukit Gantang berkata, calon parti itu akan diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu majlis di padang Taman Kota Jaya, Simpang dekat sini pada Isnin ini.

Pucuk pimpinan akan bermesyuarat mengenai pemilihan calon pada petang Isnin sebelum calon diumumkan pada sebelah malam... tempat berkenaan adalah tempat sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengumumkan calon BN Sabtu lalu," katanya.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Taiping telah membenarkan PAS menganjurkan majlis berkenaan dan permohonan juga sedang dibuat kepada polis.

Asmuni berkata, PAS akan mensasarkan sokongan daripada pengundi semua kaum sejajar dengan tema PAS bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan iaitu " kekalkan kemenangan untuk rakyat".

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PAS telah membuat sebanyak 10 aduan polis sejak 13 Mac lepas berkaitan perbuatan merosakkan dan membakar bendera dan poster parti itu serta penyebaran risalah berbau perkauman dan berunsur sabotaj.

Asmuni berkata, antara risalah yang diedarkan oleh pihak tertentu yang dipercayai bertujuan mensabotaj PAS ialah risalah bergambar karikatur Sultan Perak dan Mufti Perak serta risalah yang mendakwa Pakatan Rakyat berhasrat membuat persempadanan semula bagi memastikan kerusi majoriti Cina sama banyak dengan Melayu.

Kita telah membuat laporan dan meminta polis membuat siasatan... kita kesal dengan taktik seperti ini malah PAS turut digambarkan sebagai zionis," katanya.

Penamaan calon akan diadakan pada 29 Mac ini dan pengundian pada 7 April bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 8 Februari lalu.

Roslan mengalahkan Bendahari Umno, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dengan majoriti 1,566pada pilihan raya umum tahun lalu.

Seorang lagi calon bebas M. Mogan hilang wang pertaruhan dengan hanya 882 undi. Mstar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

insyaAllah kemenangan berpihak kepada PAS/PR, teruskan berjuang wahai pejuang PAS.