10 April 2009

Banyak kesangsian dalam Kabinet Najib

Ada beberapa pemerhatian dan kesimpulan yang sepintas lalu dapat dibuat tatkala meneliti barisan Kabinet baru Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, petang tadi.

Pertama, semacam ada rasa sangsi atau kepercayaan yang tidak bulat oleh Najib terhadap orang nombor duanya. Meskipun menepati ramalan meletakkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, tidak ramai menyangka orang nombor dua itu akan diberikan tugas di Kementerian Pelajaran. Sudah lama kementerian itu tidak dipegang Timbalan Perdana Menteri.

Orang nombor dua selalunya diberikan peranan paling mencabar. Kementerian yang lebih dianggap kanan, strategik dan berkuasa ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Bukankah di situ duduknya Najib selaku Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini? Bukankah di beberapa kementerian itu juga Abdullah selaku orang nombor dua diletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Najib memilih sepupunya, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri, manakala bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengepalai Kementerian Pertahanan. Apakah dua pemimpin ini sebenarnya yang lebih dipercayai Najib berbanding Muhyiddin?

Kedua, Najib tidak dapat mengelak daripada melantik pemimpin yang sudah ditolak rakyat. Ia bagaikan mengulangi tabiat Abdullah yang sebelum ini dikritik dan dikecam pelbagai pihak.

Dalam ucapannya sebelum mengisytiharkan Kabinet baru itu, Najib mengungkapkan slogan "Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Kesangsian segera muncul tatkala orang disenaraikannya termasuk mereka yang telah ditolak rakyat dalam pilihan raya. Justeru, 'rakyat' manakah yang didahulukan Najib?

Antara pemimpin tersebut ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato' Dr Awang Adek Hussein (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Apakah ini menggambarkan pengakuan bahawa dari lebih 100 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih ada, tidak ada yang mempunyai wibawa dan keupayaan untuk mengisi jawatan Kabinet, sehingga memaksa dilantik mereka yang bukan Ahli Parlimen?

Najib turut melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti, sekaligus membelakangkan mereka yang dipersetujui ahli-ahli akar umbi parti mereka sendiri. Mereka ialah Dato' Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan) dan Dato' Mukhriz Mahathir (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Ketiga, tindakan nekad Najib melantik Mukhriz ke dalam Kabinetnya mengundang tafsiran betapa beliau berhasrat membalas jasa Mahathir. Ataukah beliau sebenarnya tunduk kepada saranan dan nasihat bekas Perdana Menteri itu dalam mencaturkan Kabinetnya?

Kita tahu betapa besar peranan dimainkan Mahathir dalam mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib dalam parti dan kerajaan. Mahathir lah orang utama yang bertanggungjawab 'memanaskan punggung' Abdullah, sehingga terpaksa melepaskan jawatan lebih awal dari yang dirancangnya.

Keempat, ketiadaan nama Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut mengundang pelbagai andaian. Selain sama taraf dengan naib presiden dalam parti, Khairy juga ada tiket selaku Ahli Parlimen Rembau.

Ketiadaan namanya dalam senarai Kabinet dikaitkan dengan penyiasatan semula Lembaga Disiplin Umno berkaitan amalan politik wang dalam pemilihan Umno baru-baru ini. Desas-desus bertiup kencang kononnya Khairy bakal berhadapan tindakan tegas partinya, termasuk kehilangan jawatan yang baru dimenanginya itu.

Andaian itu bagai disahkan apabila Najib tidak menyenaraikan Khairy. Najib dikatakan tidak mahu mengambil risiko menyenaraikan orang yang sedang disiasat. Mana tahu silap haribulan akan berulang peristiwa seorang menteri terpaksa melepaskan jawatan kerana bersalah atas dakwaan politik wang. Maka bagi mengelakkan Kabinetnya tercemar, Najib dikatakan siang-siang lagi enggan menyenaraikan Khairy.

Namun ada juga yang menilainya sebagai bertepatan dengan hasrat Najib membersihkan Kabinetnya dari bayangan Abdullah. Jika nilaian itu benar, bermakna Khairy adalah mangsa keadaan hanya semata-mata dia adalah menantu bekas Perdana Menteri itu. Harakahdaily.

15 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Anda melihat perlantikan secara prejudis kerana tidak melibatkan parti yang anda sokong. Penilaian terbuka anda dilihat tidak bijak kerana anda tidak mampu menjadi pemimpin besar. Oleh itu, anda mengambil pendekatan ' komen apa saja' untuk memuaskan rasa tidak puas hati atas kehilangan kuasa. Hakikatnya, PAS rakandalam PR belum cukup bagus untuk memerintah negara kerana belum membuat apa-apa sumbangan kepada kemajuan negara. Kejayaan kumpulan anda adalah kerana faktor berikut : kebencian, keganasan, fanatik, menghasut, membuat tuduhan, komplot dengan musuh yang dikenali dajalnya, politik untuk politik, serta barisan pemimpin yang menghancurkan perpaduan negara.

Tanpa Nama - Azrul.

D'Rimba berkata...

SEMOGA ALLAH SEGERA BONGKARKAN SEGALA KEBENARAN. JELAK DENGAN JANJI MEREKA YANG TIDAK UATAMAKAN ACUAN TERSENDIRI BERTERASKAN ISLAM SEJATI.....

Amri Mat Saaid berkata...

Salam Azrul

anda pun sebenarnya adalah yang menutup minda tidak menerima kritikan yang bagus pada anda hanyalah UMNO dan BN. Ini dapat dilihat dengan menuduh PR seperti yang anda catat di atas, padahal banyak aspek BN meniru PR, tuan carilah sendiri, dengan saya tidak menafikan akan sumbangan kemajuan yang telah UMNO dan BN lakukan.

Tanpa Nama berkata...

YB betul saudara Azrul pun betul,
untuk membetulkan lagi keadaan kita
hendaklah bekerja kuat(lebih daripada biasa)
untuk kebaikan Rakyat dan diri sendiri/keluarga.

EQUILIBRIUM berkata...

azrul,

senang cakap najib ni memang boneka mahathir je sebenarnya. pusing le ikut mana pun memang itu le hakikatnya. kita dapat tengok semua pm ada legacy masing2 kecuali tunku. legacy paklah pun mungkin tak sempat hidup lama.

jadi memang tak hairan mahathir kemaruk nak tengok anak dia pun jadi mcm hishamudin dan najib. benda simple mcm tu semua org boleh nampak. hanya pemuja mahathir buat2 rabun ayam.

Malaysian-2Day berkata...

hehehe ini kes biasa, pada PAS semua sangsi, jgn kata kabinet Najib, kabinet baju, kabinet dapur semua korang sangsi. Toksah sebuk la dgn kabinet najib tu. Baik korang betulkan perjuangan PAS yang dah SONGSANG tuh. Iatak CINA .. ISLAM

satu due tife berkata...

biaq pun YB cina, YB islam...
agpon pas ni perjuangan untuk semua...
pape pun, habaq ja mau reform, tapi habuk pun takdak...

Amri Mat Saaid berkata...

he he cakap aje le kome frust Ketue pemude yg kome sanjung2 tak dilantik pun ,syabas buat pencacai UMNO

Tanpa Nama berkata...

saudara malaysian-2day

songsang tang mana perjuangan PAS...adakah krn bergabung dalam pakatan rakyat itu sudara kata songsang? dalam BN tiadakah gabungan ini? Islam itu untuk semua...berdakwah juga berbagai cara dan method..dgn bergabung sekurang2nya boleh diselitkan dakwah kepada yang bukan islam...matlamatnya memperkembangkan agama islam kepada semua manusia. selagi tiada jaminan UMNO dan BN akan menjalankan hukum allah selagi itu bukan sahaja sangsi malah perlu ditolak...

Tanpa Nama berkata...

aku ni x mnat politik sgt...
tp aku lg x minat BN...
muka ahli2 bn xde seri...
jd aku sokong PAKATAN RAKYAT...
TAKBIR......aku doakan smoga org yg mgambil duit rakyat hdupnya x aman.AMIN..org yg baik adalah org yg slalu di dengki oleh musuh.

meranarakyat berkata...

Salam Azrul..
Tak salah jika menyokong mana2 parti.Tapi jgn la sokong membabibutatuli.Jika pemimpin yang menerajui menunjukkan ada kontroversi dan semacam tidak bersih, apa gunanya.nak sokong juga??Apa yg anda dapat kalau sokong juga? adakah anda suatu hari nanti akan menjadi perdana menteri?menteri? ADUN??ketua cawangan?? sedangkan peralihan kuasa akan jatuh ke puak puak mereka juga..kekayaan akan terus diraih sedangkan masih ramai melayu yang tidak cukup makan.

Tanpa Nama berkata...

Saudara Azrul!
Sumbangan PAS paling besar di Malaysia ialah sebagai Parti pelengkap Sistem Demokrasi di Malaysia sejak tahun 1951. PAS tidak pernah gagal menyertai PRU1 hingga PRU12. PAS pernah menjadi sebahagian dari Pemerintah apabila ia menyertai BN semasa mula2 ditubuhkan. Sila nafikan hakikat ini dengan fakta jika anda tidak setuju.
Sebagai pembangkang, PAS mengambil pendekatan membangkang terhadap perkara yang dia tidak setuju. Itu peranan PAS. Olih itu berikan fakta2 untuk menyanggah bangkangan PAS tersebut. Itu caranya.
Sedar atau tidak bahawa tidak semua yang kerajaan pemerintah lakukan dibangkang olih PAS. MSC misalnya, BIMB, UIA, Takaful, Tabung Haji,Mengutamakan Pengeluaran Makanan Negara, Hub halal, dsb. Jangan tak sedar!
Anda membuat tuduhan terhadap PAS tanpa ilmu. Terikut2 dengan hawa nafsu. Tanyalah diri anda sendiri benar atau tidak!
Ingatlah kita bahawa: Orang yang berilmu ialah orang yang sentiasa mengingati kematian.
Beramallah kepada kebaikan dan hindarilah keburukan.
Ikhlas dari; KerianLaut

Tanpa Nama berkata...

Salam bro Azrul... berdasarkan ulasan anda, nyata sekali anda adalah fanatik umno, pada anda hanya umno yang terbaik walupun umno yang terhina di mata sebahagian rakyat malaysia yang dapat membezakan antara permata dan kaca. Sememangnya Allah akan terus menutup mata dan telinga hambanya yang menzalimi diri sendiri tanpa mahu berfikir dengan bijak sehingga yang benar dikatakan batil dan sebaliknya. Semoga umno terus hancur selumat debu yang berterbangan di udara. Amin...

Puan Ainon Mohd. berkata...

Barisan kabinet Najib ini tidak membantu UMNO-BN menang dalam PRU-13 nanti.

abgBro berkata...

slogan kabinet baru
'satu malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'

sebelum ni...

'cemerlang, gemilang, terbilang' (lepas beberapa bln memerintah rakyat tambah ujungnya 'temberang') hehehe