24 Julai 2009

Keputusan kerajaan dipertikai, Suruhanjaya Diraja perlu peranan lebih besar

KUALA LUMPUR, 23 Julai : - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob mempertikaikan keputusan kerajaan yang menghadkan peranan suruhanjaya diraja hanya kepada bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh Beng Hock disiasat.

Beliau menegaskan keputusan kabinet itu tidak cukup untuk membuktikan kerajaan serius dan telus dalam soal kematian Beng Hock.

Suruhanjaya diraja itu, tegas beliau sepatutnya mempunyai bidang kuasa yang lebih menyeluruh dan perlu menyiasat sepenuhnya kejadian yang berlaku hingga menyebabkan kematian setiausaha politik exco kerajaan Selangor itu.

"Keputusan menghadkan peranan suruhanjaya diraja itu tidak cukup untuk membuktikan kerajaan serius dan telus dalam soal kematian Beng Hock.

"Sepatutnya suruhanjaya itu mempunyai peranan yang lebih besar dan tidak dihadkan dengan hanya tugas-tugas tertentu sahaja," tegas beliau.

Salahuddin juga mendesak agar anggota suruhanjaya diraja itu terdiri dari mereka yang yang mempunyai integriti dan tidak pernah dilibatkan dengan apa-apa skandal sebelum ini.

Pemilihan anggota itu penting, tegas beliau, bagi menjamin suruhanjaya tersebut tidak dipersoalkan dan menimbulkan persepsi negatif orang ramai.

Selain itu, jelas beliau lagi, perlantikan anggota yang berintegriti juga akan dapat mencapai objektif penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian penuh misteri Beng Hock itu.

1 ulasan:

abg long berkata...

Bila fikir kerajaan BN ini, saya rasa sedih betul, kita nak cari sebab apa berlaku kematian , Puak BN ini tak takut Allah, Apa nak buat mata hati tak dapat tengok shurga yang dia nampak neraka Allah.