25 Disember 2009

Anwar dinasihat ambil iktibar kisah Nabi Yusof a.s

7 Muharram 1431H

BUKIT SEGAMBUT, 24 Dis: Dr. Wahbah Az-Zuhaily menasihatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim iktibar dari pemenjaraan Nabi Yusof a.s. disebabkan perancangan pihak yang berkuasa yang tidak senang baginda.

Nasihat tersebut disampaikan dalam suatu majlis dialog yang diadakan di kediaman peribadi Anwar, di sini malam tadi.

Dr. Wahbah yang juga Dekan Fakulti Fiqh dan Mazhab Islam dari Universiti Damsyik, Syria berkata, Nabi Yusoff a.s dipenjarakan walaupun dibuktikan bahawa Nabi Yusof tidak melakukan kesalahan.

"Tidak semua yang diperjara itu bersalah...seperti Nabi Yusof a.s (yang) walaupun telah ada keterangan yang jelas (iaitu) kesan koyakan baju di bahagian belakang menunjukkan Yusuf cuba melarikan diri daripada fitnah, tetapi dia tetap dipenjarakan disebabkan muslihat musuh," jelasnya.

Beliau turut melahirkan rasa kurang senang dengan ujian yang menimpa Anwar dan berdoa supaya Allah membantu Anwar sebagaimana yang dilalui Nabi Yusof a.s kemudiannya.

"Saya amat serius bahawa cabaran yang dihadapi Anwar ini menyusahkan hati saya...semoga Allah akan menaikkan darjatnya seperti Nabi Yusof a.s," jelasnya.

"Beliau (Anwar) akan dapat kedudukan yang lebih baik dari apa yang telah pun didapati sebelum ini."

Menyampaikan ucapan sekitar 30 minit, Dr. Wahbah turut menyeru seluruh rakyat bersama-sama memperjuangkan kebenaran yang cuba ditegakkan oleh Anwar di Malaysia.

"Bagi kita semua, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu perjuangannya yang benar dan melawan kuasa yang batil," jelasnya.

"Ini adalah tanggungjawab bersama (dan) ini adalah ujian bagi beliau dan dunia Islam yang sedang disaksikan dunia Barat."

Selepas dialog tersebut, Dr. Wahbah turut mengimamkan solat hajat demi mendoakan Anwar serta perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia dipelihara Allah s.w.t kelak.

Sebelum pada itu Anwar merakamkan penghargaan kepada Dr. Wahbah kerana sudi mengunjungi kediamannya.

Dalam ucapan aluan, Anwar memuji karya Dr. Wahbah az-Zuhaily yang berjudul Fiqh al-Islami wa Adillatuhu.

Turut menyertai dialog tertutup Dr. Wahbah az-Zuhaily itu, AJK PAS Pusat Abdul Ghani Shamsuddin, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkifli Ahmad, Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presidennya Senator Dr. Syed Husin Ali, Naib Presidennya Mustafa Kamil Ayub, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, para pemimpin mahasiswa dan wartawan.

Semalam, dilaporkan Dr. Wahbah turut menyampaikan syarahan ‘Fiqh Masyarakat Bukan Islam dalam Negara Islam’ dalau suatu simposium yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam syarahan tersebut, beliau menggesa cendekiawan Islam memperkenalkan prinsip-prinsip Islam secara fitrah kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Qaseh Bonda berkata...

satu yang saya masih keliru tentang Anwar Ibrahim...kenapa misti di cat rambutnya itu...

hanya dengan biarkan putih memberi makna mendalam yang iman akal dan hati itu telah selari...

Saya dengan ikhlas menyarankan sayangnya tidak di pamerkan dalam ruang komennya...sepertimana DAKJ yang ikhlas menerima seadanya manusia ini...

kekurangan itulah sumber kekuatan Agama.