25 Disember 2009

Drs. Khalil : Muslimat perlu siap untuk hadapi pilihanraya bila-bila masa .

7 Muharram 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menyeru muslimat semua peringkat di seluruh negeri menyiapkan jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.

Katanya, mana-mana kawasan dan juga cawangan, khususnya membabitkan jentera muslimat yang masih belum bersiap sedia, diingatkan supaya tidak melengah-lengahkannya lagi dalam soal untuk menghadapi pilihan raya.

"Walaupun jangkaan kita sebelum ini pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan diadakan pada penghujung November, bagaimanapun tidak berlaku, tetapi tidak bererti tidak akan diadakan langsung.

"Kalaupun tidak berlaku dalam waktu terdekat, pilihan raya umum yang ke-13 pasti akan diadakan juga dan persiapan mesti kena buat juga," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada muslimat PAS Kawasan Lenggong di Surau Kampung Gua Badak dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Razman Zakaria, Timbalan YDP, Ustaz Mohd Kushairi Ariffin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Lenggong, Hajjah Hapipah Mat Saman.

Khalil Idham Lim berkata, melihat suasana mutakhir di Perak, memaksa kita membuat persiapan lebih awal kerana kemungkinan besar DUN Perak akan dibubarkan pada bulan April 2010.

Katanya, sekiranya benar-benar berlaku pembubaran DUN pada ketika itu, pilihan raya akan diadakan dalam masa 60 hari selepasnya, bererti bukanlah satu jangka masa yang panjang untuk kita membuat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapinya.

Mulai Januari 2010 nanti, katanya semua jentera pilihan raya di seluruh negeri kena adakan satu ceramah setiap bulan sekurang-kurangnya sepertimana dilakukan PAS Kelantan.

Jentera muslimat kawasan mesti mengarahkan jentera muslimat di peringkat Unit Peti Undi (UPU) membuat persiapan dan adakan lawatan ke semua UPU mulai Januari nanti, katanya.

Sebelum itu, Khalil Idham Lim mengingatkan semua muslimat bahawa perjuangan kita di dalam gerakan Islam, adalah perjuangan untuk menegakkan Agama Allah yang diwariskan oleh para Rasul sehingga kepada Nabi Muhammad SAW.


"Tidak ada perkara yang tinggi darjatnya di sisi Allah, melainkan kerja-kerja yang dibuat terhadap apa yang ditinggalkan oleh para Rasul dan perjuangan kita adalah penerus kerja-kerja Nabi.
"Perjuangan Islam adalah mata rantai daripada perjuangan yang dibawa oleh para Rasul dari Adam sampai Muhammad SAW," katanya.

Khalil dham Lim berkata, sehubungan itu kita kena yakin bahawa perjuangan yang kita dokongi di dalam PAS adalah perjuangan untuk menegakkan kebenaran selaras dengan perjuangan para Rasul.

Tiada ulasan: