25 Disember 2009

Kempunan....

7 Muharram 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

GERIK: Nenek berusia 72 tahun yang Orang Kurang Upaya (OKU) tidak sempat menjamah nasi untuk makan tengah hari apabila terpaksa bergegas menyelamatkan diri sebaik menyedari rumahnya terbakar.

Nenek berkenaan, Rogayah Wahab, yang tinggal di Kampung Air Ganda dekat sini ketika kejadian kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin, baru hendak membuka saji lauk selepas memasukkan nasi ke dalam pinggannya.

Nenek cacat pendengaran itu terpaksa melupakan makan tengah harinya sebaik menyedari ada api marak di bahagian atas di dalam rumah papan yang diduduki bersama anak, menantu dan cucunya.

Anaknya, Abdul Malik Abdullah, 27, ketika ditemui, berkata semasa kejadian, dia, isterinya, Nor Azrita Azmi, 22, dan anak mereka, Mohd Iman Naufal, 2 tahun sedang berada di gelanggang futsal menguruskan minuman untuk pertandingan futsal anjuran Persatuan Belia Bestari.

"Ketika saya sedang mengurus minuman untuk pertandingan itu tiba-tiba isteri saya menelefon saya, di mana dia mendapat panggilan menyuruh saya pulang ke rumah segera.

"Saya bergegas pulang dengan motorsikal dari gelanggang futsal yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah dan apabila sampai kira-kira jam 1.15 petang saya dapati rumah sudah hangus sama sekali," katanya.

Abdul Malik berkata, sebaik melihat kejadian itu dia terus teringatkan nasib ibunya, Rogayah, bagaimanapun benar-benar bersyukur sebaik mengetahui orang yang disayanginya itu sempat menyelamatkan diri ke rumah jiran.

Katanya, menceritakan tentang ibunya sebelum dan ketika kejadian, ibunya mengalami masalah pendengaran selain masalah otak, tetapi masih kuat pergerakannya dan berjaya menyelamatkan diri tanpa bantuan orang lain.

"Walaupun kebakaran itu mengakibatkan mereka tinggal sehelai sepinggang kerana hampir semua barangan berharga musnah, tetapi saya bersyukur kerana ibu saya selamat dan kejadian tidak membabitkan kehilangan jiwa.

"Saya juga bersyukur kerana kereta dan motorsikal Yamaha RG saya tidak terbakar, walaupun sebuah lagi motorsikal jenis Modenas Kriss rentung," katanya.

Abdul Malik berkata, barangan elektrik seperti peti ais, mesin basuh, televisyen serta barangan perabut, barangan kemas dan wang dalam tabung anak di dalam rumah hangus, manakala pelbagai dokumen penting turut musnah sama sekali.

Katanya, mereka empat bercucu yang kini tinggal sehelai sepinggang terpaksa berteduh sementara di bawah khemah yang didirikan penduduk dan mungkin terpaksa menumpang atau menyewa rumah kosong jiran selepas sehari dua ini.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Grik, Che Seman Che Soh, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu jam 1.06 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

"Pasukan kami terdiri daripada tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian dan sampai jam 1.30 petang ketika api sedang marak membakar hampir seluruh rumah terbabit dan hanya sempat mengawal sebahagian kecilnya saja," katanya.

Che Seman berkata, pasukannya tidak dapat sampai dalam masa segera kerana selain jauh, jalan masuk ke kampung itu sempit serta terlalu banyak selekoh selain berbukit-bukit menyebabkan jentera tidak dapat bergerak laju atas sebab keselamatan.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria yang melawat mangsa rumah kebakaran itu, berkata penduduk kampung perlu bersimpati dengan menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Katanya, keluarga berkenaan sudah tentu amat sedih dengan kejadian yang menimpa kerana selain tinggal sehelai sepinggang, mereka kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berteduh di bawah khemah buat sementara waktu.

"Pihak atasan sewajarnya menangani masalah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah itu, terutama menyelesaikan tempat tinggal untuk mereka.

"Penduduk juga sewajarnya berpakat bagaimana mengatasi masalah dihadapi keluarga berkenaan supaya bebanan yang mereka tanggung dapat diringankan," katanya.

Razman berkata, orang ramai (pembaca) boleh memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan kepada keluarga berkenaan dengan menghubungi Abdul Malik di talian 012-5454386 atau menyalurkan terus ke akaun Agro Bank isterinya Nor Aznita bernombor 2007211000065994.

1 ulasan:

Awanama berkata...

http://tehranifaizal.blogspot.com

kwn2 mari kita menghayati ape yg d ceritakan
mungkin sblum ni kita x pernah mengenal @ membaca sejarah ini!!!

d blog kwn kita ni bnyk ceritanya!!

salam