12 Disember 2009

Kelantan sokong PM bantu selesai konflik di selatan Thailand

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Dis: Kelantan menyokong langkah kerajaan Malaysia membantu menyelesaikan konflik yang melanda di selatan Thailand sekarang sehingga telah mengorbankan ribuan nyawa khususnya umat Islam sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penduduk di selatan Thailand sama ada beragama Islam atau sebaliknya perlu dibantu bagi menjamin keselamatan mereka.

“Saya melahirkan rasa syukur dan gembira di atas kesediaan pemimpin mahu menyelesaikan konflik itu.

“Saya setuju Malaysia ingin membantu Thailand menyelesaikan konflik negara itu yang nampaknya tidak selesai. Tak selesai sekiranya masalah bom diselesaikan dengan bom.

“Seperti apa yang berlaku di Israel sejak dahulu hingga sekarang juga tidak pernah selesai,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Menjelang 20 Tahun Kepimpinan Ulama di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini.

Seminar separuh hari itu dianjurkan Pejabat Menteri Besar dan diurusetia Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Lebih 1,000 hadir pada program tersebut termasuk anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Dewan Rakyat, ketua-ketua jabatan negeri, pegawai agensi di bawah kerajaan negeri dan pegawai lantikan politik.

Tiga kertas kerja dibentang pada seminar tersebut termasuk oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Empat pensyarah kanan dari institusi pengajian tinggi tempatan juga dijemput mengulas kertas kerja terbabit.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan ke Narathiwat bersama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan mereka berjumpa dengan masyarakat Islam di tiga wilayah bergolak tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sebelum ini beliau sering menerima jemputan umat Islam dari wilayah berkenaan bagi menyampaikan ceramah agama, namun sekarang tidak dapat lagi ke sana kerana pergolakan yang berlaku.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya, golongan ulama mampu memberi tanggapan positif terhadap amalan poligami kerana mereka mempunyai pengetahuan bagi melaksanakan amalan sunah tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini amalan poligami sering diberi tanggapan negetif kerana pengamalnya tidak melakukan perkara sebagaimana dikehendaki syariat.

“Akibat tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang berpoligami menyebabkan masyarakat memandang serong kepada amalan berkenaan walaupun ia diharuskan oleh Islam.

“Kebanyakan mereka yang berkahwin lebih daripada satu hanya mengikut nafsu semata-mata,” katanya.

Menteri Besar berkata, lelaki yang berpoligami tanpa mengamalkan mengikut ditetapkan syarak sanggup meninggalkan isteri apabila mempunyai anak ramai.

“Untuk memberi imej baru terhadap poligami seharusnya golongan ulama boleh melakukan supaya ia menjadi contoh kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga imej ulama hendaklah menjadi amalan kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga, nelayan, petani, pegawai dan pemimpin.

Beliau juga melahirkan rasa tidak senang melihat mereka yang bergelar ulama mengenakan pakaian barat ketika berkuliah kerana ia tidak sesuai dengan budaya tempatan.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

cikguhussain berkata...

malaysia perlu menuntut patani sebagai wilayah malaysia, apa punya negara dayus.. kalo negara lain dh lama tuntut balik wilayah yg dihuni kaum sendiri zaman berzaman.. xde sebabnya serah pada siam