22 Januari 2010

Pro-Mahasiswa bantah Kuis mansuh pilihan raya

6 Safar 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Kumpulan Pro-Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) Selangor membantah keputusan pihak universiti memansuhkan sesi kempen dan hari pembuangan undi bagi pilihan raya kampus berkenaan kerana kumpulannya telah memenangi 12 daripada 21 kerusi yang dipertandingkan.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Che Abdul Razak berkata, meskipun Pro-Mahasiswa berjaya menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kampus itu, namun mereka tetap mahu sesi kempen berjalan seperti biasa bagi mendapatkan respons masyarakat kampus berhubung kemenangan mereka tanpa bertanding.

"Pro-Mahasiswa bersuara keras bahawa kami ingin mendapat mandat daripada masyarakat kampus dengan menghidupkan minggu kempen.

"Calon yang menang tanpa bertanding akan turun kepada masyarakat kampus pada minggu kempen ini bagi mendapatkan pandangan mereka sama ada bersetuju dengan kemenangan Pro-M tanpa bertanding atau ingin menuntut supaya diadakan juga pilihan raya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Proses penamaan calon semalam, menyaksikan Pro-Mahasiswa berjaya menguasai 12 daripada 21 kerusi yang dipertandingkan dan tambahan satu lagi kerusi apabila pihak universiti membuat keputusan mengisytiharkan Pro-Mahasiswa menang tanpa bertanding bagi satu fakulti yang ditandingi seorang calon individu.

Ia merupakan kemenangan kedua kumpulan Pro-Mahasiswa dalam pilihan raya kampus tahun ini apabila kumpulan itu telahpun berjaya menguasai MPP Universiti Malaysia Terengganu, Ahad lalu.

Ditanya sama ada situasi berkenaan disebabkan adanya unsur boikot daripada pihak lawan, beliau tidak menolak kemungkinan itu.

"Mungkin ada unsur boikot di atas situasi ini kerana calon yang pernah bertembung dengan Pro-Mahasiswa dalam isu yuran Kuis sebelum ini, memang ada perancangan untuk menghantar calon mereka tapi masa pencalonan tidak datang.

"Persepsi kami, mungkin ada unsur boikot daripada pihak mereka," katanya lagi.

Menurut beliau juga, pihak universiti telah membuat keputusan memansuhkan hari kempen dan mengisytiharkan kemenangan kepada Pro-Mahasiswa hari ini.

Sepatutnya kempen bermula hari ini dan hari pengundian berlangsung pada 28 Januari depan.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: