24 April 2010

Tok Kenali

8 Jamadil Awal 1431H.
Naim Qlate

Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhamad Yusof bin Ahmad Al-Kenali dilahirkan pada tahun 1868 di Kubang Kerian, Kota Bahru. Bapanya meninggal dunia ketika Tok Kenali berusia 5 tahun. Beliau mula belajar membaca dan menulis Al-Quran daripada Tok Lih, datuk kandungnya. Pada usia 10 tahun, Tok Kenali berpindah ke Kota Bahru dan mempelajari bahasa Arab daripada seorang guru yang bernama Ismail. Di antara guru-guru Tok Kenali adalah Ahmad bin Mohd Zain bin Mustaffa al-Fatani dan Syeikh Daud Abdullah Fatani.

Tok Kenali mengahwini Mek Nik Haji Salleh Janggut ketika berumur 16 tahun tetapi perkahwinan tersebut hanya bertahan selama setahun. Beliau kemudian mengahwini Hajah Rokiah Haji Mahmud dan telah dikurniakan 4 orang anak, iaitu Hj. Ahmad, Hj. Mohd. Salleh, Haji Mahmud dan Haji Abdullah Zawawi. Pada usia 18 tahun, beliau telah pergi ke Mekah untuk menunaikan haji dan menyambung pengajiannya dalam ajaran Islam dan hanya kembali ke tanah air pada tahun 1908 setelah mencecah usia 40 tahun. Pada mulanya beliau hanya mengajar di rumahnya dan kemudian ke rumah-rumah lain di Kampung Paya, Kelantan.

Beliau juga turut mengajar di Masjid Al-Muhammadi, Kota Bahru. Di antara pelajar-pelajarnya adalah Yaakob Legur, Haji Ali Salehuddin, Haji Othman Jalaluddin Sering, Abdullah Tahir dan Mohammad Undang. Sepanjang kariernya, beliau memegang beberapa jawatan penting seperti Ahli Majlis Ulama Kelantan, Ahli Majlis Agama Islam, Ahli Adat Istiadat Melayu Kelantan, Ketua Pengajian Islam di Kelantan, Ketua Pengarang Majalah Pengasuh serta pengasas Jam’ayatul Al’ Asriyah di Kota Bahru. Karya-karya kesusasteraan Tok Kenali termasuk Kadi Yang Pintar, Helah Yang Baik, Pengetahuan Manusia Terbatas, Kuasailah Pengetahuan Agama dan Politik, Bertanya Yang Tahu, Ilmu Itu Apa Yang Terguris Dalam Hati, Ilmu Yang Tidak Diamalkan, Hanya Untuk Menyedapkan dan Awang Hidup Melintang. Tok Kenali meninggal dunia pada 19 November 1933 pada usia 65 tahun.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allahummaghfir lahu warhamhu

Tanpa Nama berkata...

mari la pakat ngaji pondok. tu la warisan ulama2 kita...kami pihak pondok sangat mengalu2kan kedatangan daripada masyrakat luar....insyaAllah...