20 Mei 2010

Belia perlu berprinsip, dalam memacu kejayaan ummah dan negara

5 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nuruddin Muhammad

Belia perlu berprinsip, dalam memacu kejayaan ummah dan negara Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara, begitulah tema atau moto bagi hari Belia kebangsaan yang disambut pada bulan Mei ini.

Moto ini meletakkan suatu piawaian kepada pembangunan negara iaitu melalui kemampuan belia dan anak muda menjadi kreatif. Kreatif adalah satu sifat yang berasal dari sikap dan pemikiran individu yang mampu meneroka sesuatu yang baru atau alternatif untuk memajukan sesuatu yang diperbuatkan. Dalam aspek kini, belia dikehendaki oleh negara untuk mensasarkan misi negara menjaid sebuah negara berpendapatan tinggi sejajar dengan pembentangan Model Ekonomi Baru bahagian pertama baru –baru ini.

Suatu sorotan penting ialah, apakah bentuk pembangunan negara yang kita kehendaki. Malah adakah pembangunan yag diharapkan adalah daripada aspek madiyyah atau fizikal yang mampu disukat oleh indeks pembangunan insan, KDNK, kadar FDI, KPI dan sebagainya?

Teras berpandangan bahawa golongan pemuda dan anak muda perlu memainkan peranan untuk merealisasikan sebuah pembangunan negara yang menjadikan negara ini taman yang selamat, bebas dari rasuah dan penyelewengan, pembangunan yang mapan, adil dan mampu mengurangkan jurang antara ras dan etnik serta menjadikan negara ini selamat untuk dihuni oleh manusia yang inginkan keselamatan awam yang baik.

Hari ini kita melihat sendiri, anak muda dan belia khususnya kaum muslim yang lahir pada hari ini mengalami krisis jatidiri dan visi hidup. Malah gejala kemelesetan visi hidup ini menyebabkan lunturnya perjuangan sejati manusiawi di muka bumi ini iaitu mempertahnkan yang hak, menolak yang mungkar. Dalam konteks pembangunan dan kejayaan negara, belia memiliki obligasi untuk memastikan keadilan sosial, pembangunan sosial yang beretika, meninggalkan budaya popular yang menyahkan jatidiri ummah yang memperjuangkan kemajuan berlandaskan saranan islam.

Belia yang bervisi serta tegar dengan prinsip moral dan pembangunan yang berlandas moral perlu meneliti semangat anak muda yag diceritakan Surah As Buruj,

“ Demi langit Yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; dan hari (pembalasan) Yang dijanjikan; dan makhluk-makhluk Yang hadir menyaksikan hari itu, serta Segala keadaan Yang disaksikan; - Celakalah kaum Yang menggali parit, (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, sambil mereka melihat apa Yang mereka lakukan kepada orang-orang Yang beriman”.

Kisah pemuda yang menatijahkan kejadian Ashabul Ukhdud dimana golongan beriman yang dibunuh dan dibakar beramai-ramai semata-mata kerana mencontohi seorang anak muda ‘ghulam’ yang beriman dan bervisi dan perjuangan menegak kebenaran.

Malah sikap 7 pemuda Ashabul Kahfi yang sanggup beruzlah dan meninggalkan masyarakat da keluarga semata-mata untuk menjaga iman dan agama menampilkan sikap berprinsip dan bervisi tinggi yang ada pada belia beriman pada zaman dahulu.

Sikap dan minda begini berasal dari asuhan agama dan syariat. Sikap begini mampu menghakiskan golongan belia yang gila dengan budaya ikut-ikutan, gejala budaya popular yang dijual melalui proses Amerikanisasi, sekularisme dan hedonisme tajaan barat.

Malah jika belia yang jauh dari sikap dan perjuangan berprinsip dan bervisi, mereka akan larut dengan bentuk budaya baru yang mementingkan sensasi, maksiat, buaday seronok yang melampau (utopia) yang menerapkan sikap individualisme. Sikap ini menghakiskan nilai kepedulian sosial, budaya berjemaah, bermasyarakat dan berkolaborasi untuk membangunkan negara. Masyarakat yang berpisah antara satu sama lain, chauvisnisme kelas dan struktur sosial berlaku apabila gejala individualisme ini merasuk anak muda dan belia di negara kita. Darihal itu, harapan kita untuk membangunkan negara semata-mata bergantung kepada nilai kreatif belia adalah suatu harapan yang bersifat luaran malah rapuh.

Nilai keutuhan belia yang bersatu atas dasar kebaikan, keadilan dan keinsafan untuk memakmurkan negara ini adalah kontra dengan semangat individualisme yang tersemai di celahan lipatan budaya play station, chatting dan cyber café serta sikap mengenal dunia hanya melalui kaca internet dan televisyen semata-mata.

Kepedulian sosial membayangkan satu semangat dan rasa sanubari yang sensitif terhadap apa jua permasalahan, kemelut dan pergolakan yang berlaku di dalam masyarakat, khususnya masyarakat Islam. Namun rasa kepedulian sosial yang perlu disemai di kalangan belia tidaklah pula terbatas hanya kepada masyarakat Islam kerana ada isu yang berlaku adalah merupakan isu-isu yang turut meliputi masyarakat bukan Islam, termasuklah isu-isu akhlak dan seumpamanya. Kepedulian sosial yang sebenar ialah rasa “empathy” yang lahir setelah berinteraksi dengan kemelut masyarakat dan seterusnya menampilkan penyelesaian yang meyakinkan untuk dilaksanakan. Rasa “emphathy” ini mampu dipunyai oleh mana-mana individu, tanpa mengira latar belakang, kecenderungan politik, agama, kaum dan bangsa mahupun status sosial seseorang. Di atas kemampuan ini, mana-mana individu berhak pula untuk mengetengahkan cadangan penyelesaian. (sumber ABIM)

Masyarakat yang diasuh oleh media hari ini adalah hal engkau kubur engkau, aku tak campur. Ini hanya sekelumit kenyataan dan ungkapan masyarakat hari ini yang terlalu terpisah dari erti berjemaah, berkongsi rasa dan memahami erti bahawa Islam adalah agama bermasyarakat dalam segala aspek.

Menurut Khairul Azhar Bin Idris Fellow IKIM di samping itu, para belia juga harus berperanan sebagai agen yang mampu untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sememangnya mereka amat perlukan bimbingan dari golongan yang lebih dewasa, tetapi pada masa yang sama mereka juga perlu membimbing diri mereka sendiri. Mereka mesti mempunyai inspirasi dalaman diri mereka bahawa mereka adalah sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas diri, rakan, keluarga dan bangsa, serta agama dan negara sendiri. Walaupun bukan semua orang itu boleh menjadi pemimpin kerana batasan masa dan peluang, tetapi dengan latihan dan pendidikan, mereka boleh menjadi pemimpin yang baik. Untuk para belia, antaranya mereka boleh menjadi pemimpin kepada rakan-rakan mereka sebagai pembimbing. Bimbinglah rakan sendiri supaya tidak terus dibelenggu oleh masalah ketagihan dadah yang sudah terlalu kronik, supaya meninggalkan perlumbaan motor haram, perjudian, arak, gangsterism, perlakuan sumbang dan pelbagai lagi.

Hari ini lunturnya nilai perjuangan dalam dada anak muda dan belia menyebabkan mereka memilih untuk berjuang mempertahankan black metal, gejala rempit, jenayah remaja dan gejala sosial lain. Perjuangan perlu diterapkan kepada belia betapa mereka perlu dibangunkan untuk berjuang membangunkan diri mereka dahulu, menyedarkan diri betapa pentingnya ilmu dan pengetahuan, sikap berdikari dan anti kebergantungan semata-mata malah belia perlu memiliki nilai kelebihan kompetetif yang menjadikan mereka unik dan bwrdaya saing di peringkat tempatan dan luar negara umumnya.

Pesanan dari As-Syahid Imam Hasan al-Banna:

“Pemudalah yang selamanya menjadi tulang belakang pembangunan sesuatu umat, menjadi rahsia kekuatan sesuatu gerakan dan pemegang panji-panji sesuatu fahaman.“

Menurut Imam Hasan al-Banna lagi, pembaikan suatu umat tidak akan berlaku tanpa pembaikan individu (anak muda) manakala pembaikan individu tidak akan berlaku tanpa pembaikan jiwa. Pembaikan jiwa tidak pula wujud tanpa pendidikan dan pembinaan.

Media elektronik hari ini juga ada mengadakan iklan bahawa Generasi Hebat yang sebenarnya adalah apabila mereka bersama bergembira dan hanyut dengan artis-artis realiti TV. Semakin banyak hiburan dan konsert, bergembira dan menyokong artis-artis, semakin tinggi nilai hebat pada generasi itu pada pandangan belia hari ini selepaas disogok oleh media dogmatik negara ini.

Hari belia adalah hari menginsafi serta bermuhasabah sejauh mana kemampuan dan persediaan belia dalam negara ini untuk memikul tanggungjawab sosial memakmurkan negara ke arah nilai yang lebih baik.

Tiada ulasan: