20 Mei 2010

Sibu penanda aras PRU 13

5 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 18 Mei: Kemenangan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu pada 16 Mei lalu menjadi penanda aras ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

PAS, katanya meramalkan PRU 13 bakal diadakan paling cepat berlaku pada bulan April 2011 yang disekalikan dengan pilihan raya negeri Sarawak.

“Saya yakin dengan perkembangan yang berlaku ini, pilihan raya Sarawak akan dilewatkan sikit.

“Saya lihat, tidak mustahil PRU ke-13 akan datang pada April 2011 tahun depan dan disekaliguskan dengan pilihan raya di Sarawak. Biasanya, diadakan secara berasingan tetapi barang kali akan disekalikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Pejabat PAS Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, pilihan raya umum di negara ini tidak pernah diadakan kurang daripada tiga tahun yang genap pada Mac 2011.

Jelasnya, teori beliau mengenai PRU 13 diramalkan berlaku serentak dengan pilihan raya di Sarawak bagi mengelakkan tekanan kepada Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, katanya jika diadakan pilihan raya Sarawak sahaja tekanan cukup hebat kepada BN yang bimbang bakal menerima nasib kekalahan seperti di Sibu.

“Pakatan Rakyat boleh menang jika pilihan raya dibuat di Sarawak sahaja berdasarkan perkembangan di Sibu.

“Jika diadakan (pilihan raya) di Sarawak sahaja tekanan cukup hebat dan akan jadi nasib seperti pilihan raya kecil di Sibu, Barisan Nasional akan kalah,” tegasnya.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat mendakwa Sabah dan Sarawak merupakan kubu terakhir kekuatan BN.

Sebab itu, katanya satu strategi baru dirangka agar Sarawak tidak dijadikan tumpuan ‘serangan’ Pakatan Rakyat dalam PRU ke-13 akan datang.

“Jika dilihat sekarang ini keseluruhan kekuatan BN yang ada, maka Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dianggap sebagai kubu terakhir bagi Barisan Nasional.

“Jadi, kubur terakhir ini jika Sabah dan Sarawak ‘roboh’ habis pemerintahan BN di negara ini, insya Allah,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Pakatan Rakyat mula diterima di Sarawak setelah rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan BN.

Menurutnya, PAS, DAP dan Parti Keadian Rakyat (PKR) kini menjalinkan kerjasama yang sangat baik dalam satu kumpulan pakatan.

“Pakatan Rakyat kini mula diterima di Sarawak. Sebab dahulunya, masing-masing bertanding sendiri. DAP tanding sendiri, PAS tanding sendiri, PKR tanding sendiri. Tetapi kali ini kita (PAS) bekerjasama dalam satu kumpulan pakatan (Pakatan Rakyat),” ujarnya.

Katanya, PAS bersedia pada bila-bila masa jika PRU 13 bakal diadakan seawal tahun 2011.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: