01 Jun 2010

Khalid Ibrahim akur teguran perwakilan

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 30 Mei: Biar pun menjadi sasaran kritikan dan teguran perwakilan di Kongres PKR kali ini, namun ia diterima dengan dada terbuka oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Malah disifatkan segala teguran yang dilontarkan perwakilan boleh menjadi panduan kepadanya untuk memacu Selangor ke arah lebih cemerlang.

Ketika menggulung perbahasan petang ini katanya, sepanjang tempoh pentadbirannya sebanyak 105 mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) sentiasa dibaca doa bagi mengelakkan ada Exco negeri terbabit dengan gejala rasuah.

"Pelbagai serangan termasuk isu pasir tetap saya hadapi dengan tabah. Malah kerajaan Selangor masih lagi dapat bertahan bagi melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Khalid juga bersetuju beberapa saranan perwakilan seperti mewujudkan sebuah portfolio penerangan negeri bagi memberi penjelasan kepada rakyat di seluruh pelusuk Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor juga akan membuka ruang kepada golongan muda menyertai pentadbiran negeri termasuk di majlis kerajaan tempatan.

“Kita perlu mencontohi beberapa negara luar yang menggunakan sepenuhnya tenaga muda dalam pentadbiran parti dan negara iaitu mereka di bawah umur 45 tahun,” ujar beliau.

Beliau juga melihat ada ruang untuk melantik pengerusi jawatankuasa kampung bagi menggantikan program Exco Angkat di Dun-dun yang dimenangi pembangkang.

“Saya berharap tidak ada perebutan dan yakin ramai yang boleh buat kerja, jadi janganlah pilih kawan semata-mata bagi kepentingan peribadi kita,” katanya.

Sementara itu Datuk Zaid Ibrahim melahirkan rasa terharu di atas penerimaan dan kepercayaan pemimpin PKR terhadapnya sehingga diberi kepercayaan menjadi calon pada pilihanraya kecil di Hulu Selangor baru-baru ini.

Katanya kekuatan PKR menyebabkan Umno makin gelisah sehingga sanggup melakukan perbuatan tidak bermoral dengan mengumpankan beberapa wakil rakyat parti itu.

“PKR juga perlukan perubahan dalam pelbagai aspek untuk menjadi sebuah parti yang digeruni lawan dan kawan. Resepinya hendaklah sentiasa bersedia menerima teguran dari pelbagai pihak,” ujar beliau.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berharap program penerangan perlu diperhebatkan lagi di kawasan Felda bagi membolehkan masyarakat peneroka mendapat maklumat jelas mengenai politik semasa dan kecemerlangan kerajaan Pakatan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: