01 Jun 2010

Kompleks PAS: Komitmen besar bagi muslimat

17 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh (gambar) berkata, bagi menjayakan projek Kompleks PAS sudah tentu komitmen dan kerjasama daripada muslimat amatlah diperlu dan dialu-alukan.

“Kami merasa amat bersyukur dan gembira di atas pelaksanaan satu lagi perkembangan pesat yang positif yang dapat dijalankan oleh PAS.

“PAS maju setapak lagi dengan izin Allah SWT. Kami juga berdoa semoga hasrat suci ini akan menempah kejayaan dan benar-benar menjadi satu kenyataan serta dipermudahkan dari sebarang halangan oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak seluruh warga muslimat PAS dan para penyokong PAS dari kalangan wanita termasuk Dewan Himpunun Penyokong PAS (DHPP) yang baru mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, saf Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kompleks PAS, Datuk Husam Musa serta seluruh ahli jawatankuasanya di atas kejayaan menggerakkan projek pembangunan tersebut.

Tamabhnya, syabas diucapkan juga dengan kejayaan majlis pecah tanah dan pelancaran dana yang telah disempurnakan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

“Besarlah harapan kita agar kompleks ini akan menjadi markaz pembinaan modal insan bagi jemaah kita serta madrasah yang akan membina hamba-hamba Allah yang cintakan Allah, RasulNya dan perjuangan menegakkan Islam serta menyebarkan kebaktikan sesama insan dan keadilan untuk semua.

“Sempena 50 tahun muslimat menjadi tiang seri perjuangan PAS, kita menyeru semua pihak terutama warga muslimat tampil kehadapan bersama-sama memberikan sumbangan dalam menjayakan projek ini,” ujarnya.

Dalam usaha-usaha pengumpulan dana itu, katanya sudah terbukti sejak dulu bahawa para wanita mampu melaksanakan dengan jayanya.

Tambahnya lagi, di samping para isteri berusaha menambah sumber kewangan keluarga bagi membantu suami mereka beliau yakin muslimat akan bersungguh-sungguh melaksanakan sebarang aktiviti-aktiviti yang selaras dengan Islam bagi mengutip sumbangan dan mengumpul dana untuk maksud itu.

“Dengan kesungguhan muslimat menjayakan komitmen ini kita juga berharap projek ini akan dapat disiapkan segera dalam masa yang tidak panjang,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: