01 Jun 2010

Mantap ekonomi sebelum melangkah ke Putrajaya

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 30 Mei: Naib Presiden PKR, Lee Boon Chai memberi ingatan Pakatan Rakyat tidak boleh mengharapkan isu dalaman Umno sahaja untuk melangkah ke Putrajaya tanpa ada pelan ekonomi yang mantap.

Beliau berkata, sebelum ini banyak pihak bercakap untuk melangkah ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke 13 sedangkan pelan ekonomi berteraskan keadilan belum dikemukakan kepada rakyat.

“Urus tadbir yang baik perlu dipertingkatkan. Saya percaya pemimpin kerajaan negeri biar pun menghadapi tekanan namun prinsip urus tadbir berteras kebajikan semakin menjadi kenyataan,” ujarnya ketika menggulung perbahasan sempena Kongres PKR petang ini.

Kata beliau biar pun Menteri Besar Selangor dilantik oleh parti, namun suara dari rakyat perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan rakyat terus merajuk.

“Hulu Selangor walaupun tidak menang, tapi PKR telah menunjukkan kejayaan dalam menghadapi persaingan sengit pihak lawan.

“Seperti kata perdana menteri you help me, me help you. Inilah juga yang menjadi syarat kerajaan BN sehingga memberi lesen judi pada Berjaya Group. Ini perlu didedahkan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau juga turut mengingatkan budaya tunjuk muka, show face hanya kepada Ketua Umum perlu dielakkan sekiranya ingin memajukan parti dan menjadi tonggak dalam perjuangan Pakatan.

Jalan ke Putrajaya

Seorang lagi Naib Presiden, Sivarasa melahirkan rasa yakin Pakatan Rakyat akan sampai ke Putrajaya mengikut susun atur perjalanan yang berlaku akhir-akhir ini.

Kata beliau contohnya pilihan raya kecil kecil Hulu Selangor dan Sibu merupakan petunjuk Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat.

“Sibu aspirasi dan petunjuk baru angin perubahan mula meniup dengan sokongan hingga 70 peratus masyarakat terhadap Pakatan," katanya.

Beliau berkata, biar pun PKR kecewa di Hulu Selangor, namun terpaka akur kerana BN banyak melaburkan duit untuk menang.

Oleh itu katanya, biar pun tidak menang, namun kerajaan Selangor perlu terus membantu masyarakat di Hulu Selangor teruatamanya dari aspek kemudahan asas yang masih ketinggalan.

“Program kebajikan juga perlu dipertingkat. Kita kena sedar dan faham kawasan estet telah memberi satu mesej yang jelas kenapa kita ditolak. Oleh itu program kebajikan secara berterusan kena diteruskan.

“Ia tanggungjawab bersama dan bukannya kerajaan Selangor sahaja. Kita kena terimalah kenyataan kesilapan yang berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau turut berharap program kebajikan diteruskan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Negara muflis

Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR memberitahu pemimpin Umno sudah tidak boleh diharapkan lagi kerana mereka sedang mengundang negara ke arah hampir muflis.

Menurutnya kerajaan Pakatan rakyat tidak boleh melakukan sama seperti pemimpin kerajaan BN terutama di zaman Tun Dr Mahathir Mohamed yang hanya menjaga kronisme dan kelompok kecil pemimpin parti sahaja.

“Mahathir hanya menyalahkan konspirator barat apabila berlaku kegawatan ekonomi negara, walhal beliau gagal mentadbir negara. Jadi kita tidak mahu peristiwa seperti itu berulang kembali di negeri Pakatan," ujarnya

Azmin yang juga anggota parlimen Gombak mencadangkan ketua-ketua jabatan dari negeri-negeri Pakatan Rakyat hadir pada kongres parti pada masa akan datang kerana pelbagai masalah rakyat dibincangkan.

Pada masa yang sama beliau turut menempelak pengkhianat parti khususnya jaguh lompat supaya jangan lagi mengaku sebagai anak didik Anwar Ibrahim kerana mereka hanya sekejap sahaja bersama pemimpin utama PKR itu.

“Sedangkan lebih ramai lagi yang berada dengan Anwar Ibrahim sampai berbelas tahun terus kekal sehingga ke hari ini. Inilah sebenarnya anak didik Anwar yang kekal istiqomah dalam perjuangan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: