08 Jun 2010

Jawatankuasa Disiplin dibincang pada Muktamar PAS

24 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR,7 Jun: Isu keanggotaan dalam Jawatankuasa Disiplin PAS antara yang akan dibincangkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu yang bermula Jumaat ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam satu temubual bersama Harakahdaily berkata, perkara tersebut telah diusulkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk dibahaskan para perwakilan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden PAS pernah mengutarakan cadangan agar keanggotaan jawatankuasa itu dipilih dari kalangan bukan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Ianya bagi mengelak sebarang tanggapan negatif semua pihak dan mahu jawatankuasa bukan sahaja membuat hukuman adil, tapi dilihat adil.

Selain isu jawatankuasa disiplin, isu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) turut akan diperbahaskan merangkumi aspek kedudukan dan ruang lingkup anggota dewan itu di dalam parti.

Isu-isu lain yang turut sama akan menghangatkan perbahasan termasuk isu perkhidmatan firma perunding APCO Worlwide dijangka turut akan menjadi perbahasan hangat perwakilan muktamar.

Selain APCO, isu kelulusan lesen judi sempena bola sepak Piala Dunia 2010 juga dikatakan bakal menjadi topik hangat perbahasan.

Ianya ekoran kerahan besar-besaran rakyat oleh Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) untuk Himpunan 100,000 Rakyat pada 3 Julai ini yang menuntut penyertaan seluruh ahli dan penyokong PAS.

Manakala isu lompat parti pula menuntut satu resolusi konkrit dari PAS pada muktamar kali ini berdepan pilihan raya umum PRU ke-13 nanti.

Untuk PRU ke-13, kata Ustaz Idris, muktamar kali ini akan memberi fokus ke arah persediaan awal pilihan raya dengan melihat aspek yang perlu diperkemaskan sebelum menjelang pilihan raya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: