24 September 2010

Risalah

14 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Pimpinan dan ahli PAS Kawasan Lenggong menyambut hari raya Aidilfitri ke-9 dengan mengedar risalah membongkar pelbagai penyelewengan Umno (Barisan Nasional) kepada pengunjung-pengunjung pasar hari di sini.

Program sepagi dengan kerjasama pimpinan dan ahli DAP Lenggong itu diketuai Yang DiPertua PAS kawasan, Haji Razman Zakaria dengan dibantu puluhan anggota Jabatan (Unit) Amal Malaysia yang berbaju merah.

Ketua Penerangan PAS kawasan, Saudara Saidi Sobri, ketika ditemui, berkata program bermula jam 9 pagi itu adalah antara aktiviti sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri YDP (PAS) Lenggong yang dihadiri hampir 6,000 pengunjung.

Katanya, pengedaran risalah berjalan lancar dengan kerjasama puluhan pimpinan dan ahli PAS dan DAP kawasan, di mana ribuan risalah berjaya disampaikan kepada orang ramai yang berada di Pekan Sabtu di sini 18 September lalu.

"Kita lihat penerimaan masyarakat sangat memberangsangkan apabila ribuan risalah yang kita cetak berjaya disampaikan, manakala orang ramai kelihatan menerimanya dengan baik.

"Selain kepada pengunjung-pengunjung kita juga berjaya menyampaikan risalah kepada pemandu-pemandu di pekan selain kepada peniaga-peniaga, terutama peniaga Cina," katanya.

Saidi berkata, risalah kepada peniaga-peniaga Cina disampaikan sendiri oleh pimpinan DAP negeri yang hadir kira-kira jam 11 pagi, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, ADUN Canning Darden, Chang Meng Kai dan juga Bekas Speaker negeri, V Sivakumar dengan kerjasama Razman sendiri.

Katanya, program itu bagaimanapun tidak dapat disertai pimpinan dan ahli Parti KeADILan Rakyat (PKR) kerana tarikh yang sama ada pemilihan pimpinan parti berkenaan.

Program sepagi itu berakhir jam 12 tengahari, manakala bermula jam 1 hingga 6 petang jamuan raya Aidilfitri YDP (PAS) Lenggong diadakan di Dataran Jambatan Kampung Luat dengan kehadiran ramai pimpinan PAS negeri, termasuk Pesuruh Jaya negeri, Ustaz Abu Bakar Husain dan Timbalannya, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tiada ulasan: