22 Disember 2010

Jana kekayaan dari bumi hijau

16 Muharam 1432H
Oleh : Ismail Hashim

SHAH ALAM, 21 Dis: Buat pertama kali, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPN) khususnya di peringkat Negeri Selangor yang mana perasmiannya telah disempurnakan oleh pihak istana.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian HPN oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj petang tadi di pekarangan Stadium Malawati, dekat sini.

Menurutnya, sempena HPN kali ini, kerajaan negeri telah memberikan pengiktirafan kepada 23 petani, penternak dan nelayan dalam berbagai kategori dan juga kepada agensi yang gigih membantu sektor pertanian.

“Tema sambutan kali ini adalah Inovasi Pertanian Pemangkin Pertumbuhan yang mana era sebelum ini mengutamakan pengeluaran bagi memenuhi keperluan sara hidup, menjual baki, hasilnya seorang petani itu terbelenggu di dalam arus kemiskinan.

“Masyarakat tani perlu menganggap mencari pendapatan dari bumi hijau bukan sekadar satu pekerjaan tetapi satu perniagaan yang berupaya menjana kekayaan yang melimpah ruah dan bukan sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang,” tegasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri telah membuktikan dengan pemantauan berterusan dan melalui kerja bersistem, ada dalam kalangan pesawah yang mendapat 14 tan per hektar semusim dan terdapat pesawah memperolehi pendapatan RM32 ribu sebulan.

Untuk penternak pula, jelasnya, kerajaan negeri mengenalpasti lokasi bagi penempatan semula 39 penternak tenusu dalam kawasan PBT dan nelayan pula, seluas 9,200 hektar di kawasan Pantai Klang hingga Sabak Bernam sesuai untuk kebun kerang.

Yaakob juga menyatakan, pada tahun ini, HPN diadakan serentak dengan Selangor Ria sebagai showcase jualan produk-produk yang dikeluar dan dipasarkan di dalam Negeri Selangor yang meliputi keseluruhan jenis hasil pertanian dan produk IKS.

Katanya pada 2009, seramai 520,000 pengunjung telah membanjiri Selangor Ria dengan jualan tunai sebanyak RM2.1 juta dan nilai kontrak sebanyak RM4.2 juta bererti jumlah seluruhnya melebihi RM6.2 juta.

Dengan semangat kusahawanan dan budaya kerja yang mengutamakan pembahruan dan inovasi serta kerjasama pintar di kalangan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, Usahawan Tani, tegasnya, bakal mencetuskan transformasi besar untuk memajukan bidang pengeluaran makanan di dalam sektor pertanian negara ini.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: