04 Januari 2011

PAS Perak nafi wujud kem

29 Muharam 1432H.

IPOH - Pas Perak tidak pernah berpecah, malah kem yang didakwa kononnya wujud itu adalah fitnah semata-mata, kata Setiausaha Pas Negeri, Misbahul Munir Masduki.

Beliau berkata, tuduhan itu hanyalah cubaan untuk memecahbelahkan Pas negeri itu.

Menurutnya, kepimpinan dan pengaruh Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebenarnya digeruni oleh pimpinan UMNO sehingga mereka terpaksa mengada-adakan cerita kononnya Pas Negeri sedang bergolak.

“UMNO sebenarnya bermasalah dan berpecah. Saya tahu ada Ketua-ketua UMNO Bahagian tertentu di Perak ini tidak setuju dengan kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Itulah yang cuba disembunyikan mereka kerana tidak mahu kelemahan itu diketahui umum,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Misbahul Munir berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO Negeri, Maslin Sham Razman terdapat dua kem di dalam Pas iaitu pro-DAP yang diketuai Mohammad Nizar dan kem yang menentang.

Beliau berkata, ada rakan-rakan UMNO yang ditemuinya mengakui perkara itu tetapi tidak berani untuk bersuara kerana bimbang kepentingan mereka akan ditarik balik.

Menurut beliau, tuduhan mereka terhadap Pas adalah berniat jahat dan hasrat mereka untuk melihat pemimpin Pas bergaduh sesama sendiri tidak akan berjaya.

Mengenai perancangan Pas Perak untuk tahun 2011, beliau berkata, Pas Negeri sedang menumpukan usaha memantapkan kawasan-kawasan yang ditandingi Pas pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Kita mahu pastikan kesemua 20 kerusi yang diwakili Pas di Perak akan dimenangi pada PRU ke 13 nanti,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: