04 Januari 2011

Persoal wanita bersalin: Pemuda Gerakan didesak pohon maaf

29 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, Jan 3: Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang melemparkan satu soalan yang bersifat diskriminasi terhadap semua warga wanita apabila beliau mempersoalkan kemampuan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh untuk berkhidmat ketika cuti bersalinnya.

Setelah mendapat berita bahawa Hannah telah masuk bulan ke empat menggandung anak pertamanya, Tan melemparkan satu soalan berat di Twitter, di mana beliau bertanya sama ada seseorang itu akan memilih Jessica Lai, pemimpin Beliawanis MCA atau Hannah yang akan cuti bersalin tidak berapa lama lagi.

“Saya membayangkan bahawa saudari mungkin tidak dapat untuk berkhidmat di kawasan saudari ketika cuti bersalin, di mana saudara berhak. Walau macammanapun, tahniah atas kehadiran anak saudari,” jawab Tan ketika disoal Hannah mengenai maksud sebenar kenyataannya.

Namun, jawapan Tan tidak disenangi para pengikut Twitternya sendiri, dengan ada yang memberikan komen bahawa Tan telah melampaui batas mempersoalkan kemampuan wanita ketika cuti bersalin.

“Salam Tuan Tan, saya rasa saudara telah melampaui batas. Kita hanya manusia dan hanya boleh melakukan yang terbaik,” kata Benny Paul dalam mempertahankan Hannah.

“Mungkin semua pemimpin yang dipilih tidak boleh mengandung untuk 5 tahun,” kritik satu lagi pengikut Tan yang bernama Hoong Ling.

Akibat desakan bertubi-tubi, Tan akhirnya terpaksa mengeluarkan satu kenyataan penafian.

“Saya tak pernah kata seorang pemimpin yang dipilih tidak boleh mengandung atau mengambil cuti bersalin. Saya hanya memberikan fakta kepada rakyat untuk memilih. Adakah salah untuk memberitahu bahawa seseorang akan pergi cuti bersalin?

"Hanya persepsi anda terhadap kenyataan saya yang membingungkan,” jelas Tan.

Kenyataan Tan itu dibalas dengan penuh keyakinan oleh Hannah yang mengatakan bahawa beliau boleh bertugas jauh lebih rajin daripada sesetengah Ahli Parlimen Barisan Nasional walaupun beliau sedang cuti bersalin.

“Saya berharap orang macam saudara tidak akan menjadi menteri satu hari nanti,” bidas Hannah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut mengikuti perkembangan di Twitter tersebut, hari ini mengeluarkan satu kenyataan menuntut Tan untuk meminta maaf kepada Hannah dan kaum hawa atas kenyataan sinis dan merendahkan martabatkan wanita.

“Beliau kena ingat kaum hawa merangkumi 49 peratus penduduk Malaysia. Jika benar beliau berhasrat menjadi seorang pemimpin yang dipilih rakyat, beliau mesti mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada konsistuen lelaki dan perempuan tanpa prejudis.

"Saya menyeru Tan untuk meminta maaf pada Hannah dan semua kaum hawa atas kejahilan beliau dan mendidik dirinya tentang kesamaan gender,” bidas Teresa.

Tiada ulasan: