23 Februari 2011

Cubaan penulis upahan UMNO pecahbelah PR

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Sekali lagi penulis upahan Umno yang dibayar gajinya melalui Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) Kementerian Penerangan Malaysia, Zainal Epi cuba memecahkan PAS dan PKR.

Kali ini dengan menulis berita kononnya PAS tidak akan bertanding di Kerdau, Pahang dan akan memberikan laluan kepada PKR.

Kononnya ada pemikiran PAS untuk memboikot pilihan raya kecil itu. Baca "PAS may give way to PKR in Kerdau" (PAS mungkin bagi jalan kepada PKR di Kerdau) dalam Free Malaysian Today.

Pada 19 Februari, beliau juga menulis dengan nada yang sama iaitu melagakan PAS dan PKR melalui tulisannya bertajuk "On the horns of a dilemma".

Dalam tulisan ini, wartawan berpengalaman tetapi diketepikan selepas akhbarnya, The Malay Mail diambil alih oleh satu pihak lain, mengatakan PAS akan memberikan tumpuan kepada Kerdau berbanding dengan Merlimau kerana peluangnya lebih besar.

Namun, tulis Zainal, PAS terpaksa berebut dengan PKR kerana parti itu juga mahu bertanding dalam pilihan raya kecil ini selepas terlepas Merlimau.

Sebelum ini, pada 15 Februari, beliau juga membuat berita yang senada iaitu 'PAS may stay out of Kerdau fray" (PAS mungkin akan tidak menyertai pertandingan di Kerdau).

Penulis ini membayangkan, PAS mungkin tidak menyertai pilihanraya ini jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya serentak dengan Merlimau.

Pada 12 Februari, Zainal juga menulis dengan nada yang sama

Dalam tulisan ini, beliau menggambarkan PKR pada awalnya mahu bertanding kerusi ini tetapi setelah membuat kajian lapangan, mereka mendapati akan kalah lalu membiarkan PAS bertanding di situ.

Semua tulisan ini membayangkan agenda sebenar penulis ini. Mungkin beliau berpengalaman sebagai wartawan tetapi nada tulisan beliau kini jauh benar dengan tulisan ketika beliau berada di zaman kegemilangannya dahulu.

Ketika bersama The Star, Zainal antara penulis yang disegani. Begitu juga ketika beliau bersama memulakan akhbar Harian Watan bersama bekas pengarang Harakah, Zin Mahmud.

Ketika itu, tulisan Zainal disegani oleh rakan dan musuh politik BN. Ini kerana, tulisan itu penuh dengan isi dan laporannya menepati apa yang berlaku di lapangan.

Namun, sejak kebelakangan ini, tulisan beliau umpama 'armchair reporter' sahaja. Duduk depan komputer, ketuk dan terhasillah tulisan 'maha hebat' itu.

Lihat sahaja ulasan beliau tentang Kerdau. Tidak berbangkit langsung PAS mahu melepaskan kerusi Kerdau itu kerana ia adalah kubu PAS. Mungkin PAS Pahang sekarang tidak kuat tetapi kerusi ini adalah antara yang terbaik di Pahang.

Mungkin ada faktor Suhaimi Said di kerusi ini yang menyebabkan ada yang terfikir PAS perlu memberikan peluang kepada PKR untuk bertanding. Namun, dari segi realitinya tidak begitu. PAS Pahang atau PAS Pusat sesekali tidak akan terfikir untuk menyerahkan kerusi itu kepada pihak lain.

Jadi dari mana sebenarnya maklumat kononnya PAS akan melepaskan kerusi itu. Mungkin dari Umno kerana bimbang untuk bertembung dengan PAS di situ tambah-tambah lagi apabila PAS Pahang kebelakangan ini sangat meningkat semangat juang mereka.- Cicit Mat Kilau

Tiada ulasan: