24 Februari 2011

Kerajaan Negeri PR Setuju Bentuk Mekanisme Bersama Sebar Berita

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -


KELANA JAYA 24 FEB: Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengumumkan akan membentuk satu mekanisme bersama bagi menyalurkan berita berkenaan dasar-dasar positif yang dilaksanakan oleh kerajaan PR di negeri-negeri tersebut.

Dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khaid Ibrahim berkata mekanisme ini juga akan digunakan bagi menyalurkan informasi kepada media massa yang jelas tidak mendapat maklumat yang jitu berkenaan perlaksanaan program-program berbentuk kerakyatan.

"Kerajaan PR juga bersetuju bagi membentuk satu mekanisme bersama untuk menyalurkan berita antara negeri-negeri PR disamping memberikan penerangan kepada media massa berkenaan dasar positif yang diamalkan di negeri-negeri PR," jelas beliau.

Beliau yang berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat antara menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri PR turut menyatakan kerajaan-kerajaan negeri PR juga telah bersetuju meneruskan komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepertimana telah dipersetujui dalam Resolusi Shah Alam yang dimeterai semasa Konvensyen Menteri Besar dan Ketua Menteri PR lalu.

Dalam memastikan perjalanan lancar program-program PR, kesemua kerajaan negeri PR bersetuju untuk mengekalkan sekretariat bersama dengan memberikan penekanan terhadap lima sektor iaitu pelaburan, kerajaan tempatan, pengurusan, pengurusan sumber air serta pertanian dan pelancongan.

Khalid seterusnya menyatakan kerajaan PR akan memanfaatkan sumbangan dana RM10 juta oleh kerajaan PR Selangor bagi meningkatkan lagi jumlah pelaburan di negeri-negeri di bawah PR berbanding jumlah pelaburan yang lemah di negeri-negeri yang berada di bawah kawalan Umno-BN.

"Kita juga mengiktiraf usaha cemerlang yang dibuat oleh kesemua negeri PR selama ini sehingga mencatat kadar tertinggi pelabur asing," kata beliau lagi.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: