21 Februari 2011

Penyelia spa didenda RM8,000 rasuah pegawai JAIS

18 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang penyelia spa dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tahun lalu.

Hakim M.Bakri Abdul Majid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ng Heng Goon, 27, mengaku memberi RM3,000 kepada Sharom Maarof yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan JAIS sebagai balasan supaya membebaskan seorang pekerja wanita bawah seliaannya, Juliana Mazlan, yang ditangkap berkhalwat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Dia melakukan kesalahan itu di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Menara Selatan, Seksyen 5 di sini pada 11.40 malam, 15 Mei tahun lalu. Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun dia mengaku bersalah hari ini selepas ditawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ng Siew Wee manakala tertuduh diwakili peguam Adzly Manas. - BERNAMA

1 ulasan:

Achadan berkata...

Nice post...