23 Mac 2011

Maut dilanggar lori

18 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PASIR PUTEH – Seorang pemuda, Mohd Farid Che Nordin,27, ditemui maut di Kilometer 3.3Jalan Sri Aman ke lampu isyarat Kemunting, di sini dipercayai dilanggar oleh sebuah lori ketika melintas jalan jam 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, ketika kejadian, lori yang dipandu oleh pemuda berumur 30an itu dari arah Jerteh ke Kota Bharu.

“Mengikut pemandu tersebut, ketika itu dia melihat Mohd Farid berdiri di bahu jalan yang lurus itu dan tiba-tiba melintas sehingga berlakunya pelanggaran tersebut,’’ katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pemandu yang berasal dari Kampung Beris itu datang membuat aduan ke Balai Polis Pasir Puteh selepas sahaja kejadian tersebut berlaku.

Mohd Kamal berkata, manakala Mohd Farid yang berasal dari Kampung Surau meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Kanun Keseksaan.

“Kepada orang ramai yang ada menyaksikan kejadian itu diharap dapat tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan polis ini,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Farid, Khadijah Abdul Rahman,58, berkata, kebiasaannya setiap pagi, anak ketiga daripada enam adik beradik itu akan mengikutnya ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

“Tetapi hari ini dia tidak ikut serta kerana pagi sebelum kejadian, makcik sempat tengok dia berjaga malam menunaikan solat Tahajud serta berzikir dan terlelap seketika, sebelum makcik kejutkan dia untuk ke masjid.

“Mohd Farid sudah tiga bulan berada di kampung apabila dia berhenti kerja di Kuala Lumpur kerana mengalami masalah rumah tangga,’’ katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Khadijah berkata, anaknya itu mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 bulan dan kini berada bersama bekas isterinya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, berita kematian Mohd Farid diketahuinya sebaik sahaja dihubungi oleh jiran tetangga.

Menurutnya, dia yang ketika itu masih berada di masjid terus bergegas ke tempat kejadian bersama suaminya, Che Nordin Hassan, 58.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: