21 Mac 2011

Dewan Undangan Negeri Sarawak Dibubar

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada Isnin untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.

"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media di bangunan DUN baru di sini.

Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang Selasa.

"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok," katanya lagi.

Asfia berkata selepas penyerahan pengisytiharan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada Sabtu lepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak dibubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lepas.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

DUN Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.

mStar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

seronok la puak puak2 UMNO..masa ni la nak tutuh buat duit..bila lagi.
Kalau dok dalam UMNO tak reti lagi nak ambik peluang buat duit waktu la ni..tu kita panggil penyokong UMNO yang "BANGANG DAN BUTA PERUT"