21 Mac 2011

PR janji kejutan di Sarawak

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Pakatan Rakyat (PR) menjanjikan kejutan pada Pilihan Raya Sarawak Ke-10 termasuk meningkatkan bayaran tuntutan royalti petroleum sekiranya diberi peluang memerintah negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa berkata, sudah masanya rakyat Sarawak menerima parti selain Barisan Nasional (BN) supaya boleh dipanjangkan tuntutan royalti petroleum dan dalam masa sama, mengagihkan kekayaan negeri dengan lebih saksama kepada rakyat.

Menurutnya, rakyat Sarawak kini sudah bersedia untuk memilih parti selain BN sekali gus melakukan kejutan memandangkan mereka sudah mendapat banyak maklumat yang dahulunya tidak sampai kepada mereka.

“Sekarang mereka sudah ada maklumat bahawa kekayaan Sarawak dimonopoli pihak tertentu sedangkan rakyat Sarawak masih kekal seperti biasa. Kemudahan dan infrastruktur di luar bandar, bahkan tanah mereka, bekalan air sangat mendukacitakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-15 Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, hari ini, jurang rakyat Sarawak sangat ketara, yang miskin terlalu miskin.

“Masih ramai rakyat Sarawak miskin, dan kita bercadang untuk meningkatkan bayaran royalti petroleum daripada lima peratus kepada 20 peratus kerana rakyat tempatan harus menikmati hasil daripada petroleum tersebut lebih baik daripada pihak lain,” katanya.

Menjelaskan soal pengesahan Abdul Taib akan bertanding tetapi akan berundur daripada kerusi Ketua Menteri tidak lama lagi, Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan menyatakan kehairanan bagaimana BN masih mengizinkan beliau bertanding.

“Saya hairan dia dah berkhidmat begitu lama. Ini bermakna BN tidak ada tokoh,” katanya.

Husam berkata, Pas akan memberikan tumpuan kepada kerusi yang ditandingi supaya mempunyai kerusi pertama di Sarawak.

“Penting untuk menikmati kemenangan pertama bagi membolehkan perjuangan rakyat Sarawak diangkat dengan lebih baik, terutama dalam isu royalti petroleum,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: