31 Mac 2011

Kira-Kira 3,000 Mangsa Banjir Kini Berada Di Pusat Pemindahan Di Perlis

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KANGAR: Kira-kira 3,000 mangsa banjir dari 729 keluarga dipindahkan ke 31 pusat pemindahan banjir di Perlis sehingga pukul 10 malam Rabu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata daripada jumlah itu, seramai 2,147 orang dari 546 keluarga ialah di Kangar manakala yang lain dari Padang Besar dan Arau.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid berkata banjir yang berlaku sejak Isnin lepas itu adalah akibat taburan hujan yang tinggi dan bukannya berpunca dari empangan Timah Tasoh.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Ir Nishad Mohamad berkata empangan Timah Tasoh terpaksa melepaskan air yang berlebihan apabila kadar taburan hujan begitu tinggi.

"Air empangan Timah Tasoh dialirkan melalui Sungai Perlis ke laut dan tidak mungkin ia menyebabkan banjir," katanya.

Sementara itu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Abdul Rashid berangkat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan banjir, antaranya Sekolah Kebangsaan Sena dan Sekolah Kebangsaan Behor Empiang. - BERNAMA

Tiada ulasan: