31 Mac 2011

Perompak rempuh lori samun bahan RM1 juta

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Sekumpulan perompak merempuh sebuah lori syarikat keselamatan yang membawa bahan semikonduktor bernilai lebih RM1 juta sebelum melarikannya di
Lorong Senawang 2/3 Kawasan Perindustrian Senawang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, seorang perompak memandu sebuah treler curi dan melanggar bahagian depan lori terbabit menyebabkannya berhenti di tengah jalan.

“Pada masa sama, empat lagi rakannya bersenjatakan parang yang menaiki kereta datang dari belakang lori berkenaan sebelum mengarahkan tiga pengawal keselamatan menyerah diri.

“Mereka tidak bertopeng kemudian memecahkan pintu belakang lori berkenaan dan memindahkan barangan dibawa ke dalam kereta sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, pengawal keselamatan yang memandu lori cedera ringan akibat rempuhan dan dua lagi tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Berita Harian/-



Tiada ulasan: