31 Mac 2011

Presiden loji nuklear masuk hospital

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

LOJI Fukushima Dai-ichi di Okumamachi, Fukushima musnah teruk akibat tsunami 11 Mac lalu.

Krisis terbaru menimpa TEPCO ketika bertungkus lumus menstabilkan loji jana kuasa

TOKYO: Bacaan tahap radiasi dalam air laut berhampiran loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, mencatatkan paras tertinggi semalam ketika presiden syarikat pengendali loji itu dimasukkan ke hospital.

Presiden Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Masataka Shimizu, tidak kelihatan hampir dua minggu selepas muncul dalam satu sidang media di sini, dua hari selepas gempa bumi yang merosakkan sistem penyejukan loji Fukushima Dai-ichi dan menyebabkan kebocoran radiasi.

Shimizu, 66, dibawa ke sebuah hospital di sini, kelmarin selepas mengadu pening dan mengalami tekanan darah tinggi, kata jurucakap TEPCO, Naoki Tsunoda.

Sebelum ini terdapat banyak spekulasi berhubung kesihatan Shimizu sejak beliau menghilangkan diri dari pandangan umum, dengan Naib Presiden syarikat Sakae Muto muncul menggantikannya dalam taklimat berita.

Pihak berkuasa TEPCO sebelum ini tidak banyak menjawab soalan berhubung kesihatan Shimizu, hanya menyatakan beliau sedang ‘berehat’ di ibu pejabat syarikat.

Ia adalah krisis terbaru yang menimpa TEPCO yang masih bertungkus lumus menstabilkan loji jana kuasa yang terlebih panas dan membendung radiasi menyusup dari kompleks loji ke laut dan tanah berhampiran.

Gempa dengan magnitud 9.0 menghasilkan tsunami yang memutuskan bekalan elektrik dan sistem sokongan penting untuk memastikan suhu turun di dalam loji reaktor.

Penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji dipindahkan dua minggu lalu, sementara mereka yang tinggal 30 kilometer digesa berpindah secara sukarela sejak beberapa hari lalu.

Paras radiasi meningkat di sekitar loji, sayuran, susu mentah dan air.
Minggu lalu, air paip sejauh Tokyo ini terletak 220 kilometer ke selatan dikesan mengandungi paras iodin-131 penyebab kanser dianggap tidak selamat untuk bayi.

Semalam, pegawai keselamatan nuklear berkata air laut di luar loji didapati mengandungi 3,335 kali paras biasa iodin radioaktif iaitu kadar tertinggi setakat ini dan ia satu tanda bahawa lebih banyak air tercemar memasuki laut.

Jumlah iodin-131 ditemui di tepi pantai 300 meter selatan loji itu tidak memberi satu ancaman segera kesihatan manusia namun ia satu ‘kebimbangan’, kata pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Hidehiko Nishiyama, semalam.

Katanya kegiatan menangkap ikan tidak berlaku di kawasan itu.

“Kami akan menamatkan punca dan melakukan sedaya upaya untuk menghalangnya daripada terus meningkat,” katanya.

Nishiyama sebelum ini mengakui sesetengah air tercemar dari loji itu menyusup ke dalam laut, namun tidak jelas bahagian loji mana yang bocor.

Plutonium yang amat toksik turut ditemui menyusup ke dalam tanah di luar loji, kata TEPCO.

Pegawai keselamatan berkata, jumlah itu tidak memberi risiko kepada manusia, namun beberapa penemuan menyokong perasaan curiga bahawa air radioaktif berbahaya bocor dari rod bahan api nuklear yang rosak. – AP

Tiada ulasan: