31 Mac 2011

Penduduk bantah projek loji radioaktif di Gebeng

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif tanah jarang (rare earth) dekat Kuantan yang bernilai hampir RM700 juta, menerima bantahan daripada segelintir penduduk yang khuatir projek berkenaan mengancam kesihatan mereka.

Wakil kumpulan itu, Vincent Jiam berkata, kerajaan perlu memandang serius projek itu kerana kebanyakan negara menolak untuk membina loji pemprosesan logam radioaktif kerana khuatir berlakunya pencemaran sisa bahan berkenaan.

“Kami mewakili rakyat yang inginkan keadilan dan perhatian kerajaan kerana tidak mahu sejarah Bukit Merah di Perak berulang.

“Tindakan ini bukan mewakili parti politik. Kami harap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima memorandum ini dan putuskan supaya projek itu dihentikan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, jika syarikat terbabit masih meneruskan projek berkenaan walaupun sisa-sia yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada pengilangan bahan mentah daripada loji itu, penduduk tetap bimbang risikonya.

“Semua ahli politik cuba tanggalkan jawatan sebentar dengan meletakkan diri sebagai ibu bapa dan mengenang masa depan generasi muda jika projek ini masih diteruskan.

“Saya berjumpa dengan beberapa pegawai kerajaan sebentar tadi (semalam) dan mereka persoalkan saya mengapa menentang projek sebesar ini. Kami hanya berharap mereka dapat membantu supaya menghentikan syarikat itu,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan menghantar memorandum tersebut kepada Perdana Menteri.

“Saya terharu perjuangan saya sejak 2008 akhirnya didengari oleh penduduk dan berharap ia dapat dihentikan segera,” katanya.

Kira-kira jam 9.20 pagi semalam, sekumpulan 100 penyokong berhimpun di luar bangunan Parlimen mengadakan protes menentang projek berkenaan.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: