29 April 2011

Had Umur Persaraan Sektor Swasta Dicadangkan 58 Tahun

25 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Had Umur Persaraan Sektor Swasta Dicadangkan 58 Tahun
PUTRAJAYA: Had umur persaraan bagi sektor swasta mungkin dilanjutkan kepada 58 tahun selaras dengan umur persaraan sektor awam, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa ini, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan mengambil masa sebelum dimuktamadkan.

"Kita dalam proses mengadakan perbincangan dengan semua 'stakeholder' untuk mencari satu jalan...suatu umur yang ditetapkan bagi sektor swasta.

"Tujuan kita membenarkan mereka bekerja lebih lama (dari umur bersara pada 55 tahun sekarang) kerana mereka masih mempunyai keupayaan dan boleh menyumbang kepada produktiviti (syarikat masing-masing)," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pernah menggesa kerajaan supaya melanjutkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun sebagai langkah untuk mengekalkan modal insan dan meningkatkan produktiviti.

Subramaniam berkata kerajaan juga sedang mengkaji memperluaskan skim-skim perlindungan sosial bagi menjaga kebajikan para pekerja terutamanya jika diberhentikan kerja atau syarikat tempat mereka bekerja gulung tikar.

"Kita sudah pun memulakan perbincangan yang melibatkan kerajaan dan 'stakeholder' bagaimana untuk mewujudkan satu sistem atau dana kepada pekerja yang diberhentikan tanpa apa-apa arahan dan bukan disebabkan atas pilihan mereka.

"Skim-skim ini diharap dapat membantu meringankan beban kerana mereka tidak bersedia berdepan dengan masalah sedemikian," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk menjaga kebajikan pekerja dan penggubalan terhadap Akta Majlis Konsultasi Gaji Minima Kebangsaan merupakan antara langkah ke arah itu.

Katanya dengan penggubalan akta itu, kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar gaji minimum berpatutan kepada pekerja kerana terdapat sektor-sektor yang gaji minimumnya masih rendah.

"Perkara-perkara ini diberikan tumpuan besar oleh kerajaan sebagai langkah untuk menjaga kebajikan tenaga pekerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata sambutan Hari Pekerja akan diadakan pada 7 Mei ini di Bukit Jalil dan akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tema sambutan kali ini, ialah "Pekerja Merealisasi Transformasi Negara", yang mencerminkan pentingnya peranan warga pekerja dalam merealisasikan transformasi ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.- BERNAMA

Tiada ulasan: