12 Mei 2011

Ahli Politik Sekutu Thaksin ditembak

09 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Ahli politik pembangkang Thailand yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra cedera ditembak dalam satu serangan yang disifatkan kerajaan sebagai bermotifkan politik pada negara itu bakal menghadapi pilihan raya.

Penggubal undang-undang pembangkang Parti Puea Thai, Pracha Prasopdee (Gambar), dimasukkan ke hospital selepas ditembak di bahagian belakang kelmarin di Samut Prakan, pinggir Bangkok.

Serangan itu berlaku selepas Thailand mengumumkan pilihan raya umum pada 3 Julai, keganasan bermotif politik pertama tercetus di Bangkok sekal 90 orang maut di ibu kota itu kerana protes anti kerajaan tahun lalu.

“Saya rasa ini berkaitan politik tetapi saya tidak tahu sama ada ia nasional atau politik tempatan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban, yang bertanggungjawab atas keselamatan dalam negeri.

Suthep berkata, beliau mengarahkan ketua polis untuk meningkatkan pengawasan bagi melindungi ahli politik terutama yang bertanding di kawasan panas.

Polis berkata, Pracha yang ketika itu memandu kereta ditembak sebanyak sembilan kali oleh penyerang bersenjata menaiki motosikal, tetapi kebanyakan peluru tidak mengenainya dan kecederaannya tidak mengancam nyawa.

“Polis masih menyiasat motif. Kita tidak pasti sama ada ia berunsurkan politik,” kata pegawai penyiasat polis, Leftenan Kolonel Saneh Maneenoi.

Jurucakap parti Puea Thai, Jirayu Houngsub berkata Pracha berniat bertanding semula untuk pilihan raya akan datang.

Ahli politik itu adalah penyokong setia Thaksin dan pernah melawat pemilik empayar telekomunikasi yang juga bekas perdana menteri Thailand itu di luar negara, tempat beliau tinggal dalam buangan.

Pilihan raya itu dijangka menjadi pertarungan sengit antara Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva yang disokong kumpulan elit Demokrat dan sekutu Thaksin, yang kini tinggal di luar negara bagi mengelakkan daripada dipenjara kerana kesalahan rasuah tetapi masih dilihat kuat.

Parti Abhisit adalah parti tertua dengan sokongan di Bangkok dan selatan tetapi tidak memenangi pilihan raya umum hampir dua dekad.

Masyarakat Thai berpecah selepas demonstrasi besar-besaran pergerakan pembangkang kumpulan Baju Merah yang mencetuskan pertelingkahan antara pembangkang dan tentera di Bangkok tahun lalu.

AFP

Tiada ulasan: