17 Mei 2011

Ronaldo samai rekod Sanchez

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



MADRID: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menyamai rekod jaringan gol liga sepanjang zaman dengan 38 gol hasil dua jaringannya ketika kemenangan 3-1 Real Madrid ke atas Villarreal, kelmarin.

Ronaldo menjaringkan sembilan gol dalam tiga perlawanan terakhir dengan sepakan percuma pada minit ke-22 dan jaringan minit terakhir untuk mencerahkan peluang merangkul trofi Pichichi bagi penjaring gol terbanyak La Liga Sepanyol.

Penyerang Barcelona, Lionel Messi yang juga pencabar terdekat, mengumpul 31 gol liga.

Jumlah 38 gol Ronaldo menyamai rekod terbaik sepanjang zaman dicatat pemain Athletic Bilbao, Telmo Zarra pada 1951 sebelum disamai penyerang ikon Real dari Mexico, Hugo Sanchez pada 1990. Dia memiliki baki satu perlawanan untuk mencatat rekod baru.

Juara yang baru dinobat, Barcelona yang bersiap menghadapi perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester United pada 28 Mei ini, merehatkan bintang utama ketika seri 0-0 menentang Deportivo La Coruna di Nou Camp.

Mereka memastikan kejuaraan Rabu lalu apabila seri 1-1 menentang Levante sekalipun kebanyakan bintang Barcelona berada di bangku simpanan.

Deportivo bergelut dengan penyingkiran dan gembira melihat Messi dan rakannya menyaksikan perlawanan dari tepi padang untuk meraih satu mata berharga bagi mengelak tersingkir ke liga bawahan.

Deportivo, juara liga 2000 hanya satu mata di atas tiga pasukan tercorot menjelang perlawanan terakhir liga hujung minggu ini.

Sementara itu, Valencia meraih tangga ketiga buat musim kedua berturut-turut selepas seri 0-0 dengan musuh setempat, Levante.

Valencia meraih tempat automatik ke Liga Juara-Juara manakala pasukan tangga keempat Villarreal terpaksa berdepan pusingan kelayakan.

Perebutan bagi dua tempat ke Liga Europa hanya akan ditentukan pada hari terakhir dengan Athletic Bilbao, Atletico Madrid dan Sevilla semuanya terikat 55 mata. 

AFP

Tiada ulasan: