02 Jun 2011

718 awam terkorban serangan Nato

1 Rejab 1432H. [MOD] -

TRIPOLI - Seramai 718 orang awam di Libya terkorban manakala 4,067 lagi cedera dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) bagi tempoh 10 minggu, menurut kenyataan jurucakap kerajaan, kelmarin.

“Sejak 19 Mac sehingga 26 Mei lalu, ratusan orang awam tidak berdosa telah terbunuh dan jumlah tersebut tidak termasuk pasukan barisan pertahanan pro-Gaddafi yang turut sama terkorban,” menurut Mussa Ibrahim.

Beberapa jam selepas sidang media itu diadakan, sebanyak empat letupan kuat menggegarkan Tripoli dan serangan tersebut didakwa adalah yang paling besar dilancarkan Nato dalam tempoh lebih seminggu.

Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma menyifatkan serangan bertalu-talu oleh Nato yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut seakan menjejaskan usaha beliau sebagai orang tengah untuk melaksanakan gencatan senjata di Libya.

Rundingan yang diadakan antara Zuma dan Gaddafi, Isnin lalu, menyaksikan pemimpin Libya itu akhirnya bersetuju dengan pelan damai yang dicadangkan Kesatuan Afrika (AU) tetapi ia ditolak oleh Nato dan kumpulan pemberontak di negara tersebut.

Dalam satu kenyataan lain, semalam, Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen mengumumkan mereka memutuskan untuk melanjutkan operasi di Libya kepada 90 hari atau sehingga akhir September.

Rasmussen menyatakan kononnya Nato berazam mahu meneruskan misi utama mereka untuk melindungi rakyat Libya di negara bergolak itu.

Sinarharian/-

Tiada ulasan: