02 Jun 2011

Pemuda buka tirai Muktamar Pas 2011

1 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Kira-kira 500 perwakilan, ahli jawatankuasa dan pemerhati menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia kali ke-52, dekat sini, semalam.

Dalam ucaptama Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan, mengingatkan kerajaan pemerintah sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) supaya membuka ruang demokrasi kepada generasi muda di negara ini.

“Dewan Pemuda Pas (DPP) memberi amaran kepada pemerintah supaya tidak menyalahguna kuasa yang diberi. Jika BN masih berdegil, mereka akan berdepan sekali lagi dengan kebangkitan anak muda yang sukar dibendung dalam operasi Bersih 02.

“Sementara itu, kerajaan PR perlu menunaikan manifesto pilihan raya yang lalu dengan penuh bertanggungjawab khususnya berkaitan dengan Negara Berkebajikan,” katanya di Dewan Majlis Bandraya Shah Alam (MBSA).

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Setiausaha Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Biro Ekonomi dan Bajet Palestine, Dr Jamal Thallab Nassar.

Nasrudin turut mengingatkan kerajaan di bawah pimpinan Pas di Kelantan dan Kedah untuk memperbaiki kepimpinan dan peka terhadap tuntutan rakyat.

Katanya, peningkatan pengundi muda menjelang PRU-13 menjadi isyarat awal kebangkitan anak muda dalam membawa perubahan sosial, ekonomi dan politik negara.

“Sejarah membuktikan anak muda telah menjana beberapa kebangkitan seperti kebangkitan mahasiswa era 70-an, 80-an dan reformasi akhir 90-an,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu telus menyampaikan berita benar kerana golongan muda hari ini semakin peka dan celik dalam perkembangan dunia teknologi.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar lebih banyak ruang diberikan kepada golongan muda.

Katanya, generasi muda perlu menzahirkan penentangan terhadap agenda yang boleh merosakkan negara melalui medium media kreatif.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: