02 Jun 2011

Pemuda PAS : Tolak Politik Perkauman, Serangan Peribadi

1 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 2 JUN : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP) menyeru semua pencinta Islam khususnya ahli PAS dan golongan muda supaya menolak pendekatan politik kotor yang menjurus kepada sifat perkauman menebal dan serangan peribadi.

Sebaliknya budaya politik di Malaysia memerlukan anjakan paradigma ke arah budaya politik yang lebih bermoral dan berteraskan kepada ilmu yang disertakan fakta dan hujah yang lebih jujur dan telus.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan menyatakan budaya politik jijik yang sedang berlaku di Malaysia bukanlah sesuatu perakra yang sihat sebaliknya hanya membawa kepada kemunduran negara.

“Melalui agenda politik terancang, episod politik perkauman terus disuburkan melalui kenyataan pemimpin UMNO, laporan provokatif media perdana dan tuduhan melulu para cybertroopers upahan mereka sebagai modal Barisan Nasional dalam mempertahankan survival politik mereka,” katanya.

Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-52 dengan tema ‘Memimpin Kebangkitan Anak Muda’ dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Md Isa berlangsung di Auditorium Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA).

Beliau ketika menyampaikan ucapan dasar menyelar usaha mempertahankan kandungan kursus Biro Tata Negara (BTN) yang bersifat menghasut dan memupuk pandangan terhadap kaum bukan Melayu yang lain.

“BTN telah diberikan peruntukan besar sebagai contoh pada tahun 2009, sebanyak RM 72juta, seringkali digunakan bukan sahaja untuk menghasut supaya membenci kaum bukan Melayu tetapi juga menyuburkan fitnah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

“Kesan daripada propaganda terbabit rata- rata pemimpin Umno diperingkat nasional sehingga ke peringkat cawangan masih beranggapan kaum Cina dan India sebagai pendatang asing atau warganegara kelas kedua,” katanya.

Awal tahun ini negara dikejutkan dengan insiden pembakaran beberapa buah gereja ekoran beberapa kenyataan yang dibuat bersifat hasutan termasuk isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Selain itu kenyataan Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang menghina kaum Cina sebagai menjual tubuh dan kaum India sebagai pengemis dalam ucapan Seminar 1Malaysia di Melaka.

Nasharudin menambah, apa yang lebih dikesalkan adalah peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan dengan agama yang tidak bertindak di bawah peruntukan yang sedia ada dalam usaha menyekat budaya politik jijik.

“DPP mempersoalkan ke mana perginya agensi kerajaan untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam mengamalkan budaya politik sebegini ? Mengapa sehingga hari ini tiada tindakan terhadap blogger atau penulis upahan yang terlibat secara langsung dalam penyebaran video perlakuan tersebut ?

“Lebih malang lagi tiada sebarang pendakwaan Qazaf terhadap mereka yang membuat tuduhan zina dan liwat terhadap individu tertentu seperti yang tersebar di media. Mengapa mereka diam membisu sejuta bahasa? “ katanya.

Ujar beliau lagi, kegagalan kerajaan Barisan Nasional dalam menangani beberapa perkara sensitif yang menyentuh beberapa perkara yang meilbatkan kaum di Malaysia membuktikan kegagalan BN dalam membawa perpaduan di Malaysia.

Perasmian Muktamar DPP kali ini dihadiri hampir 1000 orang perwakilan yang turut disertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan tetamu khas Ketua Biro Ekonomi dan Bajet Palestin, Dr. Jamal Thallab Nassar.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: