03 Ogos 2011

Wikileaks: ISA 2008 halang ahli Umno lompat parti

3 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Sebuah kabel diplomatik dari kedutaan Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendedahkan tahanan tiga individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) pada 2008 telah menghentikan ahli parlimen Umno daripada berpaling tadah.

Menurut kabel yang diperolehi dari laman sesawang Wikileaks dan disiarkan di blog Malaysia Today milik Raja Petra, perkara itu disahkan oleh ahli parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed pada Oktober 2008, sebulan selepas penahanan ISA tersebut.

“Pada awal Oktober, MP Umno Nur Jazlan (kiri) memberitahu (kaunselor politik kedutaan Amerika Syarikat Mark D Clark) bahawa tahanan ISA itu “amat berjaya” mencapai objektif Umno untuk menakut-nakutkan MP yang bercadang menyertai (ketua pembangkang) Anwar (Ibrahim),” petik kabel itu.

Kabel yang bertajuk 'Anwar shifts gears, not goals, say aides', juga melaporkan perkara berkenaan diakui oleh naib presiden PKR Tian Chua dan Sivarasa Rasiah dalam dua pertemuan berasingan dengan Clark pada November 2008.

Raja Petra, ahli parlimen Seputeh Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng ditangkap di bawah ISA pada 12 September 2008.

Tan dibebaskan 18 jam kemudian, Kok pada 19 September manakala Raja Petra pula dikurung lebih 50 hari.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas laporan itu, Nur Jazlan berkata ia amat melucukan kerana kedutaan Amerika Syarikat berpendapat beliau boleh mengesahkan alasan di sebalik penahanan itu.

Sambil ketawa beliau berkata: “Kami (Clark dan Nur Jazlan) berjumpa pada satu majlis dan berbual biasa, malah saya tidak ingat apa yang dibualkan itu.
Kuasa eksekutif

“Untuk mengatakan saya boleh mengesahkan perkara seperti itu, sesuatu yang hebat. Saya tidak mempunyai kuasa eksekutif,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut kabel yang tidak bertarikh itu dan ditandakan “rahsia”, Chua dan Sivarasa mengesahkan bahawa PKR terus berusaha mendapatkan ahli Umno berpaling tadah selepas tarikh 16 September gagal.

“Tempoh masa telah berubah dari Disember kepada Mac 2009, selaras dengan pemilihan parti Umno ketika Najib diangkat sebagai presiden Umno tanpa pertandingan.

“Pegawai PKR berkata Anwar dan parti itu tetap fokus mahu mengambil alih sebelum Najib dilantik kerana percaya beliau akan menggunakan tindakan kuku besi mengekang pembangkang sebelum pilihan raya umum akan datang,” petik kabel itu lagi.

Menurut kabel itu lagi, mereka yang menjadi perantaraan berkenaan adalah ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga ketua pemuda Umno dikatakan menjadi perantaraan di antara bapa mentuanya,Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar.

malaysikini/-

Tiada ulasan: