28 September 2011

Parlimen tak boleh bubar sebelum bajet lulus

1 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 28 Sept: Bajet 2012 yang dibentangkan sebelum pembubaran parlimen dianggap tidak sah dan perlu dibentangkan semula sekiranya parlimen dibubarkan sebelum bajet tahunan tersebut tidak diluluskan terlebih dahulu.

Demikian menurut Pensyarah Fakulti Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Aziz Bari (gambar) hari ini.

Menurutnya proses pembentangan bajet tahunan itu perlu diluluskan terlebih dahulu dalam persidangan yang sama dimana proses tersebut akan memakan masa lebih sebulan.

"Bila bajet dah dibentangkan, ia harus diselesaikanlah sehingga diluluskan dalam persidangan parlimen itu.

"Kalau bajet belum lagi diluluskan tetapi PM dah bubarkan parlimen, bajet tersebut boleh dianggap tidak sah dan bajet baru perlu dibentangkan semula dalam persidangan parlimen selepas pilihan raya dijalankan," kata Dr Aziz yang juga dianggap sebagai pakar perlembagaan.

Beliau juga memberitahu pembentangan bajet tidak boleh dibuat ketika parlimen sudah dibubarkan.

"Kalau parlimen sudah bubar, lagilah tak boleh bentangkan bajet, macamana nak bentangkan bajet sedangkan pada masa itu parlimen dah bubar, dianggap tak wujud," kata beliau lagi.

Pembentangan bajet yang dijadualkan pada 7 Oktober ini perlu dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum undian untuk meluluskan bajet dibuat dalam mesyuarat ketiga, penggal keempat bagi Parlimen ke-12 yang hanya berakhir pada 1 Disember ini.

Sebelum ini, beberapa pemerhati politik menjangkakan PRU 13 bakal diadakan pada bulan Oktober ini atau beberapa hari selepas Bajet 2012 dibentangkan.

Rata-rata pemerhati politik turut menganggap bajet kali ini merupakan bajet pilihan raya bagi memancing undi pengundi dalam PRU 13 yang pertama kali diterajui oleh Najib.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: