28 September 2011

Mesin judi RM1.2 juta dirampas

1 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Zakaria menunjukkan sebahagian daripada 4,026 unit mesin judi bernilai RM1.2 juta yang dirampas di IPD Kota Setar semalam.

ALOR SETAR – Polis Kedah merampas sebanyak 4,026 unit mesin perjudian berkomputer bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam beberapa siri serbuan di seluruh negeri ini sejak awal Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad memberitahu, nilai rampasan itu meningkat sebanyak 1,638 unit berbanding 2,388 unit mesin yang dirampas dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Polis turut membuat 820 tangkapan membabitkan penganjur dan pengusaha pusat judi dan kafe siber dalam operasi sepanjang tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar semalam.

Beliau memberitahu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1997 jika perniagaan tiada lesen.

Menurut Zakaria, bagi tindakan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka, rampasan mesin judi tertinggi adalah di daerah Kuala Muda iaitu sebanyak 1,384 unit mesin judi dengan 264 tangkapan.

“Untuk tindakan di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat Hiburan 1997 pula, daerah Kota Setar mencatatkan rampasan tertinggi iaitu sebanyak 142 unit komputer dengan 34 tangkapan,” ujarnya.

Katanya, polis telah mengenal pasti enam penganjur judi haram termasuk seorang pengusaha beragama Islam untuk tindakan lanjut.

“Mereka ini terdiri daripada penganjur yang melakukan kesalahan berulang dan sekarang kita menunggu arahan daripada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai modus operandi digunakan pengusaha pusat judi haram antaranya menggunakan kod tertentu untuk memasuki premis selain meletakkan kamera litar tertutup untuk mengawasi kawasan sekitar.

Kosmo

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kah kah kah lakonan bodoh oleh pihak polis yg makan rasuah !!!! melambak lambakkkkkk kedai haramm tuh di aloq setaq ...haram jadah sungguh